Automotif

Panduan Permohonan Bonggol Jalan Di Kawasan Kediaman Anda

Share

Bonggol jalan adalah elemen penting dalam sistem keselamatan jalan raya, direka untuk memastikan kenderaan memperlahankan kelajuan di kawasan tertentu.

Walaupun sering dianggap menyusahkan, ianya mempunyai peranan besar dalam melindungi pengguna jalan raya, pejalan kaki, dan penduduk setempat.

Artikel ini akan membincangkan kepentingan bonggol jalan, undang-undang berkaitan, dan prosedur pembinaan yang sah dan selamat serta cara permohonan.

Kepentingan Bonggol Jalan

Bonggol jalan membantu mengurangkan kelajuan kenderaan secara paksa, terutama di kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti kawasan perumahan, sekolah, dan tempat tumpuan awam.

Ini bukan sahaja mengurangkan risiko kemalangan, tetapi juga melindungi nyawa pengguna jalan raya dan penduduk sekitar.

Pembinaan Bonggol Jalan Tidak Sah

Di beberapa kawasan, terdapat individu yang membina bonggol jalan secara persendirian tanpa panduan atau kelulusan yang sah.

Walaupun niat mereka adalah untuk keselamatan, pembinaan secara haram boleh membawa kepada bahaya dan kemalangan.

Bonggol yang tidak menepati spesifikasi boleh merosakkan kenderaan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Akta Pengangkutan Jalan 1987

Pembinaan bonggol jalan tanpa kelulusan adalah satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen 80 akta tersebut menyatakan bahawa sebarang pembinaan bonggol jalan tanpa hak yang sah dan langkah keselamatan yang mencukupi boleh dikenakan denda atau penjara. Oleh itu, penting untuk mematuhi undang-undang dan mendapatkan kelulusan yang betul.

Baca Juga : Panduan Lengkap Tentang Cara Permohonan Lampu Jalan

Prosedur Permohonan Pembinaan Bonggol Jalan

Untuk membina bonggol jalan yang sah, permohonan perlu dibuat kepada Majlis Perbandaran. Permohonan boleh dikemukakan melalui:

  1. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)
  2. Persatuan Penduduk / Rukun Tetangga
  3. Ahli Majlis / ADUN Kawasan / Ahli Parlimen

Permohonan memerlukan prosedur yang lebih spesifik dan melibatkan sokongan yang lebih kuat daripada penduduk setempat.

Untuk membuat permohonan, persatuan penduduk perlu memainkan peranan utama. .

Permohonan haruslah dikemukakan oleh persatuan penduduk dan mesti ditandatangani oleh Pengerusi Persatuan Penduduk. Selain itu, sokongan daripada Ahli Majlis kawasan juga diperlukan untuk memperkuat permohonan tersebut.

Satu aspek penting dalam permohonan adalah sokongan majoriti penduduk. Permohonan ini perlu mendapat sokongan melebihi 80 peratus daripada penduduk kawasan yang terlibat.

Ini memastikan bahawa pembinaanya benar-benar diperlukan dan disetujui oleh majoriti penduduk yang terkesan.

Setelah sokongan majoriti diperoleh, permohonan tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur PBT atau mesyuarat pengurusan tertinggi PBT untuk pertimbangan dan kelulusan.

Proses ini memastikan bahawa setiap permohonan yang diluluskan adalah berdasarkan keperluan sebenar dan telah melalui penilaian yang teliti.

Dengan melibatkan persatuan penduduk dan mendapatkan sokongan majoriti, pembinaan dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan memenuhi tujuan utamanya untuk meningkatkan keselamatan jalan raya di kawasan perumahan atau lokasi-lokasi yang memerlukan.

Syarat-syarat Permohonan

Beberapa syarat yang dipertimbangkan dalam permohonan pembinaan bonggol jalan termasuk:

  1. Jalan pintas yang sibuk seperti jalan yang menghubungkan dua taman perumahan.
  2. Jalan Bandaran (jalan dalam taman perumahan) yang tidak menyambungkan Jalan Negeri / Jalan Persekutuan.
  3. Berhampiran kawasan tumpuan awam seperti masjid, surau, dewan, taman permainan, sekolah, dll.
  4. Berdekatan dengan lampu jalan sedia ada.
  5. Jarak yang sesuai antara bonggol sedia ada.
  6. Tiada petak parkir di kiri atau kanan jalan.

Reka Bentuk Bonggol Jalan

Reka bentuk bonggol jalan perlu mematuhi Arahan Teknik Jalan JKR (18/97) Basic Guidelines On Pedestrian Facilities.

Ini termasuk spesifikasi ketinggian, lebar, dan bahan yang digunakan untuk memastikan ianya berfungsi dengan baik dan selamat.

Pembinaanya memerlukan pematuhan kepada undang-undang dan spesifikasi yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.

Dengan mengikuti prosedur yang betul dan mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa, bonggol jalan boleh dibina dengan berkesan untuk mengurangkan risiko kemalangan dan melindungi nyawa.

Jadilah pemandu yang bijak dan bertanggungjawab dengan mematuhi peraturan jalan raya dan menghargai peranan bonggol dalam keselamatan jalan raya.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.