
Toyota Gazoo Racing Malaysia terus mengukuhkan kehadirannya dalam arena sukan permotoran apabila UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan penubuhan TGR Racing Malaysia, sebuah pasukan perlumbaan baharu yang bakal bersaing dalam kelas GT4 bagi kejohanan Thailand Super Series (TSS) 2026.
Penyertaan ini menandakan langkah baharu Toyota Malaysia dalam memperluaskan penglibatan dalam sukan permotoran ke peringkat serantau. Pasukan ini akan membuat penampilan sulung dalam salah satu kejohanan GT paling kompetitif di Asia Tenggara, sekali gus memperkukuh usaha Toyota Gazoo Racing Malaysia dalam membangunkan bakat tempatan serta meningkatkan kehadiran jenama Toyota GAZOO Racing dalam arena perlumbaan antarabangsa.
Penubuhan TGR Racing Malaysia merupakan kesinambungan daripada program Toyota GAZOO Racing Vios Challenge, yang telah dianjurkan sejak tahun 2017.
Kejohanan one-make tersebut memainkan peranan penting dalam membangunkan bakat pelumba tempatan serta memperkukuh kepakaran teknikal dan operasi perlumbaan dalam negara.
Melalui pengalaman sepanjang lapan musim penganjuran Vios Challenge, Toyota Gazoo Racing Malaysia
kini bersedia untuk melangkah ke tahap seterusnya dengan penyertaan dalam perlumbaan GT yang lebih kompetitif di peringkat serantau.Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., perlumbaan merupakan sebahagian daripada falsafah Toyota dalam meningkatkan mutu dan prestasi kenderaan.
Bagi musim sulung ini, pasukan akan mempertaruhkan dua unit Toyota GR Supra GT4 EVO2 yang dibangunkan oleh TOYOTA GAZOO Racing Europe di bawah program perlumbaan pelanggan global Toyota.
Versi EVO2 ini hadir dengan beberapa penambahbaikan berbanding model sebelumnya, termasuk peningkatan pada sistem brek, talaan penyerap hentak yang diperhalusi serta penambahbaikan pada sistem penyejukan dan kalibrasi ABS bagi meningkatkan kestabilan serta kawalan jentera di litar.
Jentera ini juga dibangunkan mengikut spesifikasi kelas GT4 yang dikawal selia oleh SRO Motorsports Group, dengan penggunaan sistem Balance of Performance (BoP) bagi memastikan persaingan yang lebih seimbang antara pengeluar.
Toyota Gazoo Racing Malaysia akan menampilkan barisan empat pelumba tempatan, terdiri daripada gabungan pelumba berpengalaman dan bakat muda.
Antara nama yang diumumkan ialah Shaun Thong, Weiron Tan, Putera Adam dan Nazim Azman. Gabungan ini dilihat mampu memberikan keseimbangan antara pengalaman perlumbaan antarabangsa dan pembangunan bakat generasi baharu.
Shaun Thong merupakan pelumba paling berpengalaman dalam pasukan dengan lebih 45 kemenangan perlumbaan dan tujuh gelaran kejuaraan, selain pernah bersaing dalam pelbagai kejohanan GT dan endurance di peringkat antarabangsa.
Weiron Tan pula pernah beraksi dalam beberapa siri perlumbaan utama termasuk Asian Le Mans Series, FIA World Endurance Championship dan GT World Challenge Asia, selain menjadi antara pelumba Malaysia pertama memenangi perlumbaan di Amerika Syarikat dalam kategori Pro Mazda.
Sementara itu, Putera Adam merupakan antara bakat muda yang sedang meningkat naik dalam dunia perlumbaan, termasuk muncul juara keseluruhan kelas PRO dalam Lamborghini Super Trofeo Europe Championship 2025.
Nazim Azman pula mempunyai pengalaman dalam perlumbaan single-seater termasuk FIA Formula 3 Championship, sebelum beralih ke perlumbaan GT melalui Porsche Carrera Cup Asia.
Sebagai pasukan baharu dalam kelas GT4 Thailand Super Series, Toyota Gazoo Racing Malaysia dijangka berdepan cabaran sengit daripada pasukan lain yang lebih berpengalaman.
Antara jentera yang bakal bersaing dalam kategori ini termasuk Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport, Mercedes-AMG GT4 dan Aston Martin Vantage GT4, selain beberapa unit GR Supra GT4 EVO2 daripada pasukan lain.
Namun bagi musim pertama ini, pasukan menetapkan sasaran yang realistik dengan memberi fokus kepada pengumpulan data, memahami karakter jentera serta menyesuaikan diri dengan cabaran perlumbaan GT peringkat serantau.
Thailand Super Series 2026 dijadualkan berlangsung dalam lima pusingan sepanjang musim.
Musim ini akan bermula dengan ujian pramusim pada 22 hingga 23 April di Litar Antarabangsa Chang, Thailand, sebelum pusingan pembukaan berlangsung pada 21 hingga 24 Mei di litar yang sama.
Pusingan kedua dijadualkan berlangsung pada awal Julai sempena Bangsaen Grand Prix di Chonburi. Saingan kemudian akan beralih ke Litar Antarabangsa Sepang bagi pusingan ketiga dan keempat pada Ogos dan September, sebelum musim berakhir di Litar Chang pada penghujung Oktober.
Penyertaan Toyota Gazoo Racing Malaysia dalam Thailand Super Series GT4 bukan sahaja memberi peluang kepada pelumba tempatan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi, malah turut membantu memperkukuh pembangunan sukan permotoran negara.
Program ini juga akan melibatkan kerjasama teknikal antara tenaga kerja tempatan dan kru berpengalaman dari Jepun bagi meningkatkan kepakaran dalam aspek teknikal serta operasi perlumbaan.
Dengan langkah ini, Toyota Malaysia dilihat terus memperkukuh komitmennya dalam memajukan sukan permotoran tempatan sambil membawa nama Malaysia ke pentas perlumbaan serantau.
Baca juga: Toyota Gazoo Racing Memperkenalkan GR Yaris MORIZO RR Edisi Terhad
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.