Automotif

Porsche Malaysia dan MAM Lancar Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Sekolah

Share

Gabungan Strategik Demi Masa Depan Jalan Raya Malaysia

Porsche Malaysia yang diwakili oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP) bersama-sama Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (Motorsports Association of Malaysia, MAM) telah mengorak langkah proaktif dalam memperkasakan pendidikan keselamatan jalan raya menerusi kempen bertemakan “Students Today, Drivers Tomorrow”.

Kempen ini menumpukan kepada golongan pelajar sebagai sasaran utama bagi membentuk generasi pemandu yang bertanggungjawab pada masa hadapan.

Dengan matlamat mendidik bakal pemandu Malaysia sejak usia muda, kempen ini telah mencapai lebih 1,600 peserta yang terdiri daripada pelajar berusia antara 7 hingga 17 tahun dari seluruh negara.

Ia merupakan satu inisiatif yang bukan sahaja membina kesedaran, tetapi turut mencetuskan perubahan tingkah laku secara berterusan dalam komuniti.

Statistik Kemalangan Menjadi Dorongan

Keselamatan jalan raya terus menjadi topik perbualan di Malaysia.

Berdasarkan statistik semasa, lebih 530,000 kes kemalangan jalan raya dicatatkan.

Kebanyakannya berpunca daripada tabiat pemanduan yang tidak selamat.

Kesan kemalangan ini bukan sekadar melibatkan individu, tetapi turut memberi impak besar terhadap masyarakat secara keseluruhan.

Atas dasar itu, pendekatan mendidik pelajar sejak di bangku sekolah dilihat sebagai langkah pencegahan jangka panjang yang mampu membentuk pemandu yang lebih prihatin dan bertanggungjawab.

Peranan Pendidikan dan Kerjasama Industri Automotif

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter menegaskan,

“Sukan permotoran sememangnya sebati dalam DNA Porsche. Namun, di sebalik prestasi dan semangat dalam dunia pemanduan, aspek keselamatan tetap menjadi asas utama. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan MAM dalam usaha mendidik generasi muda tentang pentingnya keselamatan jalan raya.”

Tambah beliau lagi, “Kita perlu menanam kesedaran sejak awal agar pelajar bukan sahaja faham tetapi juga mampu menjadi duta keselamatan jalan raya dalam keluarga masing-masing. Melalui pengetahuan yang dikongsi, mereka boleh menyebarkan tabiat pemanduan yang positif, sekali gus membentuk budaya memandu yang lebih bertanggungjawab di seluruh negara.”

Baca Juga : Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2025 Kembali!

Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir turut berkongsi komitmen yang sama.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Porsche Malaysia dalam menjayakan inisiatif ini. Pendidikan ialah langkah pertama untuk melahirkan pemandu yang beretika. Dengan mendidik pelajar mengenai keselamatan jalan raya sejak kecil, kita boleh memupuk tabiat yang akan kekal sepanjang hayat mereka,” ujarnya.

Pengisian Program: Gabungan Ilmu dan Pengalaman Praktikal

Kempen ini menampilkan siri jelajah di sekolah-sekolah terpilih seluruh negara.

Aktiviti utama merangkumi sesi ceramah keselamatan jalan raya bersama jurulatih sukan bermotor, kuiz interaktif untuk menguji pengetahuan pelajar, dan pengalaman simulasi pemanduan secara maya menggunakan driving simulator.

Melalui simulasi ini, pelajar berpeluang merasai sendiri situasi sebenar di sebalik stereng.

Secara tidak langsung mereka dapat mengaplikasikan pengetahuan yang telah dipelajari dalam suasana yang terkawal dan menyeronokkan.

Pendekatan pembelajaran secara praktikal ini membantu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap kepentingan pemanduan berhemah.

Membentuk Generasi Pemandu yang Beretika dan Bertanggungjawab

Inisiatif ini bukan sekadar program pendidikan, malah satu gerakan sosial untuk membentuk ekosistem pemanduan yang lebih selamat di Malaysia.

Dengan menyasarkan pelajar sebagai agen perubahan, Porsche Malaysia dan MAM yakin pendekatan ini mampu memberi impak besar.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi impak terhadap individu, tetapi kepada keluarga dan komuniti secara keseluruhan.

Melalui kerjasama erat antara industri automotif dan badan sukan bermotor negara, kempen “Students Today, Drivers Tomorrow” menjadi bukti bahawa mendidik generasi muda tentang keselamatan jalan raya bukan pilihan, tetapi satu keperluan mendesak demi masa depan jalan raya negara yang lebih selamat dan berhemah.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi