Di pentas megah EICMA 2024 di Milan, Royal Enfield memukau dunia dengan barisan motosikal terbaharu mereka. Dikenali dengan falsafah “Pure Motorcycling,” Royal Enfield kini melangkah ke masa depan dengan memperkenalkan jenama motosikal elektrik mereka, Flying Flea.
Pada masa yang sama, model-model klasik seperti Bear 650 dan Classic 650 turut diperkenalkan. Membawakan elemen warisan yang segar dalam reka bentuk terkini.
“Kami selalu terinspirasi dengan misi ‘Pure Motorcycling’ yang menggerakkan kami untuk mencipta motosikal yang unik, berinovasi, dan mampu mengadaptasi perubahan generasi.
Flying Flea adalah visi kami untuk mobiliti pintar gaya hidup yang berpandukan sejarah kami tetapi dibina untuk masa depan.”
Ini juga turut dikuatkan oleh B. Govindarajan, CEO Royal Enfield, yang menyatakan bahawa EICMA 2024 menjadi titik bersejarah yang membawa Royal Enfield ke era baharu. Dengan barisan motosikal elektrik dan penambahan model 650 Twin seperti Bear 650 dan Classic 650.
Flying Flea – Kembalinya Ikon Legenda dengan Sentuhan Elektrik
Flying Flea bukanlah nama baharu dalam dunia Royal Enfield. Model asalnya pada tahun 1943 pernah digunakan sebagai motosikal taktikal ringan semasa perang. Kini, ia dihidupkan semula sebagai jenama motosikal elektrik.
Dua model baharu, Flying Flea C6 dengan gaya klasik dan Flying Flea S6 berkonsep scrambler. Kini disajikan kepada peminat motosikal elektrik. Kedua-duanya dilengkapi dengan teknologi terkini, menonjolkan gaya ikonik Royal Enfield yang sesuai untuk kegunaan bandar.
Ads
Flying Flea adalah langkah pertama Royal Enfield ke arah revolusi mobiliti pintar, dengan reka bentuk ringan dan teknologi canggih yang menggambarkan gabungan antara warisan dan masa depan.
Royal Enfield Classic 650
Classic 650 Twin – Gaya Klasik yang Menghantui
Bagi mereka yang mengagumi gaya klasik, Classic 650 Twin hadir dengan enjin 650 Twin yang terkenal. Memberikan pengalaman menunggang yang selesa dan bertenaga.
Dengan penampilan yang mantap tetapi mesra, Classic 650 ini mengekalkan reka bentuk tradisional sambil menawarkan kekuatan dan kelajuan yang lancar.
Reka bentuknya menggabungkan elemen klasik dengan kejuruteraan moden yang menjadikannya sebuah model yang benar-benar ikonik.
Royal Enfield Bear 650
Bear 650 – Pencabar Jalanan untuk Mereka yang Percaya dengan Naluri
Bear 650 pula dicipta untuk penunggang yang berani dan penuh gaya. Dengan estetika scrambler yang menyerlah, Bear 650 direka untuk mereka yang percaya pada naluri sendiri dan berani mencabar konvensi.
Ads
Model ini menawarkan keupayaan yang serba boleh, rekabentuk yang kukuh, dan daya tarikan yang unik bagi mereka yang ingin menempuh jalan baru. Bear 650 adalah motosikal yang sempurna untuk penunggang yang mengutamakan kebebasan dan personaliti.
Kolaborasi Khas dan Model Edisi Terhad
Royal Enfield juga membawakan model kolaborasi khas di EICMA 2024, termasuk Shotgun 650 yang diubah suai bersama Icon Motosport, dinamakan “Always Something.”
Model edisi terhad ini dihasilkan dalam 100 unit sahaja, menampilkan warna tiga tona, grafik gaya perlumbaan, dan bahagian khas seperti rim emas, pegas biru, dan tempat duduk merah.
Setiap pembelian datang bersama jaket eksklusif Slabtown Intercept RE yang menambah nilai koleksi untuk peminat Royal Enfield.
Ads
Royal Enfield turut memperkenalkan Guerrilla 450 hasil kolaborasi dengan El Solitario, yang dinamakan Prometeo. Model konsep ini diinspirasikan oleh mitos Prometheus, menyoroti kebebasan dalam dunia yang semakin dikawal teknologi. Prometeo dihasilkan sebagai simbol kebebasan bagi pencinta motosikal yang menghargai kekacauan indah kehidupan individu.
Kesimpulan
Dengan barisan baharu ini, Royal Enfield bukan sahaja mempersembahkan model baharu tetapi juga menyatukan masa lalu dan masa depan dalam setiap rekaan mereka. Baik untuk penggemar motosikal elektrik mahupun peminat setia model klasik, EICMA 2024 menjadi platform yang menunjukkan betapa Royal Enfield terus memelihara semangat “Pure Motorcycling” dalam setiap detik perjalanan mereka.
Honda Malaysia kini rasmi membuka tempahan untuk model kenderaan elektrik (EV) sulung mereka – Honda e:N1. Sebuah SUV elektrik pintar yang padat dengan inovasi dan direka sepenuhnya mengikut falsafah “manusia sebagai pusat”.
Siapa sangka, jenama yang cukup terkenal dengan keseronokan pemanduan kini melangkah masuk ke dunia elektrik dengan gaya yang tersendiri!
Dijadualkan untuk dilancarkan pada suku kedua 2025, e:N1 menjadi tanda permulaan kepada perjalanan elektrifikasi Honda di Malaysia. Dibina atas platform serba baharu e:N Architecture F. Model ini menggabungkan kuasa pecutan lancar. Kawalan tepat, dan jarak pemanduan yang mengagumkan, semuanya dibungkus dalam rekaan bergaya yang tetap praktikal.
Jantung Elektrik Dengan Jiwa Honda
Di sebalik rupa moden e:N1, tersembunyi bateri lithium-ion 68.8kWh yang mampu menghasilkan kuasa 150kW dan tork 310Nm. Cukup untuk memberikan jarak pemanduan sehingga 500km (NEDC). Sesuai untuk kegunaan harian atau perjalanan luar bandar.
Kuasa ini dipacu ke roda hadapan melalui motor elektrik berprestasi tinggi yang dipasang pada casis kaku khas EV Honda. Dengan kata lain, anda masih akan rasa DNA pemanduan Honda yang menyeronokkan, walaupun tanpa bunyi enjin.
Reka Bentuk Yang Bersih dan Mewah
Luarannya tampil dengan lampu utama LED penuh, jalur lampu belakang LED, dan rim 18 inci dwi-tona eksklusif yang menjadikan e:N1 nampak moden dan sofistikated.
Port pengecasan hadapan disorok dengan kemas, menyokong pengecasan AC biasa dan pengecasan pantas DC. Lengkap dengan indikator LED untuk memudahkan pemantauan.
Yang paling menarik, logo “H” berwarna putih menjadi simbol baharu elektrifikasi Honda. Ia boleh ditemui pada pelbagai komponen seperti stereng, rim, dan penutup port pengecas. Di belakang pula, nama “Honda” ditulis dengan fon baharu secara melintang, menambahkan lagi rasa premium pada rekaan keseluruhan.
Saiz Kompak, Fungsi Maksimum
Dengan panjang 4,380mm, lebar 1,790mm, dan tinggi 1,592mm, serta jarak roda 2,610mm. E:N1 tampil sebagai SUV bandar yang kompak tapi cukup luas dan selesa untuk kegunaan seisi keluarga.
Lengkap Dengan Teknologi Keselamatan Honda SENSING
Seperti mana-mana model Honda lain, aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan. e:N1 dilengkapi dengan sistem Honda SENSING, termasuk Blind Spot Information (BSI) dan Cross Traffic Monitor (CTM). Menjadikan setiap pemanduan lebih selamat dan meyakinkan – terutama di kawasan bandar yang sibuk.
Tempah Sekarang!
Tempahan kini boleh dibuat secara terus di laman rasmi Honda Malaysia: 🔗https://prebook.honda.com.my/ Atau melalui aplikasi HondaTouch.
Untuk sebarang pertanyaan, pelanggan boleh mengunjungi 8 pengedar terpilih Honda di tiga wilayah (Selangor, KL, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor) yang khusus ditugaskan untuk menguruskan jualan dan maklumat berkaitan e:N1.
