Automotif

Viper Niza Racing Buka Tirai Perlumbaan di Mugello

Share

Kempen Eropah 2026 Bermula di Mugello

Pasukan perlumbaan dari Malaysia, Viper Niza Racing, bakal membuka tirai kempen Michelin 24H Series Eropah 2026 dengan penyertaan dalam perlumbaan 12 Hours of Mugello di Itali yang berlangsung dari 20 hingga 22 Mac ini.

Musim kali ini menyaksikan pasukan tersebut komited untuk menyertai kesemua lima pusingan kejuaraan, bermula di Mugello sebelum bergerak ke Spa-Francorchamps (Belgium), Paul Ricard (Perancis), Nürburgring (Jerman) dan menutup musim di Barcelona (Sepanyol).

Prestasi Meyakinkan Musim Lalu Jadi Pembakar Semangat

Walaupun hanya menyertai empat daripada lima pusingan pada musim 2025, Viper Niza Racing berjaya menamatkan kempen di kedudukan keenam keseluruhan dan keempat dalam kategori GT3-AM.

Ketiadaan pasukan di pusingan pembukaan Mugello tahun lalu akibat isu logistik jentera jelas memberi kesan kepada kutipan mata kejuaraan. Namun begitu, pencapaian keseluruhan tetap membanggakan bagi musim penuh pertama mereka di Eropah.

Menurut Prinsipal Pasukan merangkap pemandu utama, Douglas Khoo, musim lalu menjadi platform pembelajaran penting yang memperkukuh asas pasukan untuk tampil lebih kompetitif tahun ini.

Barisan Malaysia Sepenuhnya & Persediaan Lebih Rapi

Bagi musim 2026, Khoo akan mengetuai barisan pemandu bersama rakan sepasukan tetap, Dominic Ang dan Melvin Moh dalam kategori GT3-AM, dengan keseluruhan kru teknikal juga terdiri daripada rakyat Malaysia.

Menariknya, Mugello merupakan litar baharu buat semua ahli pasukan. Walaupun latihan simulator telah dilakukan secara intensif, pengalaman sebenar di litar masih menjadi cabaran utama, khususnya dari segi daya-G dan karakter selekoh berkelajuan tinggi.

Dari aspek jentera pula, Mercedes-AMG GT3 EVO telah menjalani proses pemeriksaan menyeluruh termasuk kerja pembaikan dan penyelenggaraan pencegahan bagi memastikan prestasi optimum sepanjang musim.

Sasaran Konsisten & Kedudukan Podium

Dengan persiapan yang lebih teliti, Viper Niza Racing meletakkan sasaran untuk mengutip mata secara konsisten di setiap pusingan, sekali gus membuka peluang untuk menamatkan musim dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan.

Cabaran Litar Mugello Yang Ikonik

Litar Mugello yang mempunyai sejarah sejak 1920 kini tampil sebagai litar moden sepanjang 5.245 km dengan 15 selekoh, termasuk beberapa selekoh berkelajuan tinggi serta laluan lurus sejauh 1.141 km.

Dimiliki oleh Ferrari sejak 1988, Mugello turut pernah menjadi tuan rumah Formula 1 melalui Tuscan Grand Prix 2020 serta kekal sebagai venue utama MotoGP Itali.

Persaingan Sengit Dalam Kelas GT3

Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, tiada pengeluar tunggal yang benar-benar mendominasi perlumbaan 12 Hours of Mugello. Jenama seperti Porsche, Mercedes-Benz dan Audi silih berganti mencipta kemenangan dalam kategori keseluruhan dan AM.

Keputusan musim lalu menyaksikan Porsche 911 GT3 R (992) muncul juara keseluruhan, manakala Mercedes-AMG GT3 EVO mengungguli kelas AM

Sokongan Jenama Global

Kempen Viper Niza Racing turut mendapat sokongan daripada beberapa jenama antarabangsa termasuk Motul, IWC sebagai jam rasmi, Momentum Autoparts dan Sparco Italy.

Baca Juga : Mercedes-Benz GLA Nightfall Edition Dilancar di Malaysia

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi