Motosikal

Kongsi Video Kesalahan Motosikal Dengan JPJ, Bantu Turunkan Kadar Kemalangan

Share

Saranan JPJ Kelantan

Pengguna jalan raya di Kelantan yang memiliki rakaman video kesalahan penunggang motosikal. Kini boleh berkongsi terus dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan segera.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah menyatakan, jabatan itu akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap penunggang motosikal berikutan peningkatan kemalangan maut dalam kalangan mereka.

Menurutnya, JPJ kini lebih agresif dalam membendung kesalahan jalan raya. Termasuk aktiviti perlumbaan haram yang kerap melibatkan remaja.

“Jika anda boleh rakam, hantar kepada kami dan risikan akan dilakukan segera.

“Jika kesalahan melibatkan remaja bawah umur, ibu bapa sebagai pemilik kenderaan akan dipanggil dan boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang akhbar Ops Lejang di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa pada Rabu.

JPJ – Mohd Misuari (tengah) melihat motosikal yang diubah suai dalam Ops Lejang (Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa) pada Rabu.

“Kami telah lama bersabar dan melaksanakan advokasi melalui Unit Keselamatan Jalan Raya melalui kempen umum, pendidikan di sekolah dan pameran, namun mereka lebih suka mencabar undang-undang.

“Kami mewajibkan kelas sebelum mereka mengambil lesen kenderaan supaya mereka memahami peraturan jalan raya dan cara memandu dengan selamat,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, pemilik kenderaan sebenarnya sudah terdidik dengan peraturan jalan raya tetapi masih enggan mematuhinya.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak yang memiliki motosikal dan mengenali rakan mereka bagi mengelakkan penglibatan dalam aktiviti lumba haram.

JPJ – Mohd Misuari (dua, kanan) melihat motosikal yang disita dalam Ops Lejang (Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa).

Tindakan Banteras Kesalahan Jalan Raya

JPJ Kelantan akan terus melakukan risikan dan penguatkuasaan secara berkala. Terutama di seluruh kawasan yang dikenalpasti untuk menghalang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Dalam pada itu, Mohd Misuari turut memaklumkan bahawa operasi sempena Hari Raya Aidiladha akan dilaksanakan di tujuh kawasan panas di sekitar Kota Bharu.

“Operasi ini akan menumpukan kepada penunggang motosikal dan mat rempit yang mungkin akan mengambil kesempatan semasa cuti perayaan,” katanya.

Kredit – Sinar Harian

Baca – Cermin Kereta Gelap Ikut Spesifikasi JPJ 2024

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Shazwan