Automotif

Varian Baharu Mazda CX-3 Tonjolkan Rekaan Terkini & Peningkatan Kemampuan Signifikan

Share

Mazda semakin mengukuhkan kehadirannya di dalam pasaran automotif Malaysia dengan pengumuman mengenai ‘penyegaran’ bagi dua varian SUV mereka dalam segmen B, iaitu Mazda CX-3 1.5L Plus dan 2.0L Plus yang kini dilengkapi dengan pelbagai penambahbaikan menarik.

Bagi menarik minat lebih ramai, kedua-dua varian, CX-3 1.5L Plus dan 2.0L Plus, kini menonjolkan lampu depan LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED, Autofold Outer Rearview Mirrors, dan Rear Parking Sensors.

Selain itu, varian 2.0L High turut menampilkan rekaan roda aloi baharu, menambahkan sentuhan elegan pada keseluruhan reka bentuk luaran.

Kemaskini dalaman turut menjadi tumpuan dengan penambahan paddle shifter dan kemudahan sambungan Apple Carplay tanpa wayar. Mazda Connect 8 inci yang baru adalah titik tumpuan utama yang memudahkan akses kepada fungsi-fungsi terkini dengan lebih lancar.

Mengenai keselamatan, varian terbaru CX-3 telah ditingkatkan dengan penambahan 4 beg udara, menjadikan jumlah keseluruhan menjadi 6. Ciri keselamatan i-Activsense masih menjadi standard bagi kesemua varian, menambah keyakinan dalam aspek keselamatan penumpang.

Kredit Foto: Careta.com

Dari segi prestasi enjin, varian 1.5 liter mampu menghasilkan kuasa sebanyak 114 HP dan 149 Nm manakala varian 2.0 liter menawarkan kuasa sebanyak 154 HP dan 206 Nm. Kedua-dua varian ini dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan, memberikan perjalanan yang lancar dan responsif.

Mazda CX-3 ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna untuk pasaran Malaysia termasuk Snowflake White Pearl, Jet Black, Machine Grey, Polymetal Grey, Soul Red Crystal, Platinum Quartz (hanya untuk varian 2.0L High), dan warna baharu Aero Grey.

Dipasarkan sebagai unit CBU dari Thailand, CX-3 2023 ditawarkan dengan harga bermula dari RM 115,720.00 untuk varian 1.5L Plus, RM126,159 untuk varian 2.0L Plus, dan RM139,159 untuk varian 2.0L High. Ini menjadikan SUV ini lebih mudah diakses tanpa mengabaikan kemampuan dan kualiti yang ditawarkannya.

Kehadiran CX-3 juga menyediakan peluang tempahan bersama Mazda 2. Mazda menawarkan Waranti Pengeluar selama 5 tahun serta Penyelenggaraan Percuma selama 5 tahun atau perbatuan 100,000km, membuktikan komitmen mereka dalam menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

Dengan kemas kini terbaru ini, Mazda CX-3 menawarkan lebih daripada sekadar kenderaan harian, tetapi juga pengalaman pemanduan yang mantap dan berprestasi tinggi.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Shazwan