Empat Pelumba Terawal Dipilih Sertai Siri Profesional SKILLDRVN Swift 2026
Akademi Perlumbaan Kegani (Kegani Racing Academy, KRA) telah melancarkan secara rasmi Siri Profesional SKILLDRVN Swift 2026, sekali gus memperkenalkan proses draf pelumba pertama seumpamanya di Malaysia.

Pelancaran ini menyaksikan empat pasukan terawal mengesahkan penyertaan serta memilih pelumba masing-masing bagi musim sulung siri berkenaan, iaitu Bendix Ultimate Racing Team, Profimax Racing Team, Team Ultra Racing dan ELF Evolution Team. Pemilihan pelumba dilakukan menerusi kaedah undian bagi memastikan keadilan serta ketelusan.

Siri Profesional SKILLDRVN Swift akan berlangsung dalam lima pusingan perlumbaan di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, dengan penyertaan dihadkan kepada 10 pasukan sahaja bagi musim pertama.
Kejohanan ini diiktiraf sebagai kejohanan bertaraf kebangsaan dan dianggap sebagai satu peningkatan penting dalam ekosistem pembangunan pelumba tempatan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Laluan Jelas Ke Perlumbaan Profesional
Siri Profesional ini diperkenalkan sebagai kesinambungan kepada kejayaan SKILLDRVN One Make Race (OMR) Series yang bermula pada 2023 dan berfungsi sebagai platform pembangunan bakat baru.
Menurut Prinsipal dan Ketua Jurulatih Kegani Racing Academy, Kenny Lee, pengenalan siri baharu ini bertujuan menyediakan laluan yang lebih jelas dan realistik untuk pelumba tempatan melangkah ke tahap profesional.

“Siri Profesional ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada syarikat dan jenama tempatan untuk terlibat dalam sukan permotoran secara berterusan dan mampu milik. Semua pasukan menggunakan jentera dan bajet yang sama, sekali gus mewujudkan persaingan yang adil,” katanya.
Beliau berkata, platform ini juga membuka peluang kepada pelumba OMR untuk dipilih secara profesional tanpa perlu menanggung kos tinggi seperti membeli atau menyewa jentera perlumbaan.
Jentera Sama, Bakat Jadi Penentu
Kesemua pasukan dalam Siri Profesional SKILLDRVN Swift akan menggunakan Suzuki Swift 1.6 liter berasaskan model pengeluaran, sama seperti yang digunakan dalam Siri OMR. Namun, jentera ini dilengkapi “maping” enjin khas yang dinaik taraf bagi kegunaan perlumbaan profesional.

Pendekatan menggunakan jentera yang sama bertujuan memastikan kemenangan ditentukan sepenuhnya oleh kemahiran, disiplin dan strategi pelumba, bukannya kelebihan teknikal.
Mulai musim 2027, pasukan juga akan diberi pilihan untuk menyertai perlumbaan dengan dua buah kereta, bergantung kepada kesediaan dan perancangan masing-masing.
Syarat Ketat Pemilihan Pelumba
Bagi melayakkan diri ke Siri Profesional, pelumba perlu terlebih dahulu membuktikan prestasi mereka dalam SKILLDRVN One Make Race Series.
Pelumba yang berjaya mengumpul sekurang-kurangnya 700 mata kejuaraan sepanjang kerjaya akan layak secara automatik untuk disenaraikan dalam proses draf. Memandangkan mata maksimum yang boleh diperoleh dalam satu musim hanyalah 500 mata, setiap perlumbaan menjadi amat penting.
Pengecualian hanya diberikan kepada pelumba yang berjaya meraih 500 mata maksimum dalam satu musim serta memenangi anugerah Rookie of the Year.
Sebagai pelumba Siri Profesional, mereka akan menerima tajaan penuh perlumbaan daripada pasukan yang memilih mereka.
Sokongan Daripada Rakan Industri
Penglibatan jenama automotif seperti Bendix, Profimax dan Ultra Racing dilihat sebagai bukti keyakinan industri terhadap struktur dan hala tuju siri ini.
Menurut wakil Bendix, platform SKILLDRVN menyediakan persekitaran perlumbaan sebenar bagi menguji ketahanan dan konsistensi komponen brek, selain membantu pembangunan kemahiran kawalan kenderaan dalam kalangan pelumba.
Profimax pula melihat siri ini sebagai medium terbaik untuk menilai aspek perlindungan, kebolehpercayaan dan konsistensi produk dalam situasi tekanan tinggi, manakala Ultra Racing menekankan kepentingan laluan pembangunan pelumba yang tersusun dan telus.
Loke Yin Yee Cipta Sejarah
Dalam perkembangan lain, Kegani Racing Academy turut mengumumkan Loke Yin Yee sebagai juara keseluruhan SKILLDRVN One Make Race Series 2025, sekali gus mencatat sejarah sebagai juara berganda pertama selepas turut menjuarai kejuaraan sama pada 2024.

Tempat kedua keseluruhan dimenangi Andy Boey, manakala Vox Lim menduduki tempat ketiga. Andy Boey sebelum ini merupakan juara keseluruhan bagi musim 2023.
Baca Juga : Edisi Terhad Suzuki Swift Sport Final Edition dengan Identiti Eksklusif
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






