Automotif

MODENAS Lancar Empat Model Baharu Di Malaysia Auto Show 2025

Share

Komitmen Baharu MODENAS untuk Mobiliti Masa Depan

MODENAS (Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd), anak syarikat kepada DRB-HICOM Berhad telah melancarkan empat model motosikal baharu di Malaysia Auto Show yang mencerminkan hala tuju masa depan jenama ini yang lebih mesra alam, lebih versatil, dan penuh gaya.

Pelancaran ini merangkumi tiga segmen utama iaitu skuter elektrik, skuter urban premium, serta motosikal sport touring berprestasi tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, En. Roslan Roskan berkata,

“Pelancaran ini menandakan detik penting selaras dengan wawasan MODENAS untuk melangkah ke hadapan, terutamanya dalam segmen mobiliti yang lebih mesra alam. Kami berharap dengan model-model baharu yang menarik termasuk siri motosikal elektrik MEV, MODENAS dapat memenuhi keperluan semua lapisan penunggang.”

MEV-2 – Skuter Elektrik Bandar yang Bijak dan Bergaya

Model pertama dalam siri MEV ialah MEV-2

, direka khusus untuk mobiliti bandar yang cekap dan lestari.

Dikuasakan oleh motor elektrik 4.0 kW (dengan kuasa puncak 5.1 kW), skuter ini mampu mencapai kelajuan maksimum 80 km/j dan menempuh jarak sejauh 107 km dengan sekali cas.

Ia menggunakan bateri ATL Litium 74V30Ah dan boleh dipadankan dengan dua unit bateri bagi jangka hayat lebih panjang.

Antara ciri utama MEV-2 termasuk pengecas atas papan (on-board charger), brek cakera hidraulik dengan sistem CBS, suspensi depan teleskopik, serta lampu LED sepenuhnya.

Dengan harga bermula RM9,878 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), MEV-2 menjadi pilihan bijak bagi penunggang urban yang mencari penyelesaian mobiliti moden tanpa mengorbankan gaya.

MEV-1 PRO dan PRO SX – Skuter Elektrik Serba Tahan untuk Jarak Jauh

Penunggang yang memerlukan skuter dengan kemampuan jarak yang lebih jauh dan prestasi yang lebih lasak ini jawapanya.

Skuter MEV-1 PRO dan MEV-1 PRO SX menawarkan penyelesaian sempurna.

Kedua-dua model ini menawarkan jarak perjalanan sejauh 135 km dan kelajuan sehingga 85 km/j, menjadikannya sesuai untuk penggunaan dalam dan luar bandar.

Dikuasakan motor 4.3 kW (puncak 4.9 kW) dengan bateri ATL Litium 60V45Ah (juga dengan pilihan dua bateri), model ini menampilkan tork dipertingkat untuk pecutan yang lebih responsif.

Ciri-ciri seperti brek cakera dengan CBS, pengecas atas papan dan suspensi teleskopik terus dikekalkan.

Harga bermula dari RM13,470, menjadikan MEV-1 PRO dan PRO SX antara skuter elektrik paling kompetitif dalam kelasnya.

Modenas KYMCO DTX 250 – Skuter Dwi-Guna Premium Serba Lengkap

Mengisi segmen skuter urban premium, MODENAS turut memperkenalkan KYMCO DTX 250.

Model dwi-guna berkuasa yang mampu menyesuaikan diri antara kesesakan kota dan pengembaraan hujung minggu.

Dengan enjin 246 cc berpenyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api, jentera ini menjana 17.0 kW kuasa pada 7500 rpm dan 23.0 Nm tork pada 6000 rpm.

Disokong oleh transmisi automatik CVT, DTX 250 turut menawarkan ciri-ciri premium.

Antaranya sistem keyless, paparan meter LED, lampu depan dan belakang LED, serta ruang simpan yang luas di bawah tempat duduk.

Dengan harga RM22,500, skuter ini menonjol sebagai pilihan utama bagi penunggang yang mengutamakan gaya dan kebolehgunaan dalam satu pakej.

Kawasaki Ninja H2 SX SE – Jentera Touring Berprestasi Tinggi

Kemuncak pelancaran MODENAS di Malaysia Auto Show 2025 pastinya Kawasaki Ninja H2 SX SE.

Model ini adalah motosikal sport touring yang menjadi simbol kejuruteraan berprestasi tinggi.

Motosikal ini dilengkapi enjin 998 cc supercharged empat silinder.

Jentera ini mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 210 PS (dengan Ram Air) pada 11,000 rpm serta tork setinggi 137 Nm pada 8,500 rpm.

Selain reka bentuk aerodinamik yang agresif, H2 SX SE turut dilengkapi pelbagai teknologi canggih Kawasaki.

Antaranya sistem pengendalian elektronik (KECS), brek cakera Brembo, sistem keselamatan canggih (KIBS, KCMF), dan sistem kunci pintar (KIPASS).

Dengan harga RM129,400, motosikal ini menyasarkan peminat motosikal touring berprestasi tinggi yang tidak berkompromi terhadap kuasa dan keselesaan.

Baca Juga : Kawasaki Ninja H2 SX, Jentera Super Tourer Generasi Baharu

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi