Sejajar dengan penganjuran M4TAP Festival pada 5 Ogos 2023, BMW melancarkan varian SAV (Sports Activity Vehicle) elektrik yang telah tiba ke pasaran Malaysia.
Model yang diberi nama BMW iX M60 ini mampu menjana output maksimum mencecah 455 kW/619 kk serta jarak operasi elektrik sejauh 561 kilometer (WLTP) menjadikannya antara model elektrik terpantas dalam portfolio kenderaan prestasi yang bertaraf premium oleh BMW.
Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Koporat dan Kelestarian BMW Group Malaysia berkongsi, “Tahun ini telah menjadi satu titik sejarah yang bermakna bagi BMW Group Malaysia sempena ulang tahun ke-20 dan menunaikan janji Sheer Driving Experience sambil terus mengekalkan kedudukan sebagai pengeluar kenderaan premium nombor satu di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut.”
Model BMW iX M60 diserlahkan dengan ciri aerodinamik yang optimum, fungsi launch control yang membolehkan jentera ini meledak dari posisi henti dengan nilai torknya yang menjangkau 1,100 Nm berserta kuasa maksimum sebanyak 619 kk, mencapai 100 km/j dengan pecutan bebas gelincir dalam masa 3.8 saat sahaja dengan kelajuan tertingginya yang mencecah 250km/j.
BMW iX M60 membekalkan sebuah pengalaman pemanduan serba baharu bagi jentera SAV dengan bateri voltan tingginya yang terletak di dalam lantai kenderaan di antara gandar hadapan dan belakang, ini bagi memastikan pusat graviti yang rendah di samping pacuan elektrik yang lancar.
Jentera elektrik BMW iX M60 yang sulung turut dilengkapi dengan brek M Sport berserta angkup biru, suspensi udara dwigandar adaptif dengan penalaan dan komponen M, di samping Stering Aktif Integral.
Sistem pacuan semua roda elektrik di dalam BMW iX M60 turut menyalurkan pacuan tork pada kadar yang tepat kepada roda hadapan dan belakang dalam semua situasi pemanduan.
Jentera elektrik BMW iX M60 yang sulung didatangkan dengan daya pengecasan berkuasa tinggi pada kadar mencecah 195 kW, memudahkan penggunaan dengan mengecas kenderaan tersebut dari 0% hingga 80% hanya dalam masa 35 minit.
BMW iX M60 juga merupakan jentera BMW pertama di Malaysia yang dapat menerima suapan kuasa sebanyak 22kW daripada AC Wallbox Charger, yang secara signifikannya mengurangkan waktu pengecasan kepada bawah 5.5 jam untuk pengecasan penuh dari 0 hingga 100%, manakala melalui AC Wallbox Charger 11kW, ia dapat dicas dari 0 hingga 100% dalam tempoh 11 jam.
Selain itu, pemilik jentera BMW iX M60 juga dapat menikmati akses pengecasan di lebih 1,000 buah fasiliti pengecasan yang terletak di seluruh negara, dikuasakan oleh para pembekal solusi pengecasan EV tempatan yang bekerjasama dengan BMW Group Malaysia.
Jentera elektrik BMW iX M60 yang sulung akan dilengkapi dengan set roda aerodinamik M BMW Individual 22 inci dalam dwiwarna 1023 berserta gilapan 3D gangsa titanium. Jata model ini juga akan disediakan secara eksklusif dalam warna hitam berglos tinggi atau gangsa titanium untuk BMW iX M60 sahaja.
Pilihan warna standard bagi jentera elektrik BMW iX M60 yang sulung ini meliputi Mineral White, Alpine White Metallic, Black Sapphire Metallic, Sophisto Grey Metallic dengan Brilliant Effect, Phytonic Blue Metallic, dan Blue Ridge Mountain Metallic.
Dua warna istimewa juga ditawarkan, iaitu Individual Storm Bay Metallic dan Aventurine Red Metallic. Bagi ruang interior, pengguna boleh memilih antara Interior Design Atelier dalam warna Mocha atau Hitam, ataupun Interior Design Suite dalam warna Amido atau Castanea.
Para pemilik jentera elektrik BMW iX M60 yang sulung juga dapat menikmati Pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:
- Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual
Percuma
- Waranti Bateri BMW untuk 8 Tahun / 160,000 km (mana-mana yang dipenuhi dahulu)
- Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
- Servis Dalam Talian BMW
Harga untuk model ini bermula daripada RM 630,800 tidak termasuk insurans.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.