Empat Model Yamaha Terima Livery Khas Ulang Tahun Ke-70
Bagi meraikan ulang tahun ke-70 penubuhannya, Yamaha Motor Indonesia memperkenalkan livery khas edisi ulang tahun pada beberapa model terpilih.
Livery edisi istimewa ini diinspirasikan daripada jentera lumba Yamaha YZF-R7 tahun 1999, yang tampil dengan gabungan warna merah dan putih. Reka bentuk ini diperkemaskan lagi dengan elemen grafik klasik seperti corak speed block serta logo garpu tala berwarna emas.
Empat Model Terima Livery Khas Ulang Tahun Ke-70
Untuk pasaran Indonesia, Yamaha Motor Indonesia memilih empat model utama bagi menerima livery ulang tahun ke-70, iaitu MX King 150, Aerox Alpha Turbo, R15M Connected/ABS dan XSR 155.
Kesemua model ini dipilih berdasarkan karakter sporty serta populariti masing-masing dalam segmen tersendiri.
MX King 150
MX King 150 masih mengekalkan imej “Raja Jalanan” dengan rekaan badan agresif dan lincah.
Grafik simetri pada kedua-dua sisi badan menyerlahkan elemen aerodinamik, manakala sistem pencahayaan LED tiga unit meningkatkan tahap penglihatan.

Enjin 150cc empat injap dengan suntikan bahan api dan penyejukan cecair terus menawarkan prestasi yang mantap untuk kegunaan harian.
R15M Connected/ABS
R15M Connected/ABS tampil dengan identiti R-Series yang jelas, diperkukuhkan melalui salur udara hadapan berbentuk M yang diinspirasikan daripada jentera MotoGP.
Ia dikuasakan enjin 155cc dengan teknologi VVA, serta dilengkapi ciri seperti Sistem Kawalan Cengkaman, Quick Shifter, ABS dwi-saluran dan sambungan pintar Y-Connect, menjadikannya antara model paling lengkap dalam kelas motosikal sport ringan.

Aerox Alpha Turbo
Aerox Alpha Turbo pula mencuri tumpuan menerusi penggunaan teknologi Yamaha Electric CVT (YECVT) yang memberikan sensasi pecutan seakan turbo.
Mod tunggangan khas dan fungsi Turbo Y-Shift membolehkan kawalan pecutan lebih responsif.

Sistem brek cakera berkembar, ABS dan Sistem Kawalan Cengkaman turut melengkapkan ciri keselamatan dan kestabilan skuter ini.
XSR 155
Bagi peminat gaya retro moden, XSR 155 menampilkan rekaan sport heritage menerusi bentuk tangki klasik, tempat duduk satu bahagian dan lampu LED.

Suspensi jenis USD meningkatkan kestabilan dan pengendalian, manakala enjin 155cc VVA bersama Assist & Slipper Clutch memastikan prestasi seimbang serta tunggangan yang lebih selesa.
Livery Istimewa, Simbol Legasi Yamaha
Pengenalan livery ulang tahun ke-70 ini menegaskan kedudukan Yamaha Motor Indonesia sebagai pengeluar motosikal yang bukan sahaja menitikberatkan teknologi dan prestasi, malah menghargai sejarah serta warisan jenama.

Ia turut memberi peluang kepada peminat untuk memiliki motosikal edisi khas yang membawa nilai sentimental dan identiti perlumbaan Yamaha.
Baca Juga : Yamaha EZ115 2025 Tampil Tiga Warna Baharu, Harga RM5,698
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






