
Toyota Malaysia secara rasmi memperkenalkan Toyota GR Corolla 2026 ke pasaran tempatan dengan satu pembaharuan utama iaitu penawaran transmisi automatik 8-kelajuan GAZOO Racing Direct Automatic Transmission (GR-DAT).
Langkah ini sekali gus meluaskan pilihan kepada peminat hot hatch berprestasi tinggi yang mahukan pengalaman pemanduan agresif tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kotak gear manual.
Walaupun kini hadir dengan transmisi automatik, Toyota GR Corolla 2026 masih mengekalkan DNA motorsport yang menjadi identitinya sejak dilancarkan di peringkat global pada 2022, selari dengan falsafah kaizen atau penambahbaikan berterusan Toyota.
Fokus utama bagi model ini ialah pembangunan transmisi 8-kelajuan GR-DAT, yang direka untuk menawarkan penukaran gear lebih pantas serta pemilihan gear yang lebih tepat berbanding transmisi manual.
Shift time telah dipendekkan, manakala talaan perisian disesuaikan mengikut mod pemanduan iaitu SPORT, Normal dan ECO.
Mod SPORT menerima perhatian paling besar, dengan ujian intensif dijalankan di litar, permukaan off-road serta pelbagai kondisi jalan bagi memastikan transmisi ini mampu memberikan respons konsisten ketika pemanduan agresif.
Bagi menyokong penggunaan berprestasi tinggi, GR Corolla AT dilengkapi air-cooled ATF cooler, selain sistem penyejukan ATF berasaskan air.
Penambahan sub-radiator turut membantu mengekalkan suhu enjin pada tahap optimum, terutamanya ketika pemanduan lasak atau penggunaan di litar.
Rekaan gril bawah hadapan kini berfungsi sebagai laluan udara tambahan untuk menyejukkan sistem transmisi, manakala saluran udara sisi pada bampar hadapan membantu melancarkan aliran udara keluar bagi meningkatkan kecekapan penyejukan keseluruhan.
Hasil maklum balas pemandu profesional dan Master Driver Toyota, Akio Toyoda atau Morizo, corak penukaran gear mod manual (M) telah diubah.
Pemandu kini menolak tuil ke hadapan untuk downshift dan menarik ke belakang untuk upshift, memberikan rasa pemanduan lebih dekat dengan jentera perlumbaan sebenar.
Dari sudut teknikal, penggunaan solenoid linear berprestasi tinggi serta bahan geseran baharu yang lebih tahan haba memastikan prestasi penukaran gear kekal konsisten walaupun dalam penggunaan ekstrem.
Toyota GR Corolla 2026 versi automatik turut menerima Launch Start Control, ciri yang membolehkan pecutan maksimum dari keadaan pegun dengan mengawal penghantaran kuasa bagi meminimumkan wheelspin.
Sistem ini diaktifkan dalam mod SPORT bersama EXPERT mode atau apabila VSC dimatikan.
Paparan “LAUNCH READY” pada panel meter akan memberi isyarat sebelum pemandu menekan pedal minyak sepenuhnya untuk pelancaran yang lebih optimum dan konsisten.
Model ini masih dikuasakan oleh enjin G16E-GTS 1.6-liter 3-silinder turbo yang terkenal dengan karakter agresif serta tork kuat untuk pecutan dan re-acceleration pantas.
Rekaan aerodinamik seperti bampar hadapan, gril dan saluran udara sisi dikekalkan kerana keberkesanannya dalam mengurus aliran udara dan penyejukan.
Di dalam kabin, perubahan ketara hanyalah penggunaan shifter automatik, manakala sistem infotainmen 10-inci kini menyokong Wireless Apple CarPlay dan Android Auto. Ciri Blind Spot Monitor turut ditambah bagi meningkatkan keselamatan pemanduan harian.
Toyota GR Corolla 2026 AT ditawarkan pada harga RM378,950 di Semenanjung Malaysia dan RM233,500 di Langkawi. Bagi varian manual, harga bermula RM368,950 di Semenanjung dan RM227,300 di Langkawi.
Seperti model GR lain, GR Corolla hanya dipasarkan melalui GR Garage terpilih, lengkap dengan sokongan selepas jualan khusus serta aksesori rasmi GAZOO Racing.
Baca juga: Toyota GR Supra V8 Bakal Gegar Perlumbaan Supercars 2026
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.