MODENAS Perkenal Z15GT, Harga RM8,288

Share

MODENAS Z15GT Supermoped 150cc Buatan Tempatan Pertama dengan DNA Kawasaki

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), ahli kumpulan DRB-HICOM, hari ini menandakan satu pencapaian penting dalam sejarah industri motosikal negara dengan pelancaran rasmi MODENAS Z15GT, supermoped pertama yang dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera Malaysia. Pelancaran ini berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang sempena hujung minggu MotoGP Malaysia 2025.

Selepas lebih tiga tahun lima bulan pembangunan, hasil usaha 31 jurutera, pereka bentuk dan juruteknik tempatan, Z15GT kini menjadi model paling maju dalam sejarah MODENAS dan ini merupakan simbol kemampuan kejuruteraan Malaysia yang setanding dengan jenama global dalam segmen 150cc.

R&D 100% Malaysia, Disokong Kepakaran Kawasaki Jepun

Z15GT lahir daripada hasil penyelidikan dan pembangunan dalaman MODENAS dengan sokongan teknikal daripada Kawasaki Motors Corporation (KMC)

. Lapan jurutera Malaysia telah dihantar ke Jepun untuk latihan khas bersama Kawasaki, manakala beberapa lagi menerima pendedahan kejuruteraan enjin di Austria.

Menurut Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS:

“Dari lakaran di Gurun, ke fasa validasi di Jepun dan kembali ke talian pengeluaran di Gurun Z15GT membuktikan keupayaan bakat tempatan untuk bersaing di pentas dunia. Ini bukan sekadar motosikal, tetapi satu kenyataan bahawa Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa.”

Rekaan Sugomi, Diinspirasikan Kuasa Arowana

Mengambil falsafah rekaan ‘Sugomi’ dari Kawasaki yang sinonim dengan gaya garang dan agresif, Z15GT turut diinspirasikan oleh ikan Arowana, simbol kekuatan dan kebanggaan dalam budaya tempatan.

Hasilnya ialah rekaan yang padat, dinamik dan bertenaga, disertai prestasi yang menggabungkan kuasa, keselamatan serta keselesaan harian. Antara ciri utama ialah:

  • Enjin paling berkuasa dalam kelasnya: 12.5kW @ 9,500rpm

  • Kapasiti tangki bahan api terbesar: 5.7 liter

  • Sistem brek ABS untuk keselamatan tambahan

  • Smart Key System untuk kemudahan moden

  • Lampu hazard dan soket pengecas terbina untuk kegunaan harian

Menjayakan Aspirasi NIMP 2030 dan NAP 2020

Z15GT turut diiktiraf sebagai Energy Efficient Vehicle (EEV) dengan tahap lokalisasi 78%, sejajar dengan sasaran Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Kemudahan pengeluaran di Gurun, Kedah, mampu menghasilkan sehingga 77,000 unit setahun pada satu talian pengeluaran  bukti kesiapsiagaan MODENAS untuk memenuhi permintaan tempatan dan eksport.

Sasaran Pasaran & Eksport ASEAN

Penghantaran Z15GT ke pengedar sah MODENAS dan Kawasaki di seluruh negara akan bermula 27 Oktober 2025, dengan sasaran jualan 2,250 unit sebulan atau 27,000 unit setahun bagi pasaran tempatan.

Antara tahun 2026 hingga 2030, MODENAS menyasarkan eksport 60,000 unit ke pasaran luar termasuk Filipina, Greece, Turkiye, dan Kemboja, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab motosikal serantau.

Harga & Pilihan Warna

Z15GT ditawarkan pada harga pengenalan RM8,288 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran), dengan tiga pilihan warna menarik:

  • Graphite Grey

  • Nardo Grey

  • Rosso Red

Pelancaran MODENAS Z15GT bukan sekadar pengenalan model baharu, tetapi lambang kematangan industri motosikal Malaysia. Ia membuktikan bahawa dengan gabungan kepakaran tempatan dan DNA Kawasaki, Malaysia kini mampu melahirkan produk global yang berdaya saing.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi