Berita baik untuk penggemar motosikal Ducati, baru baru ini jenama terkenal itu telah melancarkan tiga model premium untuk pasaran Malaysia. Model yang ditawarkan boleh dikatakan mengikut citarasa kebanyakan rakyat di sini.
Tiga model tersebut adalah Diavel V4, Panigale V4 SP2 dan Streetfighter V4. Setiap model ini mempunyai karakter masing-masing yang membuatkan setiap satunya unik dalam kelasnya yang tersendiri.
Model pertama untuk kita ‘bedah’ adalah Diavel V4. Ia merupakan sebuah model kelas cruiser sporti pertama Ducati, jadi jangkakan reka bentuk yang aerodinamik walaupun ia sebuah ‘cruiser’.
Model ini bernadikan enjin 1,158cc V4 Granturismo yang menghamburkan 168 hp dengan injap dalaman Desmo pada 60,000 km. Selain itu, silinder belakang juga telah dibuang untuk mengurangkan kesan haba pada penunggang ketika meluncur di jalan raya.
Tangki bahan api seluas 20 liter membolehkan jarak perjalanan sekitar 250+ kilometer bergantung kepada cara tunggangan. Lampu pada Diavel V4 dilengkapi dengan jenis LED dan LED Matrix untuk bahagian belakang dan turut dilengkapi nyalaan lampu siang (DRL).
Model ini juga telah ditambah baik dengan berat keseluruhan yang lebih ringan daripada Diavel 1260 S iaitu sebanyak 13 kg, walaupun ia menggunakan enjin V4 empat silinder. Mod tunggangan yang tersedia untuk model ini adalah Sport, Touring, Urban dan Wet.
Harga yang ditawarkan bagi pasaran tempatan untuk Diavel V4 bermula dari RM178,900 untuk varian Ducati Red manakala untuk warna Thrilling Black ditawarkan dari RM181,900.
Model kedua untuk dikongsikan adalah Panigale V4 SP2. Mereka yang ‘mengejar’ kelajuan dan sentiasa mencari motosikal yang boleh melengkap satu pusingan litar dengan catatan masa terpantas pasti menyenaraikan model ini dalam fikiran anda.
Direka menggunakan teknologi MotoGP, mereka yang memiliki model ini pasti kelihatan segak, garang dan hensem (ibarat anda memandu Lamborghini versi motor), didatangkan pula dengan corak ‘Livery’ Winter Test yang menampilkan warna hitam legap dengan sedikit corak gentian karbon, memang nampak sporty.
Setiap unit model ini diberi ukiran nombor siri khas dengan penggunaan laser di bahagian kepala stereng. Menggunakan enjin 1,103 cc Desmosedici Stradale V4 ia memberi hantaran kuasa sebanyak 215.5 HP @ 13,000 rpm.
Dari segi pengendalian dan keselesaan, model ini menggunakan sistem gantungan hadapan jenis Ohlins NPX25/30 dan penyerap hentak belakang TTX36 dengan Ohlins Smart EC 2.0 yang boleh dikawal secara elektronik bagi membolehkan kawalan casis yang lebih tegap.
Roda aloi Marchesini Forged Magnesium turut digunakan dalam model ini. Tujuan bahan ini digunakan adalah kerana ia lebih kuat dan ringan, sangat penting untuk motor berprestasi tinggi seperti ini.
Sistem brek pula menggunakan Brembo MCS yang membantu penunggang untuk sentiasa membiasakan diri dengan penggunaan brek dalam pelbagai cuaca samada di litar, atau di jalan raya.
Harga yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia bermula dari RM299,900.
Model terakhir untuk pelancaran Ducati kali ini adalah Streetfighter V4 yang jatuh dalam segmen ‘naked bike’. Di jalanan juga terdapat banyak motor ‘naked’ dari pelbagai jenama motosikal, ini bermakna, reka bentuk seperti ini boleh dikatakan pilihan kegemaran ramai orang Malaysia.
Bagi model Streetfighter V4 ini, ia di inspirasikan dari karakter The Joker kerana motor ini nampak lincah dan ‘nakal’. Secara ringkas, ia sebenarnya adalah sebuah Panigale V4 yang ditanggalkan fairing namun elemen sporty itu masih tidak lari.
Kapasiti bahan api model ini telah ditingkatkan kepada 16.5 liter dengan rekaan tangki lebih ergonomik supaya lebih selesa untuk penunggang ‘kepit’ tangki ketika kelajuan tinggi.
Menggunakan enjin 1,103 Desmosedici, ia menghamburkan kuasa sebanyak 208 HP pada 13,000 rpm dan daya kilas 123 Nm pada 9,500 rpm. Dari segi paparan, ia menggunakan skrin berwarna TFT sebesar 5-inci dengan pelbagai rekabentuk paparan, termasuklah mod Track Evo yang sangat berfungsi di litar.
Harga model ini bermula dari RM141,900. Menariknya, Ducati Malaysia menawarkan Ducati Corse Credit Financing untuk pinjaman mudah bagi kesemua model-model Ducati dan juga Scrambler Ducati.
Dengan kadar faedah serendah 4.88 peratus dan bayaran deposit dari 10 peratus, ia merupakan salah satu cara Ducati untuk melancarkan penjualan model yang tersedia untuk pasaran Malaysia ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi mereka www.ducati.com.my.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.