Jelas sekali, Honda tidak sekadar masuk ke pasaran EV — mereka masuk dengan penuh keyakinan. Kalau anda sedang cari EV yang tak cuma canggih tapi juga menyeronokkan untuk dipandu, Honda e:N1 mungkin jawapannya.
Ini bukan sekadar kenderaan elektrik — ini Honda versi masa depan.
Toyota telah membuat kejutan dengan kembali ke arena Formula 1 (F1) melalui satu kerjasama teknikal dengan pasukan Haas F1.
Dalam perjanjian baharu ini, bahagian sukan permotoran Toyota, Toyota Gazoo Racing (TGR), akan menjadi penaja teknikal rasmi pasukan Haas. Perjanjian ini berkuat kuasa serta-merta.
Logo TGR akan mula muncul pada kereta pasukan Haas sempena Grand Prix Amerika Syarikat minggu hadapan.
Perjanjian ini yang berlangsung selama beberapa tahun akan menyaksikan Toyota Gazoo Racing berkongsi kepakaran, sumber, dan teknologi mereka dengan Haas.
Bagi pasukan Haas, kerjasama ini adalah satu suntikan kewangan yang amat diperlukan kerana mereka adalah pasukan terkecil dalam F1.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Formula 1, TGR akan memberikan perkhidmatan reka bentuk, teknikal, dan pembuatan kepada Haas. Sementara Haas pula akan menyumbang kepakaran teknikal mereka.
Walaupun dengan kerjasama ini, Haas akan kekal sebagai pelanggan Ferrari dan akan terus membeli komponen daripada pasukan Itali itu.
Ini bermakna, kerjasama Toyota dengan Haas lebih kepada aspek teknikal dan pembuatan. Tanpa melibatkan bekalan enjin.
Kemunculan Semula Dalam Arena F1
Ini adalah kali pertama Toyota kembali ke F1 selepas menutup pasukan mereka sendiri 15 tahun lalu. Sebelum ini, Toyota bertanding sebagai pasukan pengeluar selama lapan musim, mencatatkan 13 podium dan pencapaian terbaik mereka adalah kedudukan keempat dalam Kejuaraan Pengeluar.
Bagaimanapun, pasukan tersebut terpaksa ditutup pada tahun 2009. Walaupun mereka meninggalkan F1, TGR masih aktif dalam pelbagai siri sukan permotoran global termasuk FIA World Rally Championship, FIA World Endurance Championship, Nürburgring 24 Hours, Rali Dakar, serta beberapa siri pelanggan lain.
Perlu diingat bahawa kerjasama ini tidak melibatkan Toyota sebagai pembekal enjin. Namun Presiden Toyota Gazoo Racing, Tomoya Takahashi, menyatakan keterujaannya dengan perjanjian ini.
“Dengan bersaing bersama pasukan MoneyGram Haas F1 di puncak sukan permotoran, kami bertujuan untuk melatih pemandu, jurutera, dan mekanik,” kata Takahashi.
Langkah Strategik
Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik Toyota untuk memperluaskan pengaruh mereka dalam sukan permotoran global, dan memberikan impak positif kepada kedua-dua pihak.
Bagi Haas, ini adalah peluang besar untuk meningkatkan daya saing mereka di F1 dengan sokongan teknikal daripada jenama ternama seperti Toyota.
Manakala bagi Toyota, kerjasama ini membuka pintu untuk kembali ke arena F1 tanpa perlu menubuhkan pasukan mereka sendiri. Dengan perkembangan ini, peminat F1 pastinya teruja untuk melihat sejauh mana kerjasama ini akan membawa kejayaan kepada pasukan Haas dan menghidupkan semula nama Toyota di pentas sukan permotoran paling berprestij ini.
Bagi peminat kereta klasik dan filem aksi 80-an, lampu pop-up atau lampu tersembunyi adalah satu elemen ikonik. Adegan seorang watak melompat masuk ke dalam kereta sport, menghidupkan enjin, dan lampu pop-up terbuka dengan penuh dramatik—memang cukup memberi nostalgia. Tapi kenapa teknologi ini semakin lenyap dari dunia automotif?
Cord 810
Asal-Usul Lampu Pop-Up
Lampu pop-up pertama kali muncul pada tahun 1936 melalui model Cord 810. Ketika itu, teknologi lampu kereta masih dalam peringkat awal. Lampu tersembunyi ini dikawal secara manual menggunakan engkol di bawah papan pemuka. Ia bukan sahaja memberikan rupa yang lebih aerodinamik, tetapi juga melindungi lampu dari cuaca buruk.
Pada tahun 1938, General Motors memperkenalkan inovasi dengan konsep Y-Job. Di mana lampu pop-up tidak lagi memerlukan kawalan manual tetapi menggunakan mekanisme penutup berbentuk ‘kelopak mata’ yang membuka dan menutup secara automatik.
Fenomena lampu pop-up semakin popular selepas Perang Dunia Kedua, terutama pada era 50-an dan 60-an. Ini apabila peraturan automotif menetapkan ketinggian minimum lampu depan. Bagi pereka kereta yang mahukan rekaan hadapan lebih rendah dan aerodinamik, lampu pop-up menjadi penyelesaian ideal.
Selain faktor estetika, lampu pop-up juga mempunyai fungsi tambahan. Sebagai contoh, Oldsmobile Toronado menggunakan lampu pop-up untuk membantu sistem penyejukan enjin dengan meningkatkan aliran udara ke radiator apabila diperlukan.
Era Keemasan dan Kejatuhan Lampu Pop-Up
Pada era 70-an hingga 90-an, lampu pop-up menjadi sinonim dengan kereta sport dan mewah seperti Ferrari, Lamborghini, Mazda RX-7 dan Chevrolet Corvette. Namun, tidak semua orang menyukai ciri ini. Pada tahun 1991, kolumnis automotif Brooks Peterson mengkritik rekaan lampu pop-up yang dikatakan merosakkan aerodinamik kereta apabila ia terbuka.
Menjelang awal 2000-an, teknologi lampu hadapan semakin maju, dan pop-up mula hilang dari pasaran. Salah satu model terakhir yang menggunakannya ialah Chevrolet Corvette C5 pada tahun 2004. Jadi, kenapa ia dihentikan?
Kenapa Lampu Pop-Up Tidak Lagi Digunakan?
Terdapat beberapa sebab utama kenapa lampu pop-up semakin dilupakan:
Perubahan Peraturan Automotif – Pada penghujung abad ke-20, peraturan mengenai saiz dan bentuk lampu hadapan menjadi lebih fleksibel. Pereka tidak lagi perlu menyembunyikan lampu untuk mendapatkan rupa aerodinamik yang kemas.
Isu Ketahanan dan Penyelenggaraan – Mekanisme lampu pop-up cenderung mengalami masalah mekanikal. Situasi di mana satu lampu berfungsi manakala yang lain tersekat dalam keadaan terbuka atau tertutup bukanlah perkara luar biasa, menjadikannya kurang praktikal untuk jangka panjang.
Keselamatan Pejalan Kaki – Pada tahun 1998, Kesatuan Eropah memperkenalkan peraturan keselamatan yang mengehadkan saiz objek yang menonjol dari badan kereta. Ini bagi mengurangkan kecederaan kepada pejalan kaki dalam kemalangan. Lampu pop-up menjadi mangsa peraturan ini kerana ia boleh meningkatkan risiko kecederaan akibat impak langsung.
Walaupun teknologi ini tidak diharamkan sepenuhnya, kos tinggi untuk mematuhi pelbagai piawaian keselamatan menjadikan pengeluar kereta enggan menggunakannya lagi.
Kesimpulan
Bagi peminat kereta klasik, lampu pop-up tetap mempunyai daya tarikan tersendiri. Walaupun ia mungkin tidak lagi menghiasi model moden, kita masih boleh menikmatinya dalam filem aksi 80-an atau melalui koleksi kereta klasik. Jadi, jika anda merindui lampu pop-up, mungkin sudah tiba masanya untuk mencari sebuah Mazda RX-7 atau Honda NSX untuk dijadikan koleksi!