Motosikal

‘Jelajah Ramadan Roda Panas x Jalen’ Berlangsung Meriah, Sambutan Luar Biasa Warga Shah Alam

Share

Bulan Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan yang penuh dengan semangat kebersamaan dan keprihatinan.

Dalam meraikan keberkatan ini, Roda Panas bersama Maskulin dengan kerjasama syarikat pengeluar makanan terkenal, Jalen, telah menganjurkan acara istimewa, ‘Jelajah Ramadan Roda Panas x Jalen’.

Acara ini bukan sekadar perhimpunan komuniti automotif, tetapi juga membawa misi kebajikan dengan menyantuni masyarakat setempat.

Buat pertama kalinya, ‘Jelajah Ramadan Roda Panas x Jalen’ menyaksikan penyertaan eksklusif dari komuniti pemilik motosikal Geng Tayar Besar (GTB) yang dikenali sebagai Abah Derhaka Motorsport (ADM).

Dengan deruan enjin yang menggamatkan suasana, para peserta konvoi bukan sahaja mempamerkan keunikan motosikal modifikasi tayar besar mereka tetapi turut bersama dalam usaha menghulurkan bantuan kepada masyarakat.

Jalen Sediakan Pek Juadah Berbuka Puasa
Sebagai rakan kolaborasi utama, Jalen menaja pek juadah berbuka puasa yang disediakan khas oleh Chef Jalen, Syamil Halek.

Pek makanan ini diagihkan kepada orang ramai sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia yang terus menyokong produk Jalen sejak penubuhannya pada tahun 1981.

Sokongan dan keprihatinan ini menjadikan acara ini lebih bermakna, terutama dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

Program ini secara rasmi bermula di Sekolah Kebangsaan Presint 11(2), Putrajaya, di mana peserta konvoi dari ADM berkumpul sebelum memulakan perjalanan ke Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Seksyen 14.

Upacara pelepasan atau flag-off disempurnakan dengan penuh semangat oleh Editor Roda Panas. Syafiq Syazuan Ruzaidi bersama Penolong Pengurus/Editor Maskulin. Mohd Farizul Izwany Ibrahim yang turut disaksikan oleh Eksekutif Pemasaran & Jualan Ideaktiv Sdn Bhd. Muhammad Hilmi Fikri Amir.

Dalam perjalanan menuju lokasi agihan makanan, peserta konvoi singgah sebentar di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam. Ini bagi menunaikan solat Asar secara berjemaah.

Singgahan ini bukan sahaja memperkukuhkan ukhuwah antara peserta tetapi juga mengingatkan mereka akan kepentingan keseimbangan antara dunia dan akhirat.

Sambutan Meriah Shah Alam

Setibanya di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, para peserta Jelajah Ramadan disambut mesra oleh orang ramai yang turut hadir untuk berbuka puasa.

Sambutan yang luar biasa membuktikan keberkesanan acara ini dalam mendekatkan komuniti automotif dengan masyarakat. Kesemua 120 pek makanan habis diedarkan dalam masa yang singkat. Mencerminkan betapa program ini diterima dengan baik oleh warga Shah Alam.

Semua pihak yang terlibat, termasuk krew penganjur, peserta konvoi dan sukarelawan, meluahkan rasa syukur dan penghargaan atas kejayaan program ini.

Hakim iaitu wakil daripada Jalen menzahirkan rasa gembira dan teruja di atas anjuran acara seperti ini. “Hari ini kita berada di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Hasil kerjasama Jalen, Ideaktiv, Roda Panas dan Maskulin bagi mengedar makanan kepada orang yang berpuasa di sini. Kita menyediakan juadah berpuasa sebanyak 120 pek untuk orang ramai yang berada di sini”

Diharapkan kejayaan ‘Jelajah Ramadan Roda Panas x Jalen’ menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk menganjurkan aktiviti kebajikan seperti ini. Ia dapat mengeratkan hubungan masyarakat dan menyemarakkan semangat Ramadan.

Semoga usaha murni ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang, agar lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu. Roda Panas, Jalen, dan komuniti automotif – bersama kita berkongsi keberkatan!

Baca Juga Royal Enfield Peninsular Pursuit, Jelajah Motosikal Rentas Negara Sejauh 1200 KM

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan