Automotif

Strategi Baharu Honda Global Dalam Menghadapi Perubahan Industri Automotif dan Mobiliti Elektrik

Share

Honda 2025: Strategi Baharu Elektrifikasi dan Teknologi Pintar Untuk Masa Depan Mobiliti

Honda Motor Co., Ltd. menerajui transformasi perniagaannya dengan pengumuman strategi baharu yang menumpukan kepada elektrifikasi kenderaan, keselamatan, dan teknologi pintar bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan yang berubah-ubah.

Presiden dan CEO global Honda, Toshihiro Mibe, mengadakan sidang media bagi menjelaskan hala tuju terkini Honda dalam memastikan pertumbuhan mampan dan relevan dalam era mobiliti moden.

Realign Strategi Elektrifikasi Automotif Honda

Honda menegaskan komitmennya untuk mencapai neutral karbon sepenuhnya dan mengurangkan kes kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang tahun 2050.

Dalam usaha ini, Honda menganggap kenderaan elektrik (EV) sebagai penyelesaian terbaik untuk mencapai sasaran tersebut bagi produk mobiliti kecil seperti kenderaan penumpang.

Namun, keadaan pasaran EV kini menunjukkan ketidakpastian.

Perkembangan peraturan alam sekitar yang berubah-ubah dan polisi perdagangan antarabangsa telah memperlahankan pertumbuhan pasaran EV global.

Justeru itu, Honda menyesuaikan semula strategi automotifnya dengan fokus kepada dua arah utama:

  • Memperkukuh daya saing model EV dan hybrid elektrik (HEV) melalui teknologi pintar terkini.

  • Menilai semula portfolio enjin dengan menyeimbangkan antara EV dan HEV sebagai penjana kuasa.

Teknologi Pintar & ADAS Generasi Baharu

Honda kini sedang membangunkan sistem bantuan pemanduan lanjutan (ADAS) generasi baharu.

Sistem ini mampu membantu pemandu mengawal kenderaan dari segi pecutan dan stereng, sama ada di lebuh raya atau jalan biasa.

Teknologi ini akan diaplikasikan pada model EV dan HEV utama yang akan dilancarkan di Amerika Utara dan Jepun mulai tahun 2027.

Sistem ADAS ini unik kerana mampu mengatasi cabaran teknikal untuk model bersaiz kecil dengan mengoptimumkan ruang kabin dan reka bentuk.

Sistem ini selari dengan konsep “Man Maximum, Machine Minimum” Honda yang memaksimumkan ruang untuk manusia dan meminimumkan ruang bagi komponen mekanikal.

Kerjasama juga dijalin dengan syarikat teknologi pemanduan automatik China, Momenta Global Limited, bagi membangunkan ADAS yang dioptimumkan khusus untuk jalan raya di China.

Strategi HEV dan EV Honda

Walaupun jualan EV dijangka kurang daripada sasaran 30% menjelang 2030 akibat kelembapan pasaran, permintaan untuk model HEV tetap tinggi.

Oleh itu, Honda akan menjadikan HEV generasi baharu sebagai tonggak peralihan kepada elektrifikasi penuh.

Dijangkakan Honda akan lancar 13 model HEV baru di peringkat global antara 2027 hingga 2030.

Sistem hibrid e:HEV Honda akan terus dipertingkatkan bagi mencapai kecekapan bahan api yang lebih tinggi dan pengalaman memandu yang unik.

Honda juga menumpukan usaha untuk mengurangkan kos komponen seperti bateri dan motor, agar model HEV dapat ditawarkan pada harga lebih mampu milik.

Untuk pasaran Amerika Utara, Honda merancang sistem hibrid berprestasi tinggi untuk kenderaan bersaiz besar yang mempunyai kapasiti muatan tinggi, yang akan diperkenalkan pada separuh kedua dekad ini.

Inisiatif Menyokong Popularisasi EV

Honda akan melancarkan siri model EV 0 Series generasi pertama tahun depan yang menawarkan pengoptimuman peribadi ultra melalui sistem ASIMO OS dan AD/ADAS canggih.

Model generasi seterusnya akan dilengkapi dengan seni bina elektrik dan elektronik (E&E) terpusat serta cip pemprosesan berprestasi tinggi hasil kerjasama dengan Renesas Electronics.

Walaupun penyesuaian pelan pelaburan dibuat susulan kelembapan pasaran, Honda tetap bertekad memperkukuh jenama dan asas perniagaan EV secara berperingkat.

Sistem Pengeluaran & Rantaian Bekalan

Honda akan menerapkan sistem pengeluaran fleksibel dengan talian pengeluaran campuran.

Sistem ini mampu menghasilkan EV dan HEV dalam kapasiti yang boleh diubah mengikut permintaan pasaran.

Strategi “pengeluaran tempatan untuk penggunaan tempatan” akan terus diperkukuh.

Strategi ini bagi mengurangkan risiko gangguan akibat perubahan dasar kerajaan atau faktor tidak dijangka lain.

Perniagaan Motosikal Honda – Rekod Jualan dan Elektrifikasi

Pada tahun kewangan berakhir Mac 2025, jualan motosikal Honda mencapai rekod 20.57 juta unit, merangkumi kira-kira 40% pasaran motosikal global.

Dengan pertumbuhan populasi dan pendapatan di negara-negara seperti India, Honda menjangkakan permintaan akan terus meningkat hingga 60 juta unit menjelang 2030.

Honda akan memperluas rangkaian motosikal elektrik dan mempertingkatkan kecekapan bahan api model enjin pembakaran dalaman (ICE).

Model elektrik Active e: dan QC1 telah dilancarkan di India manakala model CUV e: dan ICON e: mula dijual di beberapa negara Asia Tenggara.

Model ini juga akan memasuki pasaran Eropah dan Jepun.

Sebuah kilang motosikal elektrik khusus akan mula beroperasi di India pada 2028.

Honda bakal menawarkan motosikal elektrik dengan kos lebih rendah dan meningkatkan penguasaan pasaran motosikal elektrik global.

Strategi Kewangan – Fokus Kepada Keuntungan dan Pelaburan

Honda merancang untuk mengurangkan pelaburan daripada 10 trilion yen kepada 7 trilion yen sehingga tahun kewangan 2031.

Hal ini demikian kerana selaras dengan penangguhan projek pembangunan rantaian nilai EV di Kanada.

Walaupun pelaburan untuk EV dikurangkan, pelaburan dalam HEV dijangka meningkat sedikit.

Honda menyasarkan untuk menjana lebih 12 trilion yen daripada aliran tunai, terutamanya melalui pertumbuhan jualan motosikal dan HEV.

Komitmen kepada pemegang saham juga akan dikekalkan dengan sasaran dividen melebihi 1.6 trilion yen.

Konklusi

Strategi baharu Honda adalah melangkah ke fasa baru dengan menyeimbangkan antara elektrifikasi penuh dan teknologi hybrid.

Strategi ini lebih praktikal untuk menghadapi ketidaktentuan pasaran global.

Fokus juga diberikan kepada pembangunan teknologi pintar dan keselamatan yang memperkukuh nilai kenderaan.

Di samping itu, Honda mengekalkan penguasaan kukuh dalam pasaran motosikal global dengan pelan elektrifikasi yang agresif, sambil memastikan keuntungan dan aliran tunai syarikat tetap kukuh untuk pertumbuhan masa depan.

Baca Juga : Honda e:N1 Tiba di Malaysia dengan Harga RM149,900

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi