BMW Motorrad Malaysia secara rasmi memperkenalkan jentera touring premium terbarunya, BMW R 1300 RT untuk pasaran tempatan. Model ini tampil dengan lima pilihan varian warna dan spesifikasi, dengan harga permulaan dari RM167,000.
Varian paling asas hadir dalam warna Alpine White pada harga RM167,000. Seterusnya, versi Triple Black (Blackstorm Metallic) dijual pada RM170,000, manakala varian Impulse Racing Blue Metallic ditawarkan pada harga RM173,000.
Dua lagi model edisi terhad iaitu Triple Black Limited Edition dan Impulse Racing Blue Metallic Limited Edition pula masing-masing dijual pada harga RM177,000 dan RM180,000.
Kedua-dua edisi terhad ini turut didatangkan dengan kotak simpanan barangan BMW Vario dan hanya terdapat lima unit setiap satu untuk pasaran Malaysia.
Jantung kepada R 1300 RT ialah enjin ikonik boxer twin BMW dengan kapasiti 1,300cc. Ia kini dilengkapi rekaan baharu pada liang silinder. Serta aci engkol pendek untuk menghasilkan kuasa maksimum 145 hp pada 7,750 rpm dan tork puncak 149 Nm pada 6,500 rpm.
Transmisi 6-kelajuan dengan sistem pemindahan kuasa melalui pacuan shaft dipadankan bersama Automated Shift Assistant (ASA). Memberikan pengalaman tunggangan yang lebih lancar sama ada dalam mod automatik mahupun manual.
Dari segi pengendalian, sistem suspensi hadapan EVO Telelever dan belakang EVO Paralever memberikan kestabilan dan ketepatan stereng yang lebih tinggi. Reka bentuk semula pada bahagian casis juga menjanjikan sambungan yang lebih kukuh untuk maklum balas tunggangan yang maksimum.
Turut diberi penambahbaikan ialah rim aloi tuang 17 inci dengan reka bentuk spoke berongga yang lebih ringan sebanyak 1.4 kg berbanding generasi sebelumnya.
BMW turut memperkenalkan sistem Dynamic Chassis Adaption (DCA) yang berfungsi bersama sistem suspensi elektronik Dynamic ESA. Dua tetapan geometri casis boleh dipilih oleh penunggang; satu dengan sudut kepala stereng lebih landai untuk kestabilan tinggi, dan satu lagi dengan pelarasan kekerasan suspensi dan tinggi tunggangan yang lebih agresif.
Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 780 mm dengan lekuk dalaman kaki lebih mesra penunggang. Tempat duduk Comfort disertakan secara standard untuk pasaran Malaysia. Terdapat juga pilihan tempat duduk lain dalam pelbagai ketinggian menerusi katalog rasmi BMW Motorrad.
Ciri elektronik semestinya tidak dipandang ringan. R 1300 RT dilengkapi mod tunggangan Rain, Road dan Eco, serta pakej Riding Modes Pro yang menambah mod Dynamic dan Dynamic Pro.
Turut tersedia ialah Dynamic Traction Control (DTC), Engine Drag Torque Control (MSR), Dynamic Brake Control (DBC) dan sistem brek BMW Integral ABS Pro.
Ciri bantuan tunggangan merangkumi Active Cruise Control (ACC) dengan fungsi penjarakan, amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan Lane Change Warning (SWW). Pencahayaan pula diserlahkan dengan Headlight Pro yang menawarkan lampu selekoh dan mod cahaya adaptif.
Untuk keselesaan dan praktikali, dua kotak sisi berkapasiti 27 liter disediakan secara standard. BMW turut menawarkan pilihan kotak Vario boleh laras antara 27 hingga 33 liter, serta kotak atas 39 atau 54 liter.
Semua kotak boleh dikunci melalui sistem kunci pusat dan dilengkapi lampu dalaman, manakala kotak kiri turut mempunyai port pengecas USB-C.
Panel meter TFT warna 10.25 inci lengkap dengan navigasi peta terbina dalam dan ruang khas pengecasan telefon pintar dengan sistem pengudaraan aktif. Sistem audio juga telah dipertingkat dengan tweeter, pembesar suara dan woofer baharu, serta sokongan penuh kepada BMW Motorrad Connected.
BMW R 1300 RT ini bukan sekadar motosikal touring biasa – ia adalah lambang keselesaan, teknologi dan prestasi untuk pengembaraan jarak jauh di atas dua roda.
Baca Juga BMW Motorrad Dedah Konsep RR – Petanda Awal Generasi Superbike Masa Depan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.