Menyambut tahun baharu, Edaran Tan Chong Motor memperkenalkan sedan segmen B terbaru mereka, Nissan Almera 2024, yang kini diserlahkan dengan pakej KURO Edition dan warna baharu Glacier Grey yang memukau.
Pakej KURO dengan harga RM8,000 membawa sentuhan unik ke Almera 2024. Dibangunkan oleh TOMEI Jepun, kit aero ini didatangi dengan pilihan rim aloi (15 atau 16 inci), bampar depan, bampar belakang, skirt sisi, dan spoiler belakang, semuanya datang dengan kemasan hitam berkilat yang menawan.
Aksesori tambahan termasuk Film Tinting ICE Cool, pedal sukan, plat pemijak kaki, pelindung pemegang pintu, dan visor pintu turut disertakan dalam pakej ini. Bagi peminat yang mencari lebih, terdapat pakej KURO GT dengan tambahan RM3,200, yang menghadirkan GT Wing TOMEI dan rim aloi perlumbaan IMPUL bersaiz 16 inci.
Meskipun tanpa perubahan spesifikasi, Almera 2024 tetap bangga dengan enjin 1.0 liter turbo menghasilkan 100 hp dan 152 Nm, dengan transmisi CVT Xtronic, dan kecekapan bahan api yang mengagumkan pada 18.4 km/L.
Dalam kabin, Almera menyajikan skrin paparan semi digital 7 inci, skrin infohibur 8 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta bentuk stereng bawah yang rata, ia memberikan sentuhan sporti kepada pengalaman memandu.
Nissan Almera 2024 juga mengekalkan kelengkapan Nissan Intelligent Mobility dan Nissan Safety Shield 360, termasuk fungsi seperti Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (IFCW), Brek Kecemasan Hadapan Pintar (IFEB), Amaran Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, dan kamera 360 darjah.
Dengan tiga varian yang ditawarkan, harga jualan Nissan Almera 2024 bermula dari RM83,888. Untuk menyambut pelancaran pakej ini, pembeli berpeluang mendapatkan promosi Pakej KURO Edition dengan tambahan RM1,000, atau RM1,500 untuk pakej KURO GT yang terhad kepada 300 unit sahaja.
Baca: Nissan Note 2024 Hadir Dengan Trenkuasa e-Power Bagi Hatchback Segmen B
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.