Automotif

Toyota Celica Kembali! Generasi Baharu Disahkan

Share

Berita baik untuk peminat kereta sports klasik! Toyota telah mengesahkan bahawa mereka sedang membangunkan generasi kelapan model Celica. 

Menurut laporan dari majalah Jepun, Best Car. Pengesahan ini diberikan oleh seorang eksekutif Toyota semasa acara Rally Japan 2024 baru-baru ini. Membangkitkan semula semangat peminat kereta ini selepas hampir dua dekad sejak model terakhirnya dihentikan pengeluaran.

Pengesahan di Acara Rally Japan 2024

Pendedahan mengejut ini berlaku apabila Best Car bertanyakan kepada Akio Toyoda, Pengerusi Toyota, mengenai kemungkinan kembalinya Celica. Namun, Toyoda yang juga dikenali sebagai penyokong tegar kereta sports, memberikan peluang kepada Naib Presiden Eksekutif Yuki Nakajima untuk menjawab. 

Dengan yakin, Nakajima berkata, “Kami akan menghasilkan Celica.” Walaupun kenyataan itu mungkin tidak dirancang untuk diumumkan. Ia menguatkan khabar angin yang telah beredar selama beberapa tahun.

Nakajima turut menambah, “Saya tidak pasti jika ini boleh diumumkan di khalayak umum,” memberikan bayangan bahawa maklumat ini mungkin terlepas lebih awal daripada yang dirancang. Namun begitu, ini bukan kali pertama Toyota memberi petunjuk tentang kebangkitan Celica.

Lakaran pelukis bagi Toyota Celica terbaru

Petunjuk Sejak 2023

Khabar angin mengenai Celica kembali semakin kencang sejak akhir 2023. Apabila Akio Toyoda menyuarakan hasratnya untuk menghidupkan semula model ini. Presiden Toyota, Tsuneji Sato, juga menyatakan keinginan yang sama pada tahun lalu. 

Tambahan pula, dalam siri anime dalaman Toyota bertajuk Grip, papan putih dalam satu babak memaparkan tulisan “Celica Mk8,” memberi bayangan jelas tentang projek ini.

Model terakhir Celica, generasi ketujuh, dihentikan pengeluaran pada 2005. Sejak itu, peminat kereta ini hanya mampu berharap namanya akan dihidupkan semula. 

Pengumuman ini memberikan harapan segar kepada mereka, walaupun butiran mengenai tarikh pelancaran atau spesifikasi masih menjadi misteri.

Lakaran pelukis bagi Toyota Celica terbaru

Apa yang Kita Boleh Jangkakan?

Buat masa ini, Toyota masih berahsia mengenai reka bentuk, enjin, dan teknologi yang akan dibawakan pada generasi baharu Celica ini. Namun, berdasarkan trend terkini, ada kemungkinan ia akan dilengkapi teknologi elektrifikasi. Sama ada sebagai hibrid atau EV penuh. 

Dengan fokus Toyota terhadap kelestarian, kita boleh menjangkakan sesuatu yang inovatif tetapi tetap mengekalkan jiwa sporty Celica.

Walaupun tarikh pelancarannya tidak diumumkan, pakar menjangkakan Celica generasi kelapan ini mungkin hanya akan muncul di pasaran pada 2027 atau lebih lewat. 

Apa yang pasti, Toyota nampaknya bersungguh-sungguh untuk memastikan nama Celica kembali dengan gaya yang hebat dan relevan untuk era moden.

Peminat kereta sports klasik, bersiap sedialah. Celica bukan sahaja sekadar nostalgia, tetapi kini menjadi kenyataan yang ditunggu-tunggu. Kini, kita hanya perlu menunggu Toyota untuk mendedahkan lebih banyak maklumat tentang kereta lagenda ini!

Dari Car and Driver

Baca Juga Toyota GR Supra A90 Final Edition, Titik Noktah Sebuah Legenda

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan