Menjelang musim perayaan, jalan raya bukan sahaja sesak dengan kenderaan, tetapi juga dengan emosi dan harapan.
Setiap pemandu ada satu misi utama sampai ke kampung halaman dengan selamat, bersama insan tersayang, dan tentunya… semua barang ‘wajib bawa’ sekali!
Daripada beg pakaian, bantal anak, balang kuih raya, hinggalah ke periuk sup tulang — semua mahu dimuatkan ke dalam satu ruang yang terhad: bonet kereta.
Tapi berapa ramai yang benar-benar tahu cara susun barang yang betul? Ini bukan sekadar isu ruang.
Ia soal keselamatan, keselesaan, dan kecekapan pemanduan.
Kebanyakan pemandu menyusun barang ikut logik mudah, mana yang muat, sumbat.
Hakikatnya, barang yang tidak disusun dengan seimbang boleh mengubah distribusi berat kereta, sekaligus memberi kesan pada pengendalian (handling) dan penggunaan bahan api.
Lebih membimbangkan, barang yang longgar boleh menjadi peluru jika berlaku pelanggaran atau brek kecemasan.
Kajian menunjukkan bahawa dalam pelanggaran pada kelajuan 50km/j, barang seberat 10kg boleh menghentam dengan impak seolah-olah 500kg!
Letakkan barang paling berat seperti beg pakaian besar, kotak kuih raya, atau barangan elektrik di bahagian paling bawah dan paling hadapan (berhampiran dengan tempat duduk belakang). Ini memastikan titik graviti kereta kekal stabil.
Kuih raya, kek, dan barangan pecah-belah harus berada di bahagian paling atas, jauh dari tekanan dan risiko penyek. Gunakan lapisan kain atau bantal sebagai pelapik tambahan.
Soft bag boleh dicelah masuk ke ruang sempit dan mengurangkan pembaziran ruang. Beg jenis ‘hard case’ hanya sesuai jika benar-benar perlu melindungi barangan tertentu.
Sisipkan barang kecil seperti kasut, tuala, atau mainan anak ke ruang-ruang kosong antara beg besar. Ruang sempit di sisi dan atas bonet boleh dioptimumkan dengan perancangan.
Bagi kereta hatchback, SUV atau MPV, pastikan barang tidak disusun tinggi hingga menghalang pandangan belakang. Selain menggangu penglihatan, ia juga meningkatkan risiko keselamatan.
Pastikan kabel jumper, kit first aid, atau peralatan kecemasan lain berada di tempat yang mudah dicapai, bukan terkunci bawah tujuh lapis beg.
Barang-barang yang berpotensi bergerak (seperti periuk atau kotak tidak padat) boleh diikat menggunakan tali atau jaring keselamatan (cargo net).
Ini mungkin kedengaran kelakar, tapi cuba ‘mock pack’ sehari sebelum hari perjalanan.
Anda akan terkejut betapa banyak masa dan tenaga dapat dijimatkan pada hari sebenar.
Jika ada barang tak muat, masih ada masa untuk susun semula atau rancang alternatif.
Seni menyusun barang dalam kereta bukan sekadar hal teknikal — ia mencerminkan keprihatinan kita terhadap keselamatan, keselesaan, dan pengalaman memandu yang lebih baik.
Sebagai wartawan automotif, saya percaya bahawa perjalanan balik kampung bukan hanya tentang destinasi, tetapi bagaimana kita sampai ke sana — dengan tenang, selamat dan efisien.
Selamat menyusun, selamat memandu, dan selamat Hari Raya buat semua pembaca!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga : Elak Microsleep Ketika Memandu di Bulan Puasa