R25 2025 Baharu Hadir Dengan Assist & Slipper Clutch dan Aplikasi Y-Connect

Share

R25 Hadir Dengan Sistem Assist & Slipper Clutch (A&S).

Sempena kehangatan MotoGP Malaysia Grand Prix, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan generasi terbaru Yamaha YZF-R25 2025 yang membawa bersama DNA perlumbaan Yamaha yang sinonim dengan nama R-Series. Majlis pelancaran eksklusif ini turut diserikan dengan kehadiran pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP serta Prima Pramac Yamaha MotoGP.

Tampil dengan gaya baharu yang diinspirasikan terus daripada dunia perlumbaan, rekaan YZF-R25 2025 lebih tajam dan agresif. Fairing depan kini lebih panjang dan aerodinamik, menyerlahkan profil sporty dengan garisan badan yang lebih garang dan tumpuan diberikan pada aspek kelajuan.

Reka bentuk lampu posisi berkembar menonjolkan identiti “race-ready” model ini, manakala kemasan dua tona warna pada panel sisi menghasilkan siluet yang kemas dan moden sebuah kombinasi gaya dan fungsi yang diterjemahkan dengan penuh karakter oleh pasukan reka bentuk R-Series.

Yamaha turut memberi perhatian kepada keselesaan dan kawalan penunggang. Bentuk badan yang lebih ringan dan tirus menjadikan R25 mudah dikendalikan di jalan dalam bandar mahupun selekoh di litar. Reka bentuk tempat duduk yang ergonomik turut membantu penunggang mendapatkan posisi tunggangan optimum, sama ada untuk kegunaan harian atau di litar.

Untuk pertama kalinya, model R25 hadir dengan sistem Assist & Slipper Clutch (A&S). Teknologi ini bukan sahaja memberikan penukaran gear menurun yang lebih lancar, malah mengurangkan kesan brek enjin ketika tork belakang tinggi. Hasilnya, tunggangan menjadi lebih stabil, responsif dan menyeronokkan.

Turut diperkenalkan ialah Yamaha Motorcycle Connect (Y-Connect App), membolehkan penunggang menyambungkan motosikal terus ke telefon pintar. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh memantau status motosikal termasuk penggunaan bahan api, notifikasi penyelenggaraan, serta lokasi parkir terakhir. Ia bukan sekadar fungsi tambahan, tetapi melengkapkan R25 sebagai motosikal moden yang seiring dengan gaya hidup digital masa kini.

Menjana kuasa di bawah tangki ialah enjin 249cc DOHC dua silinder selari, menghasilkan 26.4 kW pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm. Dipadankan bersama sistem brek ABS dua saluran dan lampu isyarat LED penuh, model ini mengekalkan tahap keselamatan serta gaya moden yang diharapkan oleh peminat Yamaha.

YZF-R25 2025 kini ditawarkan dalam dua warna baharu iaitu Pearl Blu dan Racing Blu, menyerlahkan semangat perlumbaan Yamaha dengan identiti warna “Blu” yang ikonik.

Model ini boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha di seluruh Malaysia pada harga cadangan RM 23,098.00 (tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran).

Baca Juga : Yamaha MT-09 2025 Kini Hadir Dengan Warna Baru Lightning Blue

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi