Automotif

Porsche 911 Dakar Sonderwunsch – Penghormatan Terakhir yang Istimewa

Share

Setelah menghasilkan 2500 unit yang menakjubkan, produksi Porsche 911 Dakar akhirnya sampai ke penghujung jalan. Namun, Porsche memastikan model istimewa ini mendapat penghormatan terakhir yang sempurna dengan mencipta satu edisi unik Sonderwunsch untuk pelanggan terakhirnya.

Model khas ini tampil dengan sentuhan luar biasa, termasuk cat tiga tona yang memukau – Signal Yellow, Gentian Blue Metallic, dan warna baru yang dipanggil Lampedusa Blue. Porsche 911 Dakar sudah terkenal dengan reka bentuk yang memukau. Namun, versi Sonderwunsch ini benar-benar membawa daya tarikan model tersebut ke tahap yang lebih tinggi.

Reka Bentuk Tersendiri dan Kehalusan Seni


Sonderwunsch edisi khas ini dihiasi dengan Rallye Design Package dan mendapat cat tiga tona yang dihasilkan sepenuhnya dengan tangan. Bahagian bawah badan kereta diberikan warna Gentian Blue Metallic yang elegan. Manakala bahagian atas disempurnakan dengan Signal Yellow yang terang. 

Antara kedua-dua warna ini, terdapat jalur tipis Lampedusa Blue yang melingkari lengkungan 911, memberikan sentuhan artistik yang mengagumkan.

Nama Lampedusa Blue diilhamkan daripada sebuah pulau Itali, Lampedusa. Warna ini direka khas dengan kerjasama pelanggan yang memiliki kereta tersebut. Reka bentuk roda juga mengikut tema warna kereta ini dengan jejari roda berwarna Signal Yellow dan bibir roda berwarna Lampedusa Blue. Jalur tipis warna yang sama turut melingkari lampu utama, menambah daya tarikan visual.

Bahagian dalaman tidak kurang hebatnya. Aksen dan jahitan Signal Yellow menghiasi tempat duduk, konsol tengah, serta panel pintu. Sebagai pelengkap, tanda 12 o’clock pada stereng turut diberikan warna Lampedusa Blue.

Kuasa Tetap Hebat

Walaupun model Sonderwunsch ini menonjol dengan perubahan visual yang unik, tiada perubahan pada aspek prestasi. Enjin flat-six 3.0-liter twin-turbo yang diambil daripada 911 GTS menghasilkan 473 kuasa kuda. Dengan transmisi dwi-klac lapan kelajuan PDK dan sistem pacuan semua roda, model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.9 saat.

Satu Peluang Terakhir

Walaupun edisi Sonderwunsch ini hanya untuk satu pemilik bertuah, orang ramai masih berpeluang untuk melihatnya sebelum ia dihantar ke rumah pemiliknya. Model ini akan dipamerkan di muzium Porsche sebagai satu penghormatan kepada legasi 911 Dakar.

Porsche 911 Dakar Sonderwunsch bukan sekadar sebuah kereta – ia adalah karya seni bergerak yang melambangkan kehebatan reka bentuk dan kejuruteraan Porsche. Dengan penghujung produksi ini, Porsche meninggalkan satu memori yang tidak akan dilupakan dalam dunia automotif.

Dari Car and Driver

Baca Juga Porsche 911 GT3 RS Manthey Racing Kit – Lebih Aerodinamik, Lebih Laju

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan