Proton, pengeluar kereta kebangsaan Malaysia, baru-baru ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Grab Malaysia untuk memperluas pilihan kenderaan bagi pemandu e-hailing.
Melalui kerjasama ini, Proton menawarkan faedah eksklusif kepada pemandu Grab yang membeli model Proton Saga.
Sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam industri e-hailing yang semakin berkembang.
MoA ini ditandatangani oleh Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, dan Rashid Shukor, Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia, disaksikan oleh Edmund Lim Meng Thong, Naib Presiden Jualan & Selepas Jualan Proton Edar, serta Tan Jiong Jian, Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia.
Perjanjian ini menandakan usaha pertama Proton untuk memasuki industri e-hailing secara lebih mendalam.
Proton Saga dipilih sebagai kenderaan pilihan utama untuk pemandu Grab kerana kebolehpercayaan dan harga yang mampu milik.
Dengan reputasi yang kukuh sejak diperkenalkan pada tahun 1985, Proton Saga menjadi model kegemaran ramai.
Baca Juga : Pembentukan Garam Pada Terminal Bateri Kereta dan Cara Menanganinya
Ciri-ciri keselamatan seperti ABS, pengagihan brek elektronik, sensor parkir depan dan belakang, kawalan cengkaman, serta skrin sentuh moden menjadi tarikan utama model ini.
Lebih 2 juta unit proton saga terjual sehingga Mei 2024, menjadikannya kereta paling laris dalam sejarah automotif Malaysia.
Proton dan Grab Malaysia turut melancarkan kempen eksklusif yang dikenali sebagai “Saga Power Up for Grab Drivers,”.
Kempen ini akan bermula pada 4 November 2024.
Kempen ini menawarkan rebat tunai dan diskaun servis sebanyak 5% untuk dua tahun pertama atau sehingga 40,000 km.
Saga boleh dibeli oleh pemandu Grab yang layak tanpa had, asalkan mereka memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Grab Malaysia.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Grab Malaysia dalam menyokong industri e-hailing dengan menawarkan Proton Saga kepada rakan pemandu Grab. Kebolehpercayaan dan kos penyelenggaraan yang rendah menjadikan ia pilihan terbaik untuk usahawan yang bergantung pada kereta sebagai kenderaan utama mereka.
Faedah eksklusif yang ditawarkan ini juga sejajar dengan visi Proton untuk menyediakan mobiliti yang lebih mudah diakses kepada rakyat Malaysia,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Rashid Shukor, Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia, menambah bahawa kerjasama ini bukan sahaja memudahkan pemandu untuk mendapatkan kenderaan yang sesuai, tetapi juga memberi peluang pendapatan kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
“Sebagai tambahan kepada pakej Proton, Grab menawarkan sehingga RM500 untuk rakan pemandu baru yang membeli Proton Saga dan mengaktifkan akaun pemandu Grab mereka.
Dengan permintaan perjalanan yang semakin meningkat, inisiatif ini mendorong lebih ramai individu untuk memanfaatkan peluang dalam ekonomi digital,” katanya.
Pemandu sedia ada dan yang berminat boleh melayari laman web Grab untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Dalam masa yang sama ada boleh memulakan proses pendaftaran sebagai pemandu Grab.
Kerjasama antara Proton dan Grab Malaysia ini dilihat sebagai satu langkah yang strategik.
Kerjasama ini dapat meningkatkan akses kepada kenderaan yang boleh digunakan oleh pemandu e-hailing.
Dengan sokongan tambahan daripada Grab, termasuk rebat tunai dan insentif untuk pemandu baru, ini merupakan peluang yang menarik bagi mereka yang ingin memanfaatkan pasaran e-hailing yang semakin berkembang.
Kredit Artikel : PROTON
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.