Automotif

Paten Baharu Yamaha Dedah Model E-Turbo

Share

Dunia Permotoran Meneroka Era Turbo Elektrik

Dalam usaha mempertingkatkan prestasi sambil memenuhi keperluan piawaian emisi global yang semakin ketat, Yamaha kembali mencuri tumpuan dunia automotif dengan pemfailan paten baharu bagi teknologi E-Turbo.

Setelah hampir satu dekad sejak pengenalan Kawasaki H2 yang dikuasakan supercaj, kini Yamaha menyertai semula perlumbaan inovasi dengan pendekatan unik terhadap sistem turbo berasaskan bantuan elektrik.

Usaha Awal Yamaha: Ke Arah Turbo Lebih Bersih dan Efisien

Usaha Yamaha untuk meneroka potensi pengecas turbo dalam motosikal bukanlah sesuatu yang baharu.

Seawal tahun 2020, pengeluar dari Jepun ini pernah memperkenalkan prototaip motosikal tiga silinder berkapasiti 847cc.

Motosikal ini berasaskan casis MT-10 yang diubah suai.

Enjin serba baharu itu – meskipun mempunyai konfigurasi silinder dan sesaran yang sama dengan MT-09 – mampu menghasilkan 180 hp dan tork 130 lb.-ft.

Sambil mengurangkan emisi CO2 sebanyak 30% serta memotong pelepasan NOx, karbon monoksida dan hidrokarbon secara signifikan.

Ia merupakan strategi selari dengan pendekatan jenama-jenama kereta mewah seperti BMW dan Mercedes-Benz.

Mereka mula beralih kepada enjin kecil dengan pengecas turbo bagi mengekalkan prestasi tanpa menjejaskan piawaian emisi.

Cabaran Turbo pada Motosikal: Saiz, Berat dan ‘Lag’

Namun begitu, aplikasi pengecas turbo pada motosikal menghadirkan cabaran unik.

Ruang yang terhad menjadikan pemasangan sistem turbo, (intercooler), serta paip berkaitan amat mencabar.

Di samping itu, berat tambahan turut memberi impak ketara terhadap keseimbangan motosikal yang ringan.

Masalah ‘lag’ – kelewatan antara putaran pendikit dan penghantaran kuasa – juga lebih dirasai dalam motosikal berbanding kereta kerana kawalan pendikit tangan (twistgrip) yang lebih sensitif.

E-Turbo: Solusi Elektrik kepada Masalah Tradisional

Yamaha kini mengetengahkan solusi inovatif menerusi sistem E-Turbo – pengecas turbo berasaskan motor elektrik – seperti yang digariskan dalam dokumen paten terkininya.

Berbeza daripada turbo tradisional yang bergantung sepenuhnya kepada tekanan gas ekzos, E-Turbo dilengkapi motor elektrik bagi memutarkan turbin secara terus, sekalipun tekanan ekzos belum cukup tinggi.

Teknologi ini telahpun digunakan dalam dunia automotif oleh pengeluar seperti Garrett dan BorgWarner, dan turut dimuatkan dalam model-model mewah Mercedes dan Porsche.

Kini, Yamaha cuba menerapkannya dalam dunia dua roda, bagi menghapuskan masalah ‘lag’ dan menyediakan kuasa segera di semua julat RPM.

Pendekatan Yamaha: Tanpa Bateri Berat, Tanpa Hibrid Rumit

Menariknya, Yamaha mengambil pendekatan yang lebih praktikal dan ringan berbanding percubaan lalu oleh Suzuki pada 2015 yang mencadangkan sistem turbo hibrid empat silinder.

Dalam paten baharu ini, Yamaha mengelak daripada menggunakan bateri besar atau sistem hibrid.

Sebaliknya, motor elektrik yang memacu turbo dihubungkan secara terus kepada penjana (generator) yang dipacu aci engkol (crankshaft).

Sekiranya perlu menyimpan tenaga elektrik buat sementara waktu, kapasitor dicadangkan sebagai pengganti bateri, bagi memastikan sistem kekal ringan dan ringkas.

Sistem ini juga beroperasi menggunakan voltan tinggi – mungkin dalam julat 48V seperti digunakan dalam kereta moden – bagi memastikan penghantaran kuasa yang efisien kepada komponen E-Turbo.

Potensi Masa Depan: Kembali Era Turbo Dua Roda?

Walaupun sebelum ini terdapat banyak cubaan yang tidak menjadi kenyataan dalam menghasilkan motosikal berkuasa turbo, kejayaan model seperti Kawasaki H2 dan bakal pelancaran Honda V3R E-Compressor tahun ini mungkin menjadi pencetus gelombang baharu.

Yamaha jelas menunjukkan keyakinan bahawa dengan teknologi E-Turbo yang menangani masalah lag.

Era motosikal turbo boleh direalisasikan secara praktikal dan berdaya saing.

Tambahan pula, Suzuki juga pernah merancang enjin parallel twin 776cc yang asalnya dicipta untuk sistem turbo.

Akhirnya ia dikeluarkan sebagai versi aspirasi normal dalam model GSX-8S, GSX-8R dan V-Strom 800.

Yamaha sebagai Pemangkin Inovasi

Paten terbaharu Yamaha memberi isyarat jelas bahawa industri permotoran dua roda bersedia melangkah ke fasa baharu dengan penggunaan teknologi E-Turbo.

Gabungan prestasi tinggi, emisi rendah, dan kawalan kuasa yang responsif menjadikan pendekatan ini berpotensi merubah landskap motosikal masa hadapan.

Kini, hanya masa akan menentukan sama ada Yamaha benar-benar akan membawa inovasi ini ke jalan raya.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Baca Juga : Penghujung Era Nissan GT-R R35: Akhir Sebuah Legenda

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi