Suzuki Malaysia baru-baru ini mengumumkan penghujung bagi salah satu model motosikal naked paling ikonik mereka – Suzuki SV650. Model yang pernah menjadi kegilaan ramai sejak kemunculannya pada tahun 1999 ini kini dilancarkan dalam edisi terakhir untuk pasaran tempatan.
Bagi penggemar motosikal yang menghargai enjin V-Twin. Suzuki SV650 edisi terakhir masih mengekalkan warisan prestasinya dengan enjin 645cc, empat lejang, DOHC, V-berkembar 90 darjah yang disejukkan cecair.
Enjin ini mematuhi piawaian Euro5 dan mampu menghasilkan 72PS. Lebih menarik, ciri bantuan RPM rendah pada enjin ini memastikan tunggangan lebih lancar dan kawalan yang lebih baik ketika berada pada kelajuan rendah.
Dari segi reka bentuk, SV650 mengekalkan identiti klasiknya dengan rangka jenis Truss Pipe yang ringan tetapi kukuh, digabungkan dengan elemen moden seperti lampu hadapan bulat berinspirasikan gaya retro.
Ukuran dimensi motosikal ini adalah 2,140mm panjang, 760mm lebar, jarak antara roda 1,445mm, jarak lega bumi 135mm, dan ketinggian tempat duduk 785mm. Menjadikannya mesra penunggang dengan pelbagai ketinggian.
Suzuki SV650 turut dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 14.5 liter. Memberikan jisim keseluruhan 198kg. Sistem suspensinya terdiri daripada fork teleskopik di bahagian hadapan. Monoshock dengan mekanisme linkage di bahagian belakang untuk kestabilan maksimum ketika tunggangan.
Untuk sistem roda dan brek, SV650 menggunakan rim 17 inci yang dipadankan dengan tayar bersaiz 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada dua cakera di bahagian hadapan dan satu cakera di belakang, lengkap dengan ciri keselamatan ABS bagi pengalaman tunggangan yang lebih selamat.
Motosikal ini juga dilengkapi dengan pencahayaan belakang jenis LED. Panel instrumen LCD penuh yang memberikan paparan maklumat jelas kepada penunggang. Edisi terakhir Suzuki SV650 ini ditawarkan dalam tiga warna menarik iaitu Pearl Viggo Blue, Pearl Matte Shadow Green, dan Matte Black Metallic.
Dengan harga permulaan serendah RM29,900 (tidak termasuk cukai dan pendaftaran). Suzuki SV650 edisi terakhir ini pastinya menjadi rebutan dalam kalangan peminat motosikal naked. Mereka yang mahukan jentera dengan gaya klasik, teknologi moden, dan prestasi mengagumkan pasti akan tertarik. Jika anda ingin memiliki secebis sejarah Suzuki ini, inilah peluang terakhir sebelum ia menjadi model lagenda yang hanya tinggal kenangan!
Dari Careta
Baca Juga Suzuki GSX-8R Kini di Malaysia – Kuasa, Gaya, dan Teknologi Terkini
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.