
Volvo Car Malaysia mengumumkan pelanjutan perkhidmatan data percuma Volvo Car Connect Plus selama setahun tambahan untuk pemilik model tahun 2022 dan 2023 yang langganannya bakal tamat tidak lama lagi.
Dahulunya dikenali sebagai Digital Services, Volvo Car Connect Plus ialah pakej data sambungan pintar yang disertakan pada model Volvo generasi baharu dengan sistem Google built-in.
Melalui perkhidmatan ini, pemilik kenderaan menikmati kemudahan seperti penstriman media tether-free, kemas kini over-the-air (OTA), dan integrasi menyeluruh dengan aplikasi seperti Google Assistant, Google Maps serta Google Play Store semuanya tanpa memerlukan sambungan telefon.
Sebelum ini, pelanggan yang membeli model Volvo dengan sistem Google built-in menikmati empat tahun data percuma, sebelum dinaik taraf kepada lima tahun bermula model tahun 2024.
Bagi menghargai kesetiaan pelanggan awal, Volvo kini menambah satu tahun tambahan secara automatik, menjadikan tempoh keseluruhan lima tahun perkhidmatan percuma, selaras dengan model terbaharu.
Pelanjutan ini akan berlaku secara automatik, tanpa memerlukan kemas kini perisian atau penukaran kad SIM. Ia merangkumi model di bawah platform Compact Modular Architecture (CMA) dan Scalable Product Architecture generasi pertama (SPA1), termasuk:
| SUV / Crossover | Sedan | Estate |
|---|---|---|
| XC40 Recharge Pure Electric | S90 Recharge | V60 Recharge |
| XC60 / XC60 Recharge | S60 Recharge | |
| XC90 / XC90 Recharge | ||
| C40 |
Menurut Sun Qian, Ketua Total Offer bagi rantau Asia Pasifik (APeC) Volvo Cars, pelanjutan ini merupakan tanda penghargaan kepada pelanggan yang telah mempercayai teknologi Volvo sejak awal lagi.
“Kami mahu semua pelanggan menikmati sepenuhnya kelebihan kenderaan dengan sistem Google built-in termasuk hanya perlu berkata ‘Hey Google’ untuk menavigasi destinasi atau menukar suhu pendingin hawa, tanpa gangguan terhadap fokus pemanduan,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, pelanggan yang merupakan early adopter kini boleh menikmati lima tahun penuh data percuma tanpa perlu risau untuk memperbaharui langganan dalam masa terdekat.
Volvo Car Connect Plus menjadi semakin penting bagi generasi baharu model elektrik sepenuhnya seperti Volvo EX90, serta model akan datang ES90 dan EX60.
Dengan teras pengkomputeran berasaskan AI dan pemprosesan data awan, sistem ini membolehkan pembelajaran mesin (machine learning) dilakukan secara berterusan bagi mempertingkat keupayaan pemanduan separa automatik dan keselamatan jalan raya dunia sebenar.
Satu lagi kelebihan besar langganan Volvo Car Connect Plus terikat kepada kenderaan, bukan pemilik. Ini bermakna jika kenderaan dijual, tempoh langganan yang masih berbaki akan dipindahkan kepada pemilik baharu
, sekaligus menambah nilai jualan semula kenderaan Volvo.Dengan pelanjutan ini, Volvo Car Malaysia bukan sekadar menambah baik perkhidmatan selepas jualan, tetapi turut menegaskan komitmen terhadap mobiliti pintar, selamat dan berhubung sepenuhnya, selaras dengan visi syarikat untuk menjadi jenama automotif premium paling progresif di Malaysia.
Baca Juga : Volvo Umum Kemas Kini Model Tahun 2026, XC60 Baharu, EC40 Single Motor & XC90 Premium
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.