Automotif

PETRONAS SIC Sambut Ulangtahun ke-25 Bersama MotoGP November Ini!

Share

PETRONAS SIC & MotoGP

Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (PETRONAS SIC) telah mengadakan sidang media baru-baru ini. Sidang dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi mengumumkan penganjuran Grand Prix PETRONAS Malaysia 2024 (MotoGP Malaysia).

Ia dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 3 November 2024. Acara tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-25 MotoGP Malaysia dianjurkan di Litar Sepang, serta 25 tahun sejak PETRONAS SIC dibuka kepada umum pada tahun 1999. 

Sempena peristiwa penting ini, festival ‘After Race Fest’ akan diadakan sebagai tarikan tambahan buat para peminat.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS SIC, Azhan Shafriman Hanif, menyatakan kegembiraan beliau dalam meraikan ulang tahun ke-25 ini dengan penganjuran festival yang dijanjikan penuh dengan keseronokan. 

Beliau juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada HIFIVE Entertainment kerana menjadi rakan kongsi strategik dalam festival ini.

Tiket Eksklusif

Bersempena dengan sambutan ini, tiket eksklusif untuk peminat MotoGP Malaysia dijual pada harga RM500 dan boleh didapati sehingga 31 Ogos 2024. 

Azhan turut menegaskan bahawa acara ini bukan sahaja meraikan ulang tahun PETRONAS SIC, tetapi juga ulang tahun ke-50 PETRONAS dan 75 tahun perlumbaan MotoGP.

Adam Adli dalam ucapannya menyatakan bahawa penganjuran MotoGP Malaysia ini merupakan bukti komitmen kerajaan dalam memperkasa komuniti sukan permotoran di Malaysia. 

Sejak tahun 1999, PETRONAS SIC telah berjaya menganjurkan 25 acara MotoGP Malaysia, yang membuktikan kemampuan Malaysia dalam menganjurkan acara bertaraf dunia.

Tambahan Lain..

Beliau juga menekankan bahawa acara sukan permotoran bertaraf antarabangsa ini bukan sahaja membantu dalam membangunkan ekosistem sukan permotoran yang mampan tetapi juga mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan pelancongan, dan memperkasakan belia melalui program seperti Rakan Litar. 

Adam turut memuji usaha PETRONAS SIC dalam menyokong bakat-bakat baru seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan dalam usaha mereka untuk menjadi juara dunia.

Siti Azlina Abdul Latif, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik, Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi PETRONAS, menyatakan penglibatan PETRONAS dalam sukan ini mencerminkan semangat untuk prestasi serta dedikasi kepada pembangunan bakat dan kemajuan teknologi.

Tawaran Istimewa

Selaras dengan inisiatif Malaysia Madani oleh kerajaan, PETRONAS SIC memperkenalkan semula Tiket Rahmah pada harga RM49.90 bagi memastikan sukan ini dapat diakses oleh semua. 

Selain itu, diskaun istimewa sebanyak 25 peratus turut ditawarkan sehingga 20 September 2024 sempena sambutan Hari Merdeka.

Selain aksi perlumbaan, pelbagai aktiviti luar trek yang menarik juga menanti peminat, termasuk sesi Meet and Greet, Public Pit Lane Walk, dan Riders’ Autograph Session. 

Peminat juga boleh menikmati Night Track Tour Experience yang popular, serta berkunjung ke Karnival Mega MotoGP yang menampilkan lebih 100 jenama terkenal.

Untuk maklumat lanjut dan mendapatkan tiket, layari www.sepangcircuit.com atau ikuti saluran media sosial PETRONAS SIC.

Dari Careta 

Baca Juga Kalendar MotoGP 2024 – Tarikh dan Lokasi Terkini

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan