Automotif

Prototaip Motosikal Hidrogen Pertama Dari Kawasaki, Ninja H2 HySE

Share

Motosikal yang penuh ‘watak’ ini bukanlah hanya sekadar watak dalam sebuah drama pengembaraan yang kita saksikan di kaca televisyen, tetapi motosikal yang betul-betul ‘hidup’ dan dicipta oleh Kawasaki.

Bukanlah sesuatu yang kecil, motosikal “Kawasaki Ninja H2 HySE” yang diterbitkan oleh Team Green ini menjadi motosikal pertama Kawasaki yang berjalan dengan menggunakan hidrogen, dan ia dibina melalui usaha bersama konsortium HySE yang terdiri daripada Kawasaki, Yamaha, Suzuki, Honda, dan Toyota.

Menurut laporan yang diperoleh dari WeBike, Ninja H2 HySE ini diperkembangkan berasaskan model H2 yang telah wujud terlebih dahulu, dengan menggunakan enjin empat silinder sebaris berkapasiti 999 cc yang dilengkapkan dengan ciri-ciri sistem bahan api suntikan langsung.

Satu ciri menarik, ‘kotak pannier’ sisi yang agak besar pada bahagian kiri dan kanan motosikal itu direka khas untuk menyimpan kanister hidrogen tambahan. Ini ditambah dengan lampu depan berbentuk H yang memberikan petanda kepada penggunaan bahan api hidrogen, diikuti dengan corak warna biru dan hitam arang yang memberikan gaya yang unik pada motosikal ini.

Kredit Foto: Careta.my

Dilaporkan bahawa model prototaip ini akan digunakan untuk ujian penilaian awal sebelum ke arah pemasaran enjin motosikal bertenaga hidrogen ini pada tahun 2030. Penggunaan enjin pembakaran dalaman dengan penggunaan bahan api hidrogen bukanlah perkara yang asing bagi pengeluar automotif Jepun.

Toyota sebelum ini turut mempersembahkan beberapa model konsep GR bertenaga hidrogen, malah mereka turut menguji keberkesanan penggabungan ini dalam perlumbaan sebenar di atas litar. Langkah ini menunjukkan komitmen industri automotif Jepun dalam mengejar kemajuan teknologi dan kelestarian alam.

Kehadiran prototaip Ninja H2 HySE ini bukan sahaja membuka lembaran baru dalam dunia motosikal, tetapi juga menjadi tonggak penting dalam usaha menjana tenaga yang lebih bersih dan berkesan untuk masa depan pengangkutan kita.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Shazwan