Sejak wujudnya enjin empat lejang yang berasaskan minyak petrol pada 1876 di Jerman. Penggunaan petrol menjadi sangat penting bahkan ia adalah nadi bagi dunia ini untuk terus maju dan bergerak ke hadapan.
Ekonomi dunia juga banyak dipengaruhi oleh harga minyak petrol semasa. Biasa kita dengar kalau harga minyak petrol naik, pasti harga barangan juga akan naik. Inilah yang berlaku sekarang untuk menunjukkan betapa pentingnya bahan yang datang daripada fosil flora dan fauna ini.
Proses ekstrak dan pembuatan minyak mentah ke petrol pula memang rumit dan berisiko tinggi. Sebab itulah mereka yang sertai industri minyak & gas dibayar dengan gaji yang lumayan.
Proses pertama, penerokaan dan penggerudian. Lazimnya, syarikat minyak akan upah kontraktor luar untuk menjalankan tinjauan geologi dan kajian terperinci untuk mengenal pasti potensi rizab minyak di bawah dasar laut.
Setelah dikenal pasti kawasannya, pelantar penggerudian akan digunakan untuk membuat telaga hingga ke bawah dasar laut untuk sampai ke rizab minyak. Setakat ini, telaga minyak bawah laut paling dalam ialah Sakhalin-1 di Rusia dengan kedalaman 12.38 kilometer.
Proses kedua, mengekstrak minyak mentah dari bawah dasar laut. Minyak dari dasar laut ini akan bercampur dengan air dan gas disebabkan oleh tekanan tinggi oleh takungan minyak semulajadi. Ia kemudiannya akan diasingkan dari air dan gas di pelantar.
Seterusnya, apabila minyak mentah berjaya diekstrak, ia akan disimpan di platform pesisir laut sebelum diserahkan ke kilang penapisan di darat. Setiap minyak mentah dari laut akan dibawa menggunakan kapal tangki minyak.
Apabila tiba di kilang penapisan, di sinilah proses rumit mengasingkan komponen minyak mentah tersebut berlaku. Untuk mendapatkan hasil minyak petrol, diesel, bahan api jet dan sebagainya minyak mentah perlu melalui proses penyulingan, keretakan dan pelbagai proses kimia yang lain.
Selepas melalui proses ‘pecah minyak’ yang pertama, minyak mentah petrol akan melalui proses tambahan seperti catalytic reforming and blending dimana ia akan digunakan untuk meningkatkan kualiti petrol.
Petrol yang sudah ditapis kemudiannya ditukarkan ke tempat pengedaran menggunakan keretapi, lori dan saluran paip. Di pusat pengedaran, petrol akan disimpan di dalam tangki besar sebelum lori minyak mengambilnya untuk diserahkan ke stesen minyak.
Minyak yang dibawa menaiki lori dari pusat pengedar ke stesen minyak akan disimpan di bawah tanah sebelum dipam ke dalam terminal minyak. Buat mereka yang belum tahu, stesen minyak merupakan kedai runcit dimana pengguna boleh membeli petrol dan bahan api lain untuk kenderaan mereka.
Proses terakhir ialah pengguna membeli minyak yang sudah diproses mengikut pilihan mereka. Selepas membuat pembayaran, petrol akan mengalir dari bawah tanah melalui terminal minyak ke tangki kereta anda.
Itulah proses bahan api kenderaan yang kita guna setiap hari. Suatu proses yang rumit namun hasil teknologi moden, setiap proses itu dapat dipermudahkan dan dipercepatkan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.