Bayangkan melakukan lompatan bungee, tetapi bukan dengan tubuh, sebaliknya dengan sebuah kereta daripada jenama Nissan.
Inilah yang dilakukan oleh Nissan di Perancis pada 12 Ogos lalu, apabila mereka memecahkan rekod dunia untuk lompatan bungee kereta tertinggi di Puteaux, Perancis.
Pada ketinggian 65 meter (213 kaki 3 inci), Nissan Qashqai e-Power menjadi pelakon utama dalam aksi yang menentang graviti ini.
Aksi berani ini merupakan satu kejayaan luar biasa yang direka khas oleh Nissan, dengan menetapkan ketinggian minimum 65 meter untuk diiktiraf sebagai rekod dunia baharu.
Menariknya, kereta yang digunakan adalah model Qashqai e-Power yang telah lama diiktiraf sebagai peneraju SUV.
Bahkan, model ini pernah digambarkan sebagai “lonjakan besar ke hadapan” dalam dunia SUV dan kini, secara literal melompat mencabar graviti.
Menurut Pengarah Pemasaran Nissan, Jérôme Biguet, idea untuk lompatan bungee ini datang secara semulajadi.
Qashqai sering dipromosikan melalui iklan TV dengan aksi lasak seperti luncur papan, meluncur ombak, dan juga bermain paintball.
Jadi, mencipta rekod baharu dengan lompatan bungee ini dilihat sebagai langkah yang sesuai untuk meningkatkan keterujaan terhadap model ini.
Persediaan untuk aksi ini mengambil masa sebulan, di mana sebuah platform khas dibina bagi menahan kereta dalam dua posisi horizontal dan pada sudut 45 darjah bagi memberi momentum sebelum lompatan dilakukan.
Untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan, bahagian dalam kereta dilucutkan kecuali tempat duduk pemandu dan papan pemuka, bertujuan meringankan beratnya.
Satu tali bungee khas terdiri daripada lapan tali dihasilkan untuk memberikan kawalan yang lebih tepat terhadap kelajuan dan jarak lompatan.
Selain itu, sebuah kren dan sangkar digunakan untuk menahan kereta di tempatnya.
Operasi kren juga perlu dilakukan dengan ketelitian tinggi bagi memastikan waktu pelepasan platform dan lompatan kereta berlaku dengan sempurna.
Pada hari lompatan, pasukan teknikal tiba seawal 6 pagi untuk memasang kren di bawah suhu panas terik 38°C di kawasan Paris Business District.
Ketinggian kren dari tanah diukur dengan teliti menggunakan pita pengukur laser oleh Pegawai Rasmi Adjudikator, Prav Patel.
Bagi melengkapkan aksi mendebarkan ini, Nissan menjemput pemandu perlumbaan profesional dan pelagak ngeri, Laurent Lasko, untuk berada di dalam kereta dan mengambil ‘stereng’.
Setelah kereta dinaikkan ke udara oleh kren, pintu sangkar dibuka, dan kereta Nissan Qashqai merah itu meluncur laju ke bawah, melawan graviti, sebelum melantun beberapa kali seperti lompatan bungee biasa.
Selepas aksi yang mendebarkan, kereta perlahan-lahan diturunkan semula ke tanah.
Kedua-dua tali bungee dan kereta berada dalam keadaan baik, dan selepas pengesahan dengan saksi dan bailif, Prav Patel mengesahkan bahawa ia adalah rekod dunia baharu!
Nissan merancang untuk menggunakan rekod ini sebagai sebahagian daripada kempen promosi bagi model Qashqai e-Power, membuktikan bahawa kenderaan ini bukan sahaja mencabar norma, tetapi juga graviti.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.