Dalam dunia automotif, khususnya motosikal, kita sering melihat model buatan China yang meniru reka bentuk jenama terkenal.
Namun, QJMotor SRK921 “Super9” bukan sekadar replika MV Agusta Superveloce 1000.
Hubungan rapat antara QJMotor dan MV Agusta menjadikan model ini sah secara teknikal dibina hasil kerjasama rasmi dan lesen teknologi daripada pengeluar Itali tersebut.
Kerjasama ini bermula pada tahun 2020 apabila CEO MV Agusta ketika itu, Timur Sardarov, menandatangani perjanjian dengan Dongshao Guo dari Qianjiang Motor (syarikat induk QJMotor).
Ia merangkumi pengedaran MV Agusta di China serta pembangunan model baharu menggunakan enjin rekaan MV, diproduksi di China.
QJMotor Super9 dibina berasaskan SRK921RR, menggunakan enjin empat silinder 921cc hasil lesen rasmi MV Agusta.
Enjin ini berasal daripada warisan MV Brutale 920, dengan konfigurasi bore 73mm dan stroke 55mm, serupa dengan siri Brutale 920, 990, dan 1090 sebelum generasi Brutale 1000.
Rangkanya hampir sama dengan MV Brutale, termasuk penggunaan single-sided swingarm.
Suspensi depan dan belakang menggunakan komponen Marzocchi (yang juga dihasilkan oleh Qianjiang), manakala sistem brek dilengkapkan dengan Brembo radial-mount.
Walaupun SRK921RR tampil dengan gaya moden tersendiri, QJMotor Super9 jelas meminjam DNA visual MV Agusta Superveloce 800 dan 1000.
Ia mempunyai side winglets hampir identik, bentuk fairing bawah yang serupa, serta ekzos empat corong tersusun di bahagian kanan mengingatkan kepada konfigurasi tiga paip Superveloce 800.
Siapa yang bertanggungjawab atas reka bentuk ini masih menjadi tanda tanya.
QJMotor sebelum ini menggunakan khidmat studio C-Creative (diasaskan bekas bos MV, Giovanni Castiglioni, dan bekas ketua reka bentuk MV/Benelli, Adrian Morton) untuk konsep Ten78, tetapi tidak pasti jika mereka terlibat dalam Super9.
Enjin: 4-silinder 921cc, rekaan MV Agusta, buatan China
Kuasa Maksimum: 127 hp @ 10,000 rpm
Berat: 208 kg (curb weight)
Wheelbase: 1,425 mm
Suspensi: Marzocchi fully adjustable fork, shock dan steering damper
Brek: Brembo radial-mount calipers
Paparan: Skrin TFT berwarna
Harga Anggaran di China: SRK921RR (platform sama) dijual pada 69,999 yuan (<USD 10,000)
Super9 diperkenalkan di pameran CIMA, China, serentak dengan kelulusan type approval oleh kerajaan China.
Dengan spesifikasi yang hampir menyamai MV Agusta tetapi dijual pada harga jauh lebih rendah di pasaran domestik, ia menjadi alternatif menarik bagi penunggang yang mahukan prestasi Eropah tanpa tanda harga premium.
Berdasarkan trend pasaran dan fokus MForce terhadap model berkapasiti sederhana untuk pasaran tempatan, kemungkinan Super9 hanya dipasarkan untuk pasaran domestik China dan beberapa pasaran global terpilih.
Namun, penting untuk diingat bahawa jenama QJMotor bukan calang-calang.
Mereka memiliki teknologi, lesen, dan reputasi hasil kerjasama dengan MV Agusta, Benelli, serta penguasaan dalam segmen performance bike
di China.QJMotor Super9 membuktikan bahawa “superbike” dari China tidak semestinya sekadar tiruan kosong.
Dengan asas teknologi MV Agusta, kelengkapan komponen premium, dan harga yang kompetitif, ia menjadi simbol evolusi industri motosikal China ke arah model berprestasi tinggi yang sah dari segi teknikal.
Walaupun belum pasti tiba di Malaysia, ia menandakan bahawa QJMotor sudah bersedia bermain di liga superbike antarabangsa.
Sumber Artikel : QJMotor’s Super9 First Look
Laman Sesawang QJMotor Global : QJMotor SU9
Baca Juga : QJMOTOR SRK250S Motosikal 250cc dengan Harga Bawah RM10,000!