
MG Motor Malaysia mencatat satu lagi detik penting dalam perjalanan jenama itu di negara ini apabila unit pertama MG S5 EV yang dipasang secara tempatan (CKD) secara rasmi keluar dari barisan pengeluaran di fasiliti pemasangan PEPS-JV di Pegoh, Melaka.
Pencapaian ini menandakan permulaan rasmi operasi pemasangan tempatan bagi kenderaan MG di Malaysia.
Pengeluaran MG S5 EV secara CKD ini sekali gus memperkukuh strategi lokalisasi syarikat dalam memperluaskan kehadiran jenama tersebut dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan.
Majlis simbolik yang berlangsung di Alor Gajah itu turut dihadiri beberapa tetamu kehormat termasuk Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka Datuk P. Shanmugam, serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Azhar Arshad.
Turut hadir mewakili industri automotif ialah Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi, Ketua Pegawai Operasi SAIC Motor Malaysia, Hoffen Teh, serta pihak pengurusan EP Manufacturing Berhad (EPMB) termasuk Pengerusi Eksekutifnya Hamidon Abdullah.
Pengeluaran tempatan MG S5 EV ini merupakan kesinambungan daripada pengumuman SAIC Motor Malaysia pada Oktober 2025 yang menyatakan rancangan untuk memulakan operasi pemasangan tempatan melalui kerjasama strategik dengan EP Manufacturing Berhad (EPMB).
Menurut Emory Qi, langkah ini mencerminkan komitmen jangka panjang MG terhadap pembangunan industri automotif Malaysia, khususnya dalam sektor mobiliti elektrik.
“Menerusi pemasangan tempatan, kami bukan sahaja dapat mendekatkan produk MG kepada pelanggan Malaysia, malah turut memperkukuh rantaian bekalan automotif negara serta menyokong pembangunan ekosistem EV tempatan,” jelas beliau.
MG S5 EV dibangunkan berasaskan platform elektrik khusus pacuan roda belakang (RWD) yang direka untuk memberikan keseimbangan antara prestasi pemanduan dan penggunaan harian.
Menariknya, versi CKD yang dipasang di Malaysia menerima peningkatan prestasi berbanding model CBU yang diimport sebelum ini. Kuasa maksimum kini meningkat daripada 125kW kepada 151kW, manakala tork maksimum turut dipertingkatkan kepada 350Nm. Gabungan ini memberikan respons pecutan yang lebih pantas serta pengalaman pemanduan yang lebih dinamik.
Dari segi pengecasan pula, MG S5 EV menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150kW yang membolehkan bateri dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam sekitar 26 minit dalam keadaan optimum.
Model ini turut menggunakan susun atur bateri ultra nipis secara mendatar yang membantu menurunkan pusat graviti kenderaan. Rekaan ini bukan sahaja meningkatkan kestabilan pemanduan, malah memberikan ruang kabin yang lebih luas dan praktikal untuk kegunaan harian.
Dengan jarak pemanduan sehingga 446km berdasarkan kitaran WLTP, model ini menawarkan fleksibiliti penggunaan sama ada untuk perjalanan harian mahupun perjalanan jarak jauh.
Aspek keselamatan turut menjadi keutamaan dalam pembangunan MG S5 EV. Model ini dilengkapi tujuh beg udara serta sistem bantuan pemandu termaju ADAS 2.5 yang merangkumi fungsi seperti Traffic Jam Assist dan Intelligent Cruise Control.
MG S5 EV juga telah menerima penarafan keselamatan lima bintang daripada Euro NCAP dan ASEAN NCAP, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai kenderaan elektrik yang selamat dan berteknologi tinggi.
Kerjasama antara SAIC Motor Malaysia dan EP Manufacturing Berhad dijangka memberi impak positif kepada industri automotif tempatan melalui pembangunan vendor, pemindahan teknologi serta peningkatan kepakaran tenaga kerja tempatan.
Menurut Hamidon Abdullah, kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan industri automotif negara melalui inovasi serta pembangunan teknologi baharu.
Bagi kerajaan negeri Melaka pula, projek ini dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab pembuatan automotif moden.
Fasiliti pemasangan di Pegoh mempunyai keupayaan untuk memasang pelbagai jenis kenderaan termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV), hibrid elektrik (HEV) serta model enjin pembakaran dalaman (ICE).
Bagi MG S5 EV, kapasiti pengeluaran dianggarkan sekitar 120 hingga 180 unit sebulan dengan sasaran pengeluaran tahunan antara 1,500 hingga 2,000 unit bagi tahun 2026.
Tempahan untuk MG S5 EV telah dibuka bermula 10 Mac 2026 dengan anggaran harga jualan runcit disyorkan sekitar RM120,000. Harga rasmi bagaimanapun akan diumumkan semasa pelancaran rasmi model ini dalam beberapa minggu akan datang.
Bersempena permulaan pengeluaran tempatan, MG Motor Malaysia turut memperkenalkan promosi khas ‘Early Bird’ untuk pelanggan terawal MG S5 EV CKD.
Pakej ini menawarkan nilai keseluruhan sehingga RM10,000 yang merangkumi rebat pembelian RM7,000, pengecas wallbox 7kW bernilai RM2,000 serta kredit pengecasan bernilai RM1,000. Maklumat lanjut mengenai model ini boleh didapati melalui laman web rasmi MG Motor Malaysia.
Baca Juga : Legasi 100 Tahun MG Diteruskan Dengan Kemunculannya Di Pasaran Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Jika diperhatikan pada kebanyakan kereta moden, cermin belakang biasanya mempunyai beberapa garisan nipis yang melintang…
Gearbox automatik atau sistem transmisi merupakan salah satu komponen paling penting dalam sesebuah kenderaan. Bagi…
EV Terlaris Malaysia Kukuh Dominasi Pasaran Model elektrik popular tempatan, Proton e.MAS 5, terus mencatat…
