Biasanya, apabila kita menyebut tentang Ducati Scrambler, imej warna-warna terang seperti kuning atau merah pasti terlintas di fikiran.
Namun, bagi model 2025, Ducati memperkenalkan sesuatu yang lebih misteri dan elegan dengan dua model baharu, Scrambler Full Throttle dan Scrambler Icon Dark.
Kedua-dua model ini hadir dengan sentuhan warna gelap yang membuatkan mereka tampak lebih berkarisma dan menarik.
Seperti generasi sebelumnya, kedua-dua model baharu ini masih dikuasakan oleh enjin 803cc Desmodue L-Twin yang ikonik. Enjin dua silinder ini mampu menghasilkan 73 kuasa kuda pada 8,250 rpm dan 65.2Nm tork pada 7,000 rpm, memberikan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan yang ideal untuk sebuah Scrambler. Enjin ini memastikan kedua-dua model menawarkan pengalaman tunggangan yang responsif dan bertenaga. Sama ada untuk perjalanan harian atau pengembaraan jarak jauh.
Model Full Throttle merupakan varian paling sporty dalam keluarga Scrambler. Diilhamkan oleh gaya jentera lumba Flat Track Amerika Syarikat pada tahun 70-an. Full Throttle menonjolkan sisi agresif yang membezakannya dengan model lain. Nombor 62 yang terpampang di sisi merujuk kepada tahun 1962, iaitu tahun pertama Ducati Scrambler diperkenalkan.
Reka bentuk Full Throttle dilengkapi dengan panel sisi yang besar, pelana unik, dan pelindung bawah enjin yang memberikannya penampilan yang lebih lasak. Rim dengan sentuhan warna gangsa. Serta hendal rendah dan madgad depan yang pendek menambahkan lagi ciri-ciri lumba pada motosikal ini.
Peredam bunyi Termignoni, yang sah digunakan di atas jalan raya. Turut disertakan sebagai ciri standard, memberikan bunyi enjin yang garang dan memuaskan. Lampu isyarat LED Ducati Performance dan Penukar Cepat Ducati Quick untuk penukaran gear atas dan bawah melengkapkan pakej ini, memastikan pengalaman tunggangan yang lancar dan bertenaga.
Harga untuk Scrambler Full Throttle di pasaran United Kingdom adalah sekitar £11,195 (kira-kira RM62,788).
Bagi mereka yang mahukan penampilan yang lebih ringkas dan minimalis, Scrambler Icon Dark adalah pilihan yang tepat. Model ini hadir dengan warna gelap yang menonjolkan sisi yang lebih ‘raw’. Tanpa panel sisi besar dan pelindung bawah enjin seperti Full Throttle. Icon Dark kelihatan lebih bersahaja namun tetap mengekalkan aura Scrambler yang lasak.
Pelindung lumpur depan yang lebih panjang dan peralatan seperti sistem Ride-by-Wire, ABS pembelokan dari Bosch, serta skrin TFT 4.3 inci memberikan model ini sentuhan teknologi moden yang meningkatkan keselamatan dan keselesaan ketika menunggang.
Penunggang juga boleh menikmati pelbagai pilihan Mod Tunggangan, Mod Kuasa, dan Kawalan Cengkaman Ducati yang boleh disesuaikan mengikut keperluan dan gaya tunggangan.
Kedua-dua model menggunakan fork depan terbalik Kayaba 41mm dan penyerap hentak belakang boleh laras daripada jenama yang sama. Memastikan tunggangan yang selesa dan stabil walaupun di atas permukaan jalan yang mencabar.
Rim aloi depan bersaiz 3×18 inci dan rim belakang 5.5×17 inci, dipadankan dengan tayar Pirelli MT 60 RS untuk cengkaman maksimum.
Sistem brek juga tidak kurang hebatnya, dengan cakera depan 330mm
dan angkup empat omboh Brembo, memberikan daya membrek yang mantap.Untuk model Icon Dark, harga yang ditawarkan adalah lebih rendah, sekitar £9,495 (kira-kira RM53,274).
Dengan gabungan ciri teknologi moden, prestasi enjin mantap, dan reka bentuk yang menawan, kedua-dua model Ducati Scrambler 2025 ini menawarkan pilihan yang sesuai untuk pelbagai jenis penunggang. Sama ada anda mahukan motosikal yang sporty seperti Full Throttle atau penampilan yang minimalis seperti Icon Dark, kedua-dua model ini pasti memenuhi keperluan dan gaya hidup anda.
Dari Careta
Baca Juga Ducati Multistrada V4 RS Rasmi di Malaysia – Kuasa 180 HP, Harga RM285,900
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.