PETRONAS Lubricants International (PLI) baru-baru ini melancarkan PETRONAS Sprinta Racing, minyak pelincir revolusioner yang direka khas untuk motosikal dan perlumbaan. Pelancaran ini diadakan sempena Majlis Makan Malam Rakan Niaga Asia yang diadakan di Kuala Lumpur semasa PETRONAS Grand Prix Malaysia 2023 yang berlangsung dari 10 hingga 12 November 2023.
PETRONAS Sprinta Racing merupakan produk terbaru dalam rangkaian minyak pelincir motosikal PLI dan ianya hadir dengan slogan ‘Your Way’ atau ‘Cara Anda’, menampilkan rupa bentuk dan ciri-ciri baharu lebih menarik.
Difahamkan, produk ini merupakan hasil daripada penyelidikan dan pembangunan di Pusat Penyelidikan dan Teknologi (R&T) Global PLI di Turin, Itali. Ia terkenal dengan kejuruteraan yang menekankan prestasi enjin maksimum, pengalaman menunggang yang lancar dan selamat, serta perlindungan yang tiada tandingan.
Produk ini menggambarkan semangat dan keunikan pengguna PETRONAS Sprinta yang datang daripada pelbagai latar belakang dan gaya hidup. Majlis pelancaran ini dihadiri oleh rakan niaga PLI dan wakil media dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan untuk memperkenalkan produk baharu ini.
Pengarah Urusan Serantau Asia, PETRONAS Lubricants International, Khalid Latiff, berkata, “PETRONAS Sprinta dengan teknologi UltraFlex™ memberikan tindak balas segera yang diperlukan oleh penunggang motosikal. Produk ini memberi tumpuan kepada semua aspek penting motosikal anda untuk meningkatkan prestasi dan perlindungan, membolehkan anda dapat merasai pengalaman pemanduan yang berbeza dan menikmati perjalanan anda dengan gaya yang tersendiri.”
Manakala jelas Ketua Pegawai Eksekutif, PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM), Zameer Zahur Hussain, pula, “Saya sebagai seorang penunggang motosikal juga sangat bangga dengan pelancaran PETRONAS Sprinta Racing.
“Minyak pelincir ini dihasilkan dengan teliti untuk memenuhi dan mengatasi piawaian ketat, mendorong pelumba dan penunggang motosikal berprestasi tinggi untuk menguji keupayaan motosikal mereka. Tidak kira sama ada motosikal anda dari pengeluar terkemuka di Jepun, Eropah, atau Amerika, PETRONAS Sprinta Racing sedia menjadi teman setia anda sepanjang perjalanan anda.”
PETRONAS Sprinta Racing 10W-50 adalah minyak enjin sintetik sepenuhnya yang dicipta dengan teliti menggunakan formula Ester eksklusif dan disokong oleh teknologi UltraFlex™ terkini. Minyak pelincir ini dirumuskan untuk bertindak balas segera mengikut pelbagai keperluan dan aspek penting motosikal besar berprestasi tinggi, menawarkan bukan sahaja perlindungan yang pantas tetapi juga ketangkasan yang tiada tandingan.
Melalui inovasi yang dikendalikan oleh PLI, produk ini menawarkan prestasi, ketahanan, dan perlindungan yang segera kepada penunggang motosikal, membolehkan pengguna mencapai matlamat mereka dan meneroka sempadan baharu. Majlis pelancaran ini menyaksikan keseronokan para hadirin sempena PETRONAS Grand Prix Malaysia 2023, dan pelancaran PETRONAS Sprinta Racing ini menjanjikan arah baru dalam penggunaan minyak pelincir PLI.
Rangkaian produk baharu ini meningkatkan piawaian kualiti dan prestasi, memastikan bahawa penunggang motosikal dapat mempercayai PETRONAS Sprinta dalam setiap perjalanan mereka. Inovasi berterusan PLI yang ditenagai oleh Fluid Technology Solutions™ (Penyelesaian Teknologi Bendalir) memberikan produk dan perkhidmatan pakar yang sesuai dengan keperluan industri dan pengguna yang sentiasa berubah.
Produk ini akan dilancarkan ke pasaran terbuka bermula 13 November 2023 di PETRONAS Shop dan laman rasmi Shopee PETRONAS. Pengedaran produk akan dilakukan secara berperingkat di semua bengkel sah dan Stesen PETRONAS di seluruh Malaysia. Harga runcit yang disyorkan adalah RM76 bagi Malaysia Barat dan RM77 bagi Malaysia Timur.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.