Berita

Hyundai Perkenal Model IONIQ 6 LITE Dan PLUS Baharu Di Malaysia

Share

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah memperluaskan barisan IONIQ 6 di Malaysia dengan pelancaran model Lite dan Plus. Model tambahan ini menyertai model Max RWD dan Max AWD yang telah dilancarkan sebelum ini dan mendapat sambutan yang hebat pada bulan Julai lepas.

IONIQ 6 daripada Hyundai telah menerima sambutan hangat daripada Masyarakat dan ramai yang memuji ciri-ciri inovatif, reka bentuk yang anggun, keupayaan aerodinamik dan prestasi ungul.

“Dengan anugerah yang diterima oleh IONIQ 6 pada Anugerah Kereta Dunia 2023, kami bersemangat untuk menawarkan kenderaan yang telah memenangi anugerah ini kepada pelbagai lapisan pengguna di Malaysia,” kata Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Penjualan dan Pengedaran untuk Sime Darby Motors di Asia Tenggara, Hong Kong, dan Macau.

IONIQ 6 telah dianugerahkan dengan tiga anugerah global pada tahun 2023 iaitu World Car of the Year, World Electric Vehicle of the Year, and World Car Design of the Year. Kedua-dua model Lite dan Plus IONIQ 6 dilengkapi dengan sistem pemanduan roda belakang (RWD) bermotor tunggal. Dikuasakan oleh bateri polimer litium-ion 53 kWh, kenderaan ini  mempunyai motor 111 kW yang menghasilkan tork sehingga 350 Nm. Model ini mampu menghasilkan kuasa daripada 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 8.8 saat.

Dengan jarak perjalanan sehingga 429 km berdasarkan Worldwide Harmonized Light Vehicles Test Procedure (WLTP), IONIQ 6 Lite dan Plus mendapat kuasa daripada sistem 800-volt yang sama digunakan pada  model Max. Kenderaan ini mampu mengecas daripada 10% hingga 80% dalam masa 18 minit pada maksimum 350 kW DC.

“Dengan memperkenalkan model Lite dan Plus, tujuan kami adalah untuk menjadikan kenderaan elektrik terbaik daripada Hyundai lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia, menawarkan mereka lebih banyak pilihan yang boleh disesuaikan dengan keperluan. Harga permulaan untuk IONIQ 6 Lite RWD adalah RM219,888, manakala Plus RWD berharga RM249,888, serta melengkapi model Max yang sedia ada,” kata Low Yuan Lung, Pengarah Urusan HSDM.

Harga yang disebutkan adalah di jalan sebelum insurans dan termasuk jaminan bateri lapan tahun/160,000 km. Model Lite dan Plus tersedia dalam lima pilihan warna yang sama dengan varian Max. Penghantaran kepada pembeli dijangka bermula pada suku terakhir tahun 2023.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.