Automotif

Modenas Memperkenalkan Modenas Versys 650 SE dan Kawasaki Z900RS SE untuk Pasaran Malaysia

Share

Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (“MODENAS”), anak syarikat DRB-HICOM Berhad, hari ini dengan bangga memperkenalkan dua model motosikal terbaru yang dinantikan ramai iaitu Modenas Versys 650 SE dan Kawasaki Z900RS SE.

Kedua-dua model ini kini boleh didapati di pasaran Malaysia, menawarkan pelbagai ciri hebat yang memenuhi keperluan penunggang motosikal di Malaysia.

Modenas Versys 650 SE

Versys 650 SE merupakan sebuah motosikal touring dan sesuai untuk perjalanan jarak jauh atau untuk tunggangan harian.

Dikuasakan oleh enjin parallel-twin 649cc, motosikal ini mengekalkan prestasi yang terbukti daripada model terdahulu, menyediakan kuasa yang lancar untuk perjalanan di bandar dan juga touring jarak jauh.

Salah satu ciri utama model ini ialah sistem pannier 56 liter dengan ciri ‘quick-release’.

Pannier ini menawarkan ruang penyimpanan yang mencukupi untuk perjalanan jauh tanpa mengorbankan kebolehan motosikal ini untuk berfungsi sebagai motosikal dual-purpose.

Menariknya, pannier ini menggunakan kunci yang sama dengan kunci penghidup, menjadikan penggunaannya lebih mudah dan mesra pengguna.

Dengan rekaan aerodinamik dan lebarnya hanya 93 cm, Versys 650 SE masih sesuai untuk cruising pada kelajuan tinggi.

Tambahan pula, pannier yang mudah dipasang dan ditanggalkan memberikan penampilan yang sporty apabila tidak digunakan, mengekalkan reka bentuk moden motosikal ini.

Menurut Yusaku Kashiwagi, Ketua Pegawai Pemasaran MODENAS, “Model edisi khas ini mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan motosikal dengan fungsi yang dipertingkatkan. Dengan ciri-ciri tambahan yang memudahkan penyimpanan dan touring, Versys 650 SE adalah teman terbaik bagi penunggang yang mencari pengembaraan dan kepraktisan.”

Modenas Versys 650 SE hadir dalam dua varian warna menarik:

1.Metallic Spark Black dan Candy Lime Green

2.Metallic Flat Spark Black

Harga jualan disyorkan masing-masing pada RM43,600.00 dan RM44,200.00 tanpa insurans dan cukai jalan.

Motosikal ini dibina sepenuhnya di Malaysia (CKD), menjadikannya lebih mampu milik dan relevan dengan pasaran tempatan.

Kawasaki Z900RS SE

Untuk peminat motosikal retro dengan sentuhan moden, Kawasaki Z900RS SE merupakan pilihan tepat buat anda.

Menggabungkan gaya klasik dengan teknologi kontemporari, model ini memberi penghormatan kepada legenda Kawasaki Z1 dengan reka bentuk yang kekal ikonik dan berprestasi tinggi.

Salah satu komponen premium pada Z900RS SE adalah penggunaan penyerap hentakan belakang Öhlins S46.

Sisitem suspensi memberikan cengkaman lebih baik dan pengalaman tunggangan yang lebih lancar.

Suspensi depan juga turut ditambah baik bagi menyelaraskan prestasi penyerap hentakan di bahagian belakang.

Hadir dengan pelaras pramuatan yang memudahkan penunggang menyesuaikan motosikal mengikut keperluan seperti membawa penumpang atau barang.

Penampilan sporty Z900RS SE turut dipertingkatkan dengan tiub luar fork berwarna emas yang sepadan dengan penyerap hentakan Öhlins.

Ianya memberikan daya tarikan visual yang mengagumkan.

Sistem brek pula, motosikal ini dilengkapi dengan cakera brek depan ø300 mm dari Brembo dan kaliper monoblok M4.32 yang dipasang secara radial, memastikan kawalan brek yang mantap dan selamat.

Kawasaki Z900RS SE dijual pada harga RM73,300.00 tanpa insurans dan cukai jalan, dengan model import sepenuhnya (CBU).

Motosikal ini dijangka mendapat sambutan hangat daripada peminat motosikal retro yang menghargai keaslian serta prestasi unggul.

Ketersediaan dan Maklumat Lanjut

Kedua-dua Modenas Versys 650 SE dan Kawasaki Z900RS SE akan tersedia di semua pengedar Kawasaki All-Star di seluruh Malaysia mulai Oktober 2024.

Bagi mereka yang berminat, boleh melayari laman web rasmi Kawasaki di https://www.kawasaki.com.my/kawasaki/shop untuk maklumat lanjut mengenai kedua-dua model ini.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi