Video yang tular minggu ini, menunjukkan sekumpulan mat rempit melawan arus di Lebuhraya BORR Bagan Ajam dari arah plaza tol menuju ke Terminal Kontena Butterworth (NBCT) di Pulau Pinang.
Jelas menggambarkan betapa mereka sudah tidak lagi mempedulikan undang-undang. Bukan sekadar melarikan diri daripada sekatan jalan raya, mereka juga meletakkan pengguna jalan lain dalam bahaya.
Minggu lalu, malam Ahad, dua remaja maut dalam satu kemalangan yang melibatkan empat motosikal di Persiaran Raja Muda Musa, Klang, sekitar jam 4.30 pagi. Kejadian itu berlaku ketika beberapa kumpulan mat rempit berlumba dalam kelajuan tinggi.
Malah, melakukan aksi berbahaya di sepanjang jalan dari Kompleks Sukan Pandamaran menuju ke Pelabuhan Klang sebelum berpatah balik dan membuat beberapa pusingan. Salah satu motosikal terbabas dan dirempuh oleh motosikal lain dalam kumpulan tersebut.
Insiden seperti ini semakin kerap berlaku, dan malangnya, majoriti mat rempit ini terdiri daripada remaja Melayu. Ini hanyalah salah satu daripada banyak masalah sosial yang menuntut perhatian serius, terutama daripada ibu bapa mereka sendiri.
Merak Jalanan teringat perbualan dengan seorang rakan yang meluahkan kebimbangannya tentang masa depan remaja Melayu di tanah air sendiri. Terutamanya apabila melihat kegigihan anak-anak Rohingya yang berusaha meningkatkan taraf hidup mereka dengan menyertai bidang kemahiran.
Kisahnya, ketika rakan tersebut menghantar motosikal untuk dibaiki di sebuah bengkel di Shah Alam, dia mendapati pekerja bengkel tersebut kebanyakannya terdiri daripada remaja Rohingya. Mereka bukan sahaja mahir dalam membaiki pelbagai jenis motosikal, malah sudah menghafal harga setiap alat ganti di bengkel itu.
Mungkin lima hingga 10 tahun akan datang, kita akan menyaksikan di mana kedudukan anak-anak Melayu dan bagaimana masa depan anak-anak Rohingya di bumi Malaysia ini.
Dari Sinar Harian
Baca Juga Kongsi Video Kesalahan Motosikal Dengan JPJ, Bantu Turunkan Kadar Kemalangan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.