Pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia menutup tirai musim penuh pertama mereka dalam Michelin 24H SERIES European Series 2025 dengan penuh drama di pusingan akhir 24 Hours of Barcelona, Sepanyol. Walaupun pelbagai cabaran melanda, skuad ini berjaya menamatkan saingan di tempat ke-4 keseluruhan dalam kategori GT3-AM.
Mengemudi jentera Mercedes-AMG GT3 EVO, Viper Niza tampil dengan barisan pelumba Malaysia Douglas Khoo (pemandu utama merangkap Prinsipal Pasukan), Dominic Ang, Melvin Moh, Afiq Yazid dan Aaron Lim. Dalam perlumbaan penutup musim, mereka mencatatkan 633 pusingan, menamatkan saingan di kedudukan ke-11 GT3 dan ke-22 keseluruhan meskipun pernah berada ditempat ke-7 pada peringkat awal perlumbaan.
Dominic Ang memulakan saingan dengan cemerlang, berada dalam kelompok hadapan di kedudukan ke-10 sebelum menyerahkan stereng kepada Khoo. Khoo pula berjaya melonjak sehingga ke tempat ke-7, namun insiden dengan sebuah Porsche merubah segalanya.
“Pada mulanya kami sangka kerosakan hanya pada bahagian upright, jadi kami tukar dan teruskan perlumbaan. Namun rupa-rupanya steering rack juga rosak, menyebabkan kereta terpaksa dihentikan hampir tiga jam untuk dibaiki,” jelas Khoo.
Kerosakan itu merugikan lebih 90 pusingan, sekaligus menutup peluang pasukan untuk memburu kejuaraan atau podium akhir musim.
Walaupun begitu, kedudukan ke-4 GT3-AM tetap menjadi pencapaian membanggakan bagi musim debut penuh. Gelaran juara keseluruhan GT3-AM dimenangi oleh Continental Racing (Simpson Motorsport), diikuti Juta Racing dan Hofor Racing.
Musim 2025 menyaksikan pasang surut buat Viper Niza:
12H Mugello (Mac): Terlepas pusingan pembukaan.
12H Spa-Francorchamps (April): Tamat ke-6 keseluruhan, ke-4 GT3, dan naib juara GT3-AM.
12H Misano (Mei): Gagal meraih mata akibat sump minyak retak.
12H Paul Ricard (Julai): Bangkit semula dengan kedudukan ke-8 keseluruhan, ke-3 GT3-AM, serta menerima anugerah Spirit of the Race lebih manis apabila ia dilakukan dengan kereta sewa selepas jentera asal rosak ketika sesi kelayakan.
Bagi Khoo, pencapaian paling besar adalah berjaya membawa pasukan Malaysia daripada pemandu, jurutera sehingga mekanik bersaing secara kompetitif di pentas Eropah.
“Lebih penting daripada kedudukan, kami buktikan anak Malaysia mampu berlumba di tahap antarabangsa dengan penuh daya saing. Pengalaman musim ini akan jadi bekalan berharga untuk musim-musim seterusnya,” katanya.
Baca Juga : Honda Gold Wing 50th Anniversary, Penyerahan Eksklusif Kepada Pemilik
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.