MV Agusta, jenama ikonik dari Itali, kini meraikan ulang tahun ke-80 dengan pelancaran koleksi istimewa ‘Ottantesimo’.
Koleksi ini terdiri daripada enam model MV Agusta edisi terhad.
Koleksi ini bukan sekadar meraikan sejarah panjang MV Agusta tetapi turut memperkenalkan pengemaskinian pematuhan Euro5+ yang lebih mesra alam bagi semua model terpilih.
Jenama MV Agusta, asalnya dikenali sebagai Meccanica Verghera, diasaskan oleh keluarga Agusta pada 19 Januari 1945 di Itali selepas era Perang Dunia Kedua.
Ketika itu, keluarga Agusta beralih kepada pembuatan motosikal sebagai sumber ekonomi baharu selepas perniagaan asal mereka dalam bidang aeroangkasa dilarang oleh pihak Bersekutu.
Usaha ini bermula dengan pembangunan enjin 98cc pada tahun 1943, yang disembunyikan semasa pendudukan tentera Jerman.
Bagi meraikan detik bersejarah ini, MV Agusta telah melancarkan enam model edisi khas yang hanya terhad kepada 500 unit sahaja bagi setiap model di seluruh dunia.
Koleksi ini terdiri daripada empat model 800cc tiga silinder dan dua model 1000cc empat silinder.
Setiap satu model dilengkapi dengan plak terukir laser pada yoke atas serta sijil pengesahan keaslian.
Barisan 800cc dalam koleksi Ottantesimo ini menampilkan model Brutale RR, Dragster RR, F3 RR, dan Superveloce S.
Walaupun enjin 800cc tiga silindernya masih mengekalkan kuasa dan tork yang sama, ia kini memenuhi piawaian Euro5+.
Model-model ini dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini, termasuk sistem IMU enam paksi untuk bantuan keselamatan yang responsif.
Terdapat juga kawalan pelancaran, quickshifter naik/turun, kawalan jelajah, dan paparan TFT 5.5 inci dengan sambungan pintar.
Clutch baharu turut diperkenalkan dengan tuas yang 50% lebih ringan.
Model Dragster RR pula disertakan dengan clutch SCS yang memudahkan anda berhenti dalam gear tanpa perlu menarik tuas.
F3 RR Ottantesimo hadir dengan ekzos Akrapovic yang meningkatkan kuasa kepada 152.9bhp.
Selain itu turut disertakan penutup tangki bahan api CNC dan penutup tempat duduk penumpang.
Manakala, Superveloce S Ottantesimo pula dipadankan dengan ekzos Arrow yang menambah kuasa kepada 150.9bhp.
Model Brutale 1000 dan Brutale 1000 RR Ottantesimo pula dikuasakan oleh enjin 1000cc empat silinder yang telah diperbaharui dengan ECU baharu serta peta bahan api yang lebih baik.
Model-model ini juga dilengkapi dengan cam yang ditingkatkan, clutch yang 50% lebih ringan, dan ekzos Arrow baharu yang mempertingkatkan kuasa.
Hasilnya, pemanduan pada julat tengah antara 3500rpm hingga 9500rpm menjadi lebih mantap, dengan peningkatan tork dan kuasa masing-masing sebanyak 14.8ft.lb dan 14.8bhp pada 5500rpm.
Brutale merupakan model asas, sementara model RR menampilkan suspensi semi-aktif Öhlins dan tambahan komponen karbon yang lebih premium.
Namun, harga dan tarikh ketibaan koleksi ini masih belum diumumkan.
Dengan reka bentuk ikonik serta prestasi teknologi terkini, koleksi Ottantesimo pasti menjadi buruan peminat motosikal di seluruh dunia.
Setiap model yang dipersembahkan ini bukan sahaja sebuah motosikal tetapi juga simbol sejarah dan warisan yang kaya, membangkitkan semangat Itali yang tiada tandingan dalam dunia automotif
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.