Porsche Malaysia, di bawah naungan Sime Darby Auto Performance (SDAP), menyambut ulang tahunnya yang ke-15 tahun ini.
Acara ini turut berlangsung dengan penuh gemilang di The Exchange TRX, Kuala Lumpur, daripada 11 hingga 13 April 2025. .
Acara tiga hari ini memperlihatkan perjalanan luar biasa jenama ini di Malaysia dari pemasangan tempatan model ikonik hinggalah kepada pelancaran kenderaan elektrik berprestasi tinggi.
Sebagai tarikan utama, Porsche memperkenalkan model baharu 911 Carrera dan Cayenne S E-Hybrid Coupé pemasangan tempatan.
Selain juga mereka turut mempamerkan model seperti Taycan, Macan, dan 911 GT3 Cup milik pasukan Sime Motors Racing Team yang kini bersaing dalam Porsche Carrera Cup Asia 2025.
Sejak penubuhannya pada tahun 2010, Porsche Malaysia telah berkembang pesat.
Bermula dengan satu pusat jualan di Glenmarie, kini Porsche Malaysia mengendalikan empat Pusat Porsche di seluruh negara termasuk Penang dan Johor Bahru.
Model seperti Cayenne dan 911 mencatatkan jualan memberangsangkan, mencerminkan minat mendalam rakyat Malaysia terhadap jenama prestij dari Jerman ini.
Menurut Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby,
“Ini adalah detik membanggakan buat kami semua di Sime. Kejayaan selama 15 tahun ini adalah hasil daripada sokongan berterusan rakan kongsi kami dan pelanggan setia.”
Salah satu pencapaian terbesar Porsche Malaysia ialah penubuhan kilang pemasangan luar pertama Porsche di dunia, terletak di Kulim pada Mac 2022.
Di sinilah lahirnya Cayenne pemasangan tempatan, kini dijual pada harga bermula RM599,999.
Pada Julai 2024, kejayaan itu diteruskan dengan Cayenne S E-Hybrid Coupé, sebuah SUV elektrik hibrid yang turut menjadi model Porsche pertama dieksport dari Malaysia ke Thailand.
Model ini, yang mula ditawarkan kepada umum pada Januari 2025, dijual pada harga bermula RM728,000.
Sebagai peneraju dalam mobiliti elektrik di rantau ini, Porsche Malaysia telah melancarkan rangkaian pengecasan berprestasi tinggi bersama Shell.
Rangkaian ini membolehkan pemilik Taycan melakukan perjalanan rentas negara dari Singapura ke Thailand melalui Malaysia dengan selesa, dengan pengecas 360 kW yang hanya memerlukan sekitar 20 minit untuk mengecas dari 0 ke 80%.
Di samping pengecas awam, Porsche turut memperkenalkan pengecas 350 kW di pusat jualan mereka sebagai perkhidmatan percuma untuk pemilik EV Porsche.
Lebih menarik pelanggan yang membuat tempahan Taycan atau Macan kini menerima Porsche Mobile Charger 11-kW edisi khas.
Kemunculan generasi baharu 911 Carrera memberi nafas baru kepada legasi model ikonik ini.
Dengan enjin 3.0-liter twin-turbo boxer, model ini menghasilkan 394 PS dan memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 4.1 saat.
Bagi pencinta prestasi mutlak, 911 GTS baharu hadir dengan sistem T-Hybrid inovatif, menghasilkan 541 PS dan 610 Nm tork.
Harga permulaan untuk 911 Carrera ialah RM1.43 juta, manakala 911 Carrera 4 GTS bermula dari RM1.89 juta.
Sebagai sebahagian daripada DNA sukan permotoran Porsche, Malaysia memainkan peranan penting dalam membentuk bakat tempatan.
Pasukan Sime Motors Racing telah menyertai pelbagai perlumbaan termasuk Porsche Carrera Cup Asia, manakala Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia membuka peluang kepada pelumba muda untuk beraksi dalam dunia maya.
Litar Sepang menjadi pentas utama untuk pengalaman memandu dan aktiviti komuniti yang menggabungkan kelajuan dan ketepatan, sejajar dengan semangat sebenar jenama ini.
Komuniti Porsche Malaysia berkembang sebagai tunjang kekuatan jenama ini.
Porsche Club Malaysia, yang ditubuhkan seiring dengan kehadiran Porsche di negara ini, telah memainkan peranan penting dalam membina hubungan erat antara pemilik dan jenama.
Aktiviti seperti konvoi, program eksklusif dan pengalaman gaya hidup mewah menjadikan pemilikan Porsche lebih daripada sekadar memiliki kereta.
Porsche Malaysia kini bersedia melangkah ke era baharu.
Dengan komitmen terhadap kualiti, inovasi e-mobiliti dan pengalaman pelanggan yang tiada tandingan, jenama ini bersedia untuk terus memacu impian rakyat Malaysia dalam dunia automotif.
Seperti kata Christopher Hunter, CEO SDAP,
“Kami akan terus memacu pertumbuhan ini, memartabatkan semangat Porsche, dan menyampaikan pengalaman luar biasa kepada semua pemilik Porsche di Malaysia.”
Sime Darby Auto Performance Sdn. Bhd. ialah pengedar rasmi Porsche di Malaysia sejak 2010.
Mereka berperanan dalam mengedar kenderaan dan alat ganti Porsche, serta menawarkan khidmat selepas jualan di pusat Porsche di Ara Damansara, Sungai Besi, Penang dan Johor Bahru.
Pusat ini juga menjadi pusat 4S pertama di rantau Asia Pasifik serta satu-satunya Porsche Classic Partner di Malaysia.