
Pasukan lumba dari Malaysia, Wing Hin Motorsports, mengumumkan langkah besar untuk musim 2026 dengan penglibatan penuh dalam dua kejuaraan utama di Jepun iaitu ENEOS Super Taikyu Series dan Toyota GAZOO Racing GR86/BRZ Cup.
Perlumbaan Super Taikyu 2026 akan bermula hujung minggu ini (21–22 Mac) di Mobility Resort Motegi, dengan format dua perlumbaan endurance selama empat jam. Wing Hin Motorsports bakal mempertaruhkan jentera Toyota GR Supra GT4 EVO2, digandingkan bersama pelumba Malaysia Naquib Azlan dan Amer Harris, serta pelumba Jepun berpengalaman Shuji Maeshima.
Penyertaan dalam siri ini bukan keputusan spontan, sebaliknya dibina atas kejayaan pasukan dalam GR86/BRZ Cup musim lalu. Naquib muncul juara keseluruhan, manakala Amer menamatkan saingan di tempat keempat. Tambahan pula, pasukan ini turut mencatat keputusan kompetitif di Nurburgring Langstrecken Series 2025.
Super Taikyu sendiri merupakan antara siri endurance pro-am paling kompetitif di Jepun sejak diperkenalkan pada 1991, dengan format perlumbaan antara tiga hingga 24 jam yang menguji ketahanan jentera dan pelumba.
Musim 2026 bakal menyaksikan tujuh pusingan mencabar di litar-litar utama Jepun termasuk Suzuka, Fuji Speedway, Sportsland Sugo, Autopolis dan Okayama. Antara kemuncak ialah perlumbaan 24 jam di Fuji Speedway pada Jun.
Perlumbaan di Jepun ini turut diperkukuh dengan kehadiran Masahiro Sasaki sebagai penasihat pasukan. Beliau bukan sahaja pelumba Toyota GAZOO Racing, malah mempunyai pengalaman luas dalam Super Taikyu, Super GT (GT300), serta perlumbaan ikonik seperti Nurburgring 24 Hours. Sasaki juga memainkan peranan penting dalam membimbing Naquib dan Amer ketika debut mereka di Jepun sebelum ini.
Selain Super Taikyu, Wing Hin Motorsports juga kembali ke Toyota GAZOO Racing GR86/BRZ Cup 2026 sebagai juara bertahan. Cabaran musim ini akan diketuai oleh Mitchell Cheah antara pelumba touring car terbaik Malaysia.
Rekod Cheah bersama pasukan cukup mengagumkan, termasuk kejuaraan kelas GT4 di Thailand Super Series 2025 serta pelbagai podium dalam kejohanan endurance Asia Tenggara. Pengalaman luas ini dijangka menjadi aset penting dalam mempertahankan gelaran.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan bakat, Wing Hin Motorsports turut memperluaskan Program Customer Racing. Menerusi program ini, pelumba muda dari Indonesia, Jordan Johan, akan menyertai GR86 Cup dengan sokongan penuh teknikal dan operasi daripada pasukan, mewakili Toyota GAZOO Racing Indonesia.
Program ini menyediakan pakej lengkap termasuk jentera, kru teknikal dan sokongan perlumbaan sekaligus membuka laluan lebih tersusun untuk bakat muda menembusi arena antarabangsa.
Menariknya, musim 2026 turut menyaksikan pendekatan lebih lestari apabila Wing Hin Motorsports menggunakan minyak enjin Moty’s berasaskan RRBO (Re-Refined Base Oil) iaitu minyak asas yang dihasilkan semula daripada minyak terpakai.
Teknologi ini dibangunkan bersama Pentas Flora, syarikat pengurusan sisa terbesar di Malaysia, dan akan diuji sepenuhnya dalam kondisi ekstrem perlumbaan di Jepun. Langkah ini mencerminkan komitmen pasukan terhadap inovasi serta kelestarian dalam dunia sukan permotoran.
Secara keseluruhan, penglibatan Wing Hin Motorsports di Jepun bukan sekadar penyertaan biasa, tetapi sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk membangunkan bakat muda Asia ke peringkat lebih tinggi.
Dengan kombinasi pelumba muda berbakat, sokongan teknikal kukuh serta hala tuju strategik yang jelas, musim 2026 dilihat sebagai titik penting dalam evolusi pasukan ini di pentas antarabangsa.
Musim Raya Parkir Elok, Semua Pun Senang Aidilfitri sentiasa membawa makna yang cukup besar dalam…
Siapa Bakal Menang BMW 218i Gran Coupé Sport Sime Motors terus menghangatkan sambutan ulang tahun…
Perjalanan balik kampung sempena musim perayaan sering melibatkan jarak yang jauh serta tempoh pemanduan yang…
