Automotif

Proton Chancellor Dijual Dengan Harga RM138,888 Pada Tahun 2005

Share

Pernah atau tidak anda melihat sebuah Proton Waja yang agak panjang sedikit berbanding Proton Waja yang lain? penulis pasti ramai yang tidak pernah melihat kenderaan ini secara dekat pada masa kini.

Proton suatu ketika dahulu agak terkenal dengan pengeluaran kereta berbentuk limousine dan tujuan utama penghasilanya adalah untuk kegunaan kerajaan dan menteri.

Sejarah Proton Chancellor

Sebelum kenderaan ini dibuka untuk tempahan awam pada 15 Disember 2005 dan dilancarkan pada tahun berikutnya, Proton Chancellor muncul pertama kali digunakan sebagai kenderaan rasmi dalam Persidangan ASEAN Summit pada 12-14 Disember 2005.

Kredit Foto : Website carlist.my

Proton Chancellor hadir dalam warna hitam sepenuhnya di luarannya. Oleh itu, kenderaan ini lebih ditujukan kepada golongan korporat, eksekutif, dan pegawai kerajaan.

Walaupun ia kelihatan hampir serupa dengan Waja, namun kenderaan ini menggunakan roda asas yang telah dipanjangkan kepada 2,850mm berbanding 2,600mm pada Waja standard.

Pemanjangan ini telah menghasilkan ujian keselamatan menyeluruh di Sepanyol untuk memastikan bahawa badan kenderaan yang lebih panjang itu tetap kukuh seperti Proton Waja standard yang lebih pendek.

Baca Juga : 5 Motosikal Modenas Yang Mungkin Anda Tidak Pernah Lihat

Rekaan Dalaman

Dengan sentuhan elegan, Proton Chancellor tampil eksklusif dengan ciri dalaman yang mewah, dipenuhi dengan warna krim dan sentuhan kayu coklat pada pintu, “hand rest”, dan papan pemuka.

Tidak hanya itu, kenderaan yang muncul pada tahun 2005 ini menawarkan hiburan yang lengkap dengan pemain DVD dan CD, skrin kecil di bahagian belakang, serta corong udara yang diselitkan dengan kemas di ruang belakang.

Ruang yang diperbesarkan di bahagian belakang menjanjikan keselesaan lebih, sementara pintu belakangnya membuka peluang lebih luas berbanding dengan Waja konvensional.

Kredit Foto : Website carlist.my

Kuasa Enjin

Proton Chancellor dilengkapi dengan enjin Mitsubishi 6A12 2.0L V6, yang sama digunakan dalam Proton Perdana V6. Enjin ini terbukti menghasilkan kuasa sebanyak 149 PS. Enjin ini dipasangkan dengan transmisi automatik 4-kelajuan.

Menurut PROTON, kenderaan ini mampu mencapai 205 km/j sebagai kelajuan maksimumnya. Selain itu, ia memerlukan 13 saat untuk memecut dari 0-100 km/j. Bagi sebuah kenderaan yang dihasilkan pada tahun 2005, kuasa yang terdapat pada Chancellor pada ketika itu dianggap cukup memuaskan.

Kredit Foto : Website carlist.my

Proton Chancellor juga dilengkapi dengan beberapa ciri khas lain seperti sistem penggera, tingkap kuasa hadapan dan belakang, sensor undur, dan kawalan cermin sisi elektrik.

Harga Proton Chancellor

Proton Chancellor edisi khas ini dilancarkan pada harga yang agak tinggi ketika itu, iaitu RM138,888. Harganya mungkin terlalu mahal jika dibandingkan dengan harga kenderaan pada masa ini.

Tetapi, memandangkan kenderaan ini sudah memiliki pembeli (kerajaan), Proton tidak terlalu bimbang. Malah syarikat swasta juga pasti tidak mengalami masalah untuk membeli Chancellor pada masa itu.

Jika anda merasakan ia terlalu mahal, mungkin anda bukanlah sasaran pembeli bagi model ini. Mungkin itu sebabnya kenderaan ini jarang dilihat di jalan raya. Atau mungkin juga kenderaan ini telah sering kali berada di hadapan kita, tetapi kerana ia serupa dengan Waja, orang tidak menyedari.

Sumber Artikel : Website Carlist – Enjin V6 Dalam Proton Waja?

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi