Proton mengumumkan jentera lumba S70 Pasukan R3 yang bersaing dalam perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K) hujung minggu lalu akan dipamerkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024.
Acara ini dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 11 Disember di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Menariknya, kereta lumba yang akan dipamerkan adalah jentera bernombor #82, dipandu oleh pasangan Alister Yoong dan Ariff Azmi. Mereka berjaya mengakhiri perlumbaan di tempat kelima dalam kelas Malaysian Touring Car (MTC).
Ia akan dipamerkan dalam keadaan asal selepas perlumbaan, lengkap dengan ‘parut perang’ hasil cabaran yang dihadapi sepanjang perlumbaan.
Namun, perlumbaan kali ini bukanlah tanpa cabaran untuk Pasukan Proton R3. Selepas lima tahun berehat, pasukan ini kembali ke litar yang penuh dengan persaingan sengit. Malangnya, kereta bernombor #81 yang dipandu oleh Syafiq Ali mengalami insiden pada lap ke-8 apabila bahagian belakangnya bersentuhan dengan kereta lain, menyebabkan ia berpusing dan melanggar penghadang. Akibatnya, jentera ini terpaksa menarik diri dari perlumbaan lebih awal.
Bagi kereta #82, ia juga menghadapi rintangan besar. Bermula dari kedudukan kesembilan, ia menghadapi masalah teknikal yang memerlukan masa 40 minit untuk diperbaiki di pit stop. Walaupun begitu, pasangan pemandu berjaya menunjukkan prestasi konsisten, membawa jentera ini menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima dalam kelas MTC.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, memuji usaha pasukan ini walaupun keputusan tidak sepenuhnya memenuhi sasaran mereka. “Pasukan Proton R3 bersama pemandu dan Proton S70 R3 telah memperkukuhkan warisan perlumbaan Proton dengan persembahan yang cemerlang di S1K 2024. Walaupun kami mengharapkan kemenangan keseluruhan, kami sedar cabaran besar yang menanti, termasuk persaingan dengan pasukan yang lebih berpengalaman dan kereta baru,” katanya.
Menurut Roslan, walaupun kereta #81 mengalami kemalangan dan kereta #82 kehilangan masa di pit, banyak data berharga telah dikumpulkan sepanjang perlumbaan ini. “Kedudukan kelima dalam kelas MTC telah memberikan asas kukuh untuk pasukan mempersiapkan diri bagi musim 2025,” tambahnya lagi.
Jadi, jika anda peminat kereta lumba, pastikan untuk ke KLIMS 2024 bagi menyaksikan sendiri kehebatan Proton S70 dengan parutnya yang membuktikan cabaran sebenar perlumbaan S1K. Ini adalah peluang terbaik untuk melihat jentera yang mewakili semangat juang Proton R3 di arena perlumbaan.
Dari PaulTan
Baca Juga PROTON Edar 3.85 juta Unit Sedan Sejak Julai 1985
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.