QJMOTOR E-LTR: Skuter Elektrik Mampu Milik

Share

QJMOTOR E-LTR: Skuter Elektrik Mampu Milik, Kini Rasmi di Malaysia

Industri dua roda di Malaysia semakin rancak dengan kemasukan model-model elektrik baharu, dan kali ini giliran QJMOTOR Malaysia memperkenalkan skuter elektrik pertama mereka untuk pasaran tempatan, iaitu QJMOTOR E-LTR.

Dengan reka bentuk moden, prestasi praktikal serta harga yang mampu milik, E-LTR bukan sekadar pelengkap barisan produk QJMOTOR, malah menjadi langkah penting jenama ini dalam mendukung transformasi mobiliti hijau negara.

Pelancaran rasmi ini juga menandakan penyertaan QJMOTOR ke dalam segmen skuter elektrik, segmen yang semakin berkembang pesat berikutan sokongan kerajaan terhadap kenderaan mesra alam melalui pelbagai insentif termasuk rebat MARiiCas.

Harga dan Pilihan Warna

QJMOTOR E-LTR ditawarkan dengan harga jualan RM6,999 sahaja, tidak termasuk caj pendaftaran dan insurans.

Lebih menarik, pemilik baharu turut layak menikmati rebat sehingga RM2,400 di bawah inisiatif MARiiCas, menjadikan skuter ini antara pilihan paling kompetitif di pasaran.

Dua warna rasmi disediakan iaitu Biru Gelap dan Putih, dua tona ringkas tetapi bergaya yang menekankan karekter moden sebuah skuter urban.

Ia boleh didapati di semua pengedar sah Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., pengedar rasmi QJMOTOR di Malaysia.

Prestasi Motor dan Jarak Tunggangan

Dari sudut teknikal, E-LTR digerakkan oleh motor roda elektrik berkuasa maksimum 3,000W dengan sistem penyejukan udara.

Angka tersebut mungkin kedengaran sederhana, tetapi cukup untuk memenuhi keperluan penunggang bandar.

Skuter ini mampu mencapai kelajuan maksimum 70km/j, sesuai untuk kegunaan harian sama ada ulang-alik kerja, penghantaran jarak dekat atau perjalanan santai dalam bandar.

Selain itu, E-LTR direka untuk mendaki cerun dengan sudut sehingga 19°, sekali gus menjadikannya praktikal untuk persekitaran beralun seperti kawasan perumahan berbukit.

Dari segi jarak, bateri penuh membolehkan tunggangan sejauh sekitar 105km, angka yang kompetitif dalam kelasnya.

Lebih fleksibel, pengguna boleh memilih antara tiga mod kelajuan sama ada mod jimat tenaga untuk perjalanan jarak jauh, mod sederhana untuk keseimbangan atau mod maksimum untuk pecutan lebih bertenaga.

Bateri dan Keupayaan Pengecasan

Sumber tenaganya datang daripada bateri Lithium-Ion 74V27Ah, dengan dua slot disediakan.

Setiap unit E-LTR datang dengan satu bateri standard, manakala slot kedua boleh ditambah untuk meningkatkan jarak tunggangan.

Untuk pengecasan, dari 30% ke 80% SOC mengambil masa antara 5 hingga 6 jam, bergantung pada keadaan elektrik.

Pengecasan penuh pula membolehkan perjalanan lebih 100km, cukup untuk kegunaan seharian tanpa perlu mengecas berulang kali.

Reka Bentuk dan Dimensi

QJMOTOR E-LTR mempunyai dimensi padat dengan ukuran 1,890mm panjang, 710mm lebar, dan 1,100mm tinggi, menjadikannya sesuai untuk celah-mencelah di laluan bandar.

Dengan jarak roda 1,310mm serta ketinggian tempat duduk hanya 760mm, ia mesra untuk penunggang pelbagai saiz tubuh.

Berat keseluruhan pula hanya 98.5kg tanpa bateri, menjadikan skuter ini antara model elektrik yang ringan, mudah dikawal dan senang diparkir di ruang sempit.

Suspensi, Sistem Brek dan Tayar

Bagi aspek kendalian, E-LTR dilengkapi penyerap hentak hidraulik di bahagian hadapan dan suspensi hidraulik berkembar di bahagian belakang.

Konfigurasi ini direka untuk memberikan keselesaan optimum walaupun di permukaan jalan tidak rata.

Sistem membrek pula menggunakan cakera hidraulik dengan teknologi CBS (Combi Brake System) pada kedua-dua roda, memastikan keselamatan lebih baik terutama dalam situasi kecemasan.

Ia dipadankan dengan tayar 100/90-R12 di hadapan dan 110/90-R12 di belakang, kombinasi yang memberi keseimbangan di antara cengkaman dan kestabilan.

Ciri Moden dan Praktikaliti

Sebagai skuter generasi baharu, QJMOTOR E-LTR tidak ketinggalan menawarkan pelbagai ciri moden:

  • Paparan meter digital LCD dengan bacaan jelas

  • Sistem lampu LED penuh untuk lampu utama, belakang, signal dan hazard

  • Port pengecasan USB bagi kemudahan mengecas telefon pintar

  • Suis keselamatan tongkat sisi dan sistem kunci anti-kecurian

    untuk keselamatan tambahan
  • Ruang simpanan praktikal, termasuk poket depan berkembar dan ruang bawah tempat duduk

  • Kerusi premium bertekstur, meningkatkan keselesaan perjalanan harian

Satu lagi ciri menarik ialah fungsi Error Code (ERR) yang memaparkan kod ralat jika berlaku masalah teknikal, memudahkan pengguna mengenal pasti isu sebelum menghantar ke pusat servis.

Jaminan dan Selepas Jualan

QJMOTOR menawarkan jaminan pengeluar 2 tahun atau 20,000km (yang mana tiba dahulu), memberikan ketenangan kepada pembeli.

Tambahan lagi, pemilik boleh membeli alat ganti tulen secara dalam talian melalui platform rasmi Mforce Bike Holdings, sekali gus memastikan ketersediaan selepas jualan lebih terjamin.

Baca Juga : QJMOTOR Malaysia Perkenal SRK250R, Sportbike 250cc Bawah RM10,000

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi