Automotif

MINI Countryman S Fiery Stallion Edition Dilancarkan di Malaysia, Terhad 18 Unit

Share

MINI Countryman S Fiery Stallion Edition Rasmi di Malaysia, Terhad 18 Unit


MINI Malaysia mengumumkan pelancaran MINI Countryman S Fiery Stallion Edition, sebuah model edisi khas pemasangan tempatan yang diperkenalkan sempena sambutan Tahun Kuda.

Model ini ditawarkan dalam jumlah yang sangat terhad iaitu hanya 18 unit untuk pasaran Malaysia dengan tanda harga RM 260,888.

Fiery Stallion Edition dibangunkan sebagai model edisi khas berteraskan simbolisme Tahun Kuda dalam budaya Cina, yang melambangkan kekuatan, kebebasan dan pergerakan dinamik.

Pendekatan ini selari dengan karakter MINI yang menekankan pengalaman pemanduan menyeronokkan serta identiti yang tersendiri.

Menurut BMW Group Malaysia, edisi ini difokuskan kepada pelanggan yang mahukan sebuah MINI dengan tahap eksklusiviti lebih tinggi, di samping mengekalkan praktikaliti dan ciri pemanduan yang sinonim dengan model Countryman.

Rekaan Luaran Lebih Menonjol

Bercakap mengenai penampilan, MINI Countryman S Fiery Stallion Edition tampil dengan beberapa elemen visual eksklusif yang membezakannya daripada varian standard.

Antaranya ialah bumbung Vibrant Silver yang memberikan kontras jelas terhadap warna badan, sekali gus menaikkan imej premium dan sporty.

Di bahagian sisi, pelekat siluet Kuda Api dipadankan sepanjang pintu, melambangkan pergerakan dan tenaga.

Gril hadapan pula menerima lambang khas bergambar kuda jantan, menjadikannya titik fokus utama rekaan. Sentuhan tambahan dapat dilihat pada penutup tangki bahan api di bahagian belakang, yang dihiasi pelekat berbentuk ladam kuda sebagai simbol tuah dan kekuatan.

Kabin dengan Identiti Edisi Terhad

Masuk ke ruang dalaman, pendekatan reka bentuk kekal ringkas tetapi sarat dengan elemen eksklusif.

Pelapik ambang pintu memaparkan tulisan “Fiery Stallion Edition” bersama nombor siri 1/18, menandakan status edisi terhad model ini.

Nombor tersebut turut merujuk kepada angka “118”, yang sering dikaitkan dengan maksud kemakmuran dan permulaan baharu.

Anak kunci khas dengan ukiran siluet kuda berapi turut disertakan, melengkapkan pengalaman pemilikan dan membezakan edisi ini daripada Countryman S biasa.

Perlindungan Pemilikan dan Sokongan Selepas Jualan

MINI Countryman S Fiery Stallion Edition dilindungi oleh Program Bantuan Tepi Jalan MINI Malaysia selama lima tahun.

Program ini merangkumi bantuan kecemasan 24 jam, perkhidmatan tunda percuma, kenderaan ganti, penginapan serta penyelesaian mobiliti sekiranya berlaku situasi luar jangka, termasuk ketika berada lebih 200 km dari kediaman pemilik.

Untuk sokongan jangka panjang, MINI Malaysia menawarkan waranti standard selama dua tahun, dengan pilihan lanjutan waranti dan pakej servis bagi memberikan ketenangan fikiran kepada pemilik.

Kemudahan Servis Dalam Talian MINI turut disediakan, membolehkan pelanggan menjadualkan janji temu servis secara terus dengan pengedar sah pilihan mereka.

Di bawah inisiatif Relax. We Care., MINI Malaysia menyediakan ekosistem pemilikan menyeluruh merangkumi MINI Proactive Care, MINI ConnectedDrive serta program Servis & Pembaikan Inklusif MINI (MSRI).

Pendekatan ini membolehkan pemantauan kenderaan secara proaktif, kemas kini perisian tanpa wayar serta perlindungan servis dan waranti yang komprehensif.

Dengan jumlah pengeluaran yang terhad, rekaan eksklusif serta sokongan pemilikan menyeluruh, MINI Countryman S Fiery Stallion Edition ditawarkan sebagai pilihan untuk pelanggan yang mahukan sebuah MINI dengan identiti berbeza dan eksklusif.

Baca Juga : Penerbangan Tanpa Transit Terpanjang di Dunia, 18 Jam 40 Minit

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi