Dengan musim perayaan Aidilfitri yang semakin hampir, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah menggerakkan hampir 7,000 pegawai dan anggota untuk memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya menerusi Op Selamat 24.
Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, seramai 6,957 pegawai dan anggota akan terlibat dalam operasi ini. Ini termasuk 871 pegawai kanan polis dan 6,086 pegawai rendah polis.
Mereka akan bertugas dalam pelbagai peranan seperti kawalan lalu lintas (‘point-duty’), rondaan kawasan panas (‘blackspot’ dan ‘hotspot’), serta membantu menyuraikan kesesakan.
Selain itu, Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) akan ditugaskan untuk menangani kes kemalangan ringan di lebuh raya. Manakala Pasukan Respons Kecemasan (ERT) bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kejadian tidak diingini.
Sebagai langkah tambahan, JSPT juga melancarkan Op Lancar bermula 23 Mac hingga 6 April. Ini bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar sepanjang tempoh perayaan.
Sementara itu, Op Selamat 24 akan berlangsung selama enam hari, iaitu dua hari sebelum dan dua hari selepas Aidilfitri. Dengan mengekalkan tema “Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi”.
Sebanyak 407 lokasi ‘hotspot’ yang sering mengalami kesesakan lalu lintas dan 76 lokasi ‘blackspot’ telah dikenal pasti di seluruh negara. Lokasi ini melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran, serta lebuh raya utama yang akan diberi perhatian khusus oleh JSPT.
Bagi lebuh raya utama, sebanyak 25 lokasi ‘hotspot’ dan 46 lokasi ‘blackspot’ telah dikenal pasti. Di mana pemantauan akan dijalankan secara berterusan. Pasukan JSPT juga bersiap sedia untuk memberi bantuan kepada pengguna jalan raya yang mengalami masalah kenderaan atau kecemasan.
Selain memastikan kelancaran lalu lintas, JSPT juga akan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang lalu lintas. Terutama kesalahan yang boleh menyebabkan kemalangan.
Operasi ini turut disokong oleh pemantauan udara melalui Unit Operasi Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau keadaan lalu lintas secara lebih efektif.
Dalam memastikan operasi berjalan dengan lebih berkesan, JSPT menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), St. John Ambulance, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Telekom Malaysia, PLUS Malaysia, dan Ikatan Relawan Rakyat (RELA).
Datuk Seri Mohd Yusri turut menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang lalu lintas, bersabar, dan sentiasa memandu secara berhemah.
Pemandu juga digalakkan melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan sebelum memulakan perjalanan serta mendapatkan rehat secukupnya bagi mengelakkan keletihan ketika memandu.
Tambah beliau, sikap pemandu memainkan peranan utama dalam memastikan keselamatan di jalan raya. Setiap pengguna perlu bertanggungjawab antara satu sama lain untuk mengurangkan risiko kemalangan.
Dengan pelaksanaan Op Selamat 24 ini, diharapkan semua rakyat Malaysia dapat menikmati perjalanan yang lancar dan selamat ketika pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.
Dari Berita Harian
Baca Juga Video Tular Supercar Gumball 3000, Polis Bukit Aman Beri Amaran
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.