Toyota dilaporkan sedang merancang untuk menghidupkan semula nama ikonik Starlet dengan sebuah model berprestasi tinggi di bawah divisyen Gazoo Racing (GR).
Model ini dikhabarkan bakal menjadi hot hatch pacuan hadapan (FWD) paling mampu milik.
Berita ini pasti akan menggembirakan peminat kereta berprestasi kerana ia bakal hadir dengan daya tarikan turbo 150HP.
Starlet kali ini dikatakan akan menggunakan asas daripada Yaris tetapi dengan reka bentuk yang lebih kompak, menjadikannya sebuah kereta bandar yang agresif.
Walaupun belum ada pengesahan rasmi dari Toyota, khabar angin dari Jepun menyatakan bahawa model ini bakal dilancarkan pada tahun 2026.
Model ini juga mungkin disertai dengan versi Rally 4 dan GR Starlet untuk jalan raya.
Pada masa ini, nama Starlet digunakan untuk versi rebadge Suzuki Baleno dan Fronx di Afrika Selatan.
Namun, Toyota kini bersedia membawa Starlet kembali dengan imej yang lebih menarik dan sporty.
Menurut laporan daripada Best Car di Jepun, Starlet baharu ini akan dibangunkan menggunakan platform TNGA-B, sama seperti Yaris, tetapi dengan badan yang lebih kecil.
Panjang kereta dianggarkan sekitar 3,850 mm, menjadikannya sedikit lebih panjang daripada Aygo X tetapi lebih pendek daripada Yaris.
Versi standard dijangka hadir bersama model rally yang mematuhi kategori dua pacuan roda WRC Rally 4.
Manakala model GR bakal membawa DNA perlumbaan ke jalan raya.
Untuk model GR, enjin tiga silinder turbocharged 1.3-liter dijangka menjadi nadi utama, menghasilkan sekitar 150HP dan digandingkan dengan transmisi manual enam kelajuan.
Ini merupakan enjin versi downsized daripada enjin 1.6-liter yang digunakan oleh GR Yaris dan GR Corolla.
Tanpa sistem pacuan empat roda GR-Four yang ada pada model GR lebih besar, berat Starlet GR ini dijangka sekitar 980 kg, menjadikannya 300 kg lebih ringan daripada GR Yaris.
Untuk mematuhi peraturan Rally 4, Toyota perlu menghasilkan sekurang-kurangnya 25,000 unit Starlet versi jalan raya.
Menurut Best Car, model pengeluaran dijangka dilancarkan pada 2026, dengan versi rally bersedia untuk pertandingan pada musim 2027.
Daripada segi harga, Starlet GR di Jepun dijangka berada dalam lingkungan ¥2.5-2.8 juta (sekitar RM81,000 hingga RM91,000), menjadikannya pilihan mampu milik berbanding GR Yaris yang berharga ¥4.5 juta (sekitar RM145,000).
Selain kebangkitan Starlet, Toyota juga dikhabarkan sedang mempertimbangkan beberapa projek menarik lain.
Antaranya adalah sebuah kereta sport mid-engine seperti MR2, sama ada dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) atau kuasa elektrik.
Dalam masa yang sama pembangunan model Supra GRMN dan SUV Land Cruiser kompak juga direka untuk bersaing dengan Ford Bronco Sport.
Peminat pasti teruja menantikan apa lagi yang bakal dibawa oleh Toyota dalam dunia automotif.
Kredit Artikel : 2026 Toyota GR Starlet Could Be Most Affordable GR With 150HP Turbo Thrills
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.