Automotif

MODENAS Memulakan Eksport Kawasaki ZX-6R ke China

Share

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), anak syarikat DRB-HICOM Berhad, telah memulakan eksport Kawasaki ZX-6R ke China. Acara ini bukan sahaja menandakan kejayaan MODENAS tetapi juga memperkukuhkan kerjasama yang hampir 30 tahun terjalin diantara MODENAS dan Kawasaki.

MODENAS merupakan satu daripada dua syarikat bukan Kawasaki di dunia yang diberi kepercayaan untuk menghasilkan motosikal bagi jenama terkenal tersebut.

Acara ini dirasmikan dengan “sealing” empat kontena yang mengandungi 112 unit motosikal Kawasaki ZX-6R yang bakal di eksport ke China oleh Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Badrol Ghazali, Ketua Jabatan Cukai Dalaman, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Kedah, dan Lee Hock Ben, Ketua Kemudahan dan Kawalan Kemudahan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Kedah, serta ahli pengurusan MODENAS dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kedah.

Roslan Roskan berkata, “Pencapaian hari ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan dan kerjasama mendalam kami dengan Kawasaki tetapi juga menekankan keupayaan dan kemahiran pembuatan MODENAS, serta komitmen tenaga kerja kami.”

“Kerjasama strategik antara MODENAS dan Kawasaki telah memperluas penawaran produk kedua-dua jenama, memudahkan pertukaran teknologi, mengukuhkan rangkaian, dan membuka jalan kepada pasaran baharu. Semua ini telah menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan bersama kami,” tambah beliau.

Pada majlis tersebut, MODENAS turut berkongsi proses pemasangan teliti ZX-6R yang menggunakan teknologi canggih Kawasaki.

Pemilihan MODENAS sebagai kilang terpilih di Asia Tenggara untuk ZX-6R oleh Kawasaki menonjolkan kualiti pengeluaran, kecekapan kos, dan prestasi penghantaran yang cemerlang.

Pada September 2023, kilang MODENAS di Gurun telah menjalani audit ketat oleh Pusat Pensijilan Kualiti China (CQC) dan secara rasmi disahkan sebagai kilang yang mampu menghasilkan produk untuk dieksport ke China.

Pensijilan ini adalah tambahan kepada pengiktirafan kecekapan oleh Kawasaki kepada MODENAS, yang mengukuhkan lagi statusnya sebagai rakan kongsi pembuatan yang dipercayai.

Dengan eksport ini, MODENAS bukan sahaja mengukuhkan kehadirannya di pasaran antarabangsa tetapi juga memperkuatkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan China disamping meneroka peluang baharu untuk pertumbuhan dan kejayaan pada masa depan.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi