
Honda secara rasmi mengumumkan penajaan bersama Honda LCR bagi musim MotoGP 2026, menyaksikan pasukan itu akan beraksi dengan dua jentera sepanjang musim di kelas perdana Kejuaraan Dunia Grand Prix FIM.
Bermula musim 2026, LCR Honda akan mengekalkan jentera CASTROL Honda LCR yang ditunggang oleh Johann Zarco, selain memperkenalkan satu lagi penyertaan baharu dikenali sebagai Pro Honda LCR. Pro Honda, jenama minyak dan bahan kimia tulen Honda, akan berperanan sebagai penaja utama bagi jentera kedua ini.
Tempat pelumba bagi Pro Honda LCR akan diisi oleh Diogo Moreira, juara dunia Moto2 musim 2025. Pelumba muda dari Brazil itu bakal membuat penampilan sulung sepenuh musim dalam kelas MotoGP bersama jentera Honda RC213V.
Sebenarnya, Pro Honda bukan nama asing dalam paddock MotoGP. Jenama ini pernah membuat kemunculan sulung pada penghujung musim 2024 di perlumbaan Solidarity Grand Prix, apabila Stefan Bradl beraksi sebagai pelumba wildcard bersama Honda HRC Test Team menggunakan livery Pro Honda.
Pada musim 2025 pula, Honda meneruskan penggunaan livery Pro Honda menerusi penyertaan wildcard oleh Aleix Espargaro dan Takaaki Nakagami. Kedua-duanya mencatat enam penampilan keseluruhan bersama Honda HRC Test Team, sekaligus mengukuhkan kehadiran Pro Honda di pentas MotoGP.
Pro Honda merupakan jenama global minyak dan bahan kimia tulen Honda yang dibangunkan bagi memaksimumkan prestasi kenderaan Honda. Teknologi yang diuji dalam persekitaran ekstrem perlumbaan akan disalurkan terus ke produk komersial, dengan penekanan terhadap prestasi, ketahanan dan kebolehpercayaan.
Menurut Kotaro Shimizu, Pegawai Eksekutif Bahagian Operasi Customer First Honda Motor Co., Ltd., kerjasama ini adalah langkah penting buat jenama ini dalam menyokong cabaran baharu bersama LCR Honda dan Diogo Moreira. Honda komited untuk menyumbang sepenuhnya kepada pasukan dan pelumba, sambil terus menyampaikan nilai serta teknologi jenama ini kepada pengguna di seluruh dunia.
Ketua Pasukan dan CEO LCR Honda, Lucio Cecchinello, menyifatkan kerjasama dengan Pro Honda sebagai satu pencapaian penting dalam projek pasukan. Menurutnya, kedua-dua pihak berkongsi nilai yang sama dalam mengejar keseimbangan antara prestasi kompetitif dan kebolehpercayaan jentera.
Untuk musim 2026, Honda LCR akan mempertaruhkan dua jentera RC213V dalam MotoGP. Johann Zarco akan meneruskan saingan bersama CASTROL Honda LCR, manakala Diogo Moreira bakal menggalas cabaran baharu bersama Pro Honda LCR sebagai juara dunia Moto2 yang dinaikkan ke kelas perdana.
Baca Juga : Honda Dash 125 Tampil Dengan Empat Warna Baharu
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.