WMOTO Island 150 : Enjin 150 cc, ABS & TPMS
WMOTO Malaysia secara rasmi memperkenalkan model terbaharu mereka, WMOTO Island 150, bersempena majlis Mforce Lou Sang Dinner 2026 yang berlangsung di M Resort & Hotel.
Pelancaran ini menandakan kemasukan WMOTO ke dalam segmen skuter premium 150 cc untuk pasaran tempatan bagi tahun pertama 2026.
Harga Mampu Milik, Pilihan Warna Menarik
WMOTO Island 150 ditawarkan pada harga RM6,688 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dan kini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia.
Tiga pilihan warna disediakan bagi memenuhi citarasa berbeza, iaitu Aura Black, Action Blue dan Prime Grey, masing-masing menyerlahkan karakter moden dan kemasan kemas untuk tunggangan harian.
Rekaan Moden Fokus Keselesaan Harian
Direka untuk meningkatkan pengalaman mobiliti bandar, Island 150 menampilkan siluet kemas dengan penghadang angin, ergonomik santai serta susun atur praktikal.
Pendekatan ini sejajar dengan keperluan pengguna di kawasan bandar yang mahukan skuter yang selesa, mudah dikendalikan dan nampak premium sesuai untuk kegunaan harian.
Enjin 150 cc Penyejukan Cecair
Di bahagian trenkuasa, WMOTO Island 150 dikuasakan oleh enjin 150 cc satu silinder, 4-lejang, 4-injap dengan sistem penyejukan cecair.
Ia menghasilkan 11.5 kW pada 8,500 rpm dan 14.2 Nm pada 6,500 rpm, dengan nisbah mampatan 10.6:1 bagi keseimbangan antara kecekapan bahan api dan respons pecutan.
Padanan suntikan bahan api EFI, penghidup elektrik serta transmisi CVT pacuan tali sawat memastikan pecutan lancar dan tunggangan tanpa stres dalam trafik bandar.
Tangki 9 Liter untuk Jarak Lebih Jauh
Kapasiti tangki bahan api 9 liter memberi kelebihan dari segi jarak perjalanan, mengurangkan kekerapan pengisian semula
Dari segi ukuran, Island 150 memiliki panjang 1,940 mm
Ketinggian tempat duduk 764 mm bersama berat kering 137 kg menjadikannya mesra untuk pelbagai ketinggian dan saiz badan, termasuk penunggang baharu.
Suspensi Stabil, Brek ABS Dwi-Saluran
Tugas pengendalian disokong oleh fork hadapan peredaman hidraulik dan penyerap hentak belakang jenis spring dengan redaman, memberikan kestabilan dan keselesaan di jalan tidak rata.
Ia dipadankan dengan tayar 110/70-14 M/C (hadapan) dan 130/70-13 M/C (belakang) pada rim aloi, manakala brek cakera hadapan dan belakang lengkap dengan ABS dwi-saluran meningkatkan tahap keselamatan.
Pencahayaan LED & Paparan Digital
Ciri moden menjadi tarikan utama Island 150, termasuk sistem pencahayaan LED penuh lampu hadapan dengan DRL, lampu belakang, lampu isyarat dan lampu kecemasan.
Paparan meter digital interaktif memudahkan pemantauan maklumat tunggangan secara jelas.
Tanpa Kunci, USB A & C
Untuk kemudahan harian, skuter ini dilengkapi sistem tanpa kunci, suis keselamatan tongkat sisi, ruang simpanan hadapan sebelah kiri serta port pengecasan USB Type-A dan Type-C
Antara kelengkapan tambahan termasuk Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), pemijak kaki pembonceng boleh lipat, pemijak kaki penunggang yang luas, tempat duduk anti-gelincir, serta cangkuk barang dengan kapasiti beban sehingga 5 kg.
Island 150 menggunakan bateri 12V 8.6Ah dan mampu membawa muatan sehingga 158 kg, menjadikannya rakan tunggangan praktikal untuk kegunaan seharian.
Baca Juga : Cyclone RA600 Rasmi Dilancarkan di Malaysia, Harga Bermula RM25,888
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